Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah – Bernama


Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah

20 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Tun Jeanne Abdullah menggesa guru berusaha melahirkan  pelajar cemerlang daripada kalangan pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat  belajar.

Beliau berkata selain ibu bapa, guru mempunyai peranan penting dalam mengubah sikap dan minda anak-anak untuk pembentukan insan cemerlang.

“Bagi tahun persekolahan 2013, tumpu pada pelajar paling lemah dalam kelas anda atau pelajar yang tidak minat belajar dan jadikan mereka pelajar yang lebih baik…saya percaya kita semua boleh lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembelajaran sepanjang hayat OUM  ‘Learning Is Fun’ di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, di sini hari ini. Turut  hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

‘Learning Is Fun’ merupakan program yang dianjurkan oleh OUM bagi mendekatkan pelajar di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

Beliau juga menasihati pelajar agar tidak malu untuk menggunakan  bahasa Inggeris dalam komunikasi harian walaupun mereka kurang mahir dalam penguasaan bahasa antarabangsa itu.

“Walaupun pada mulanya susah tetapi jika selalu digunakan lama-lama kita akan mahir,  kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mampu menguasai bahasa Inggeris, ke mana pun kita  pergi bahasa Inggeris tetap diperlukan,” katanya.

Selain itu beliau berharap ibu bapa meluangkan masa mendengar luahan perasaan anak mereka.

“Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul,  fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja  akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s