Ugut rogol, bunuh dua cucu – Sinar Harian


Ugut rogol, bunuh dua cucu

NUR FARHANA ABDUL MANAN
21 Oktober 2012
Ugut rogol, bunuh dua cucu
Suresh (kiri) menunjukkan kepada Hian Wah almari baju miliknya yang diselongkar suspek.

SERI KEMBANGAN – “Jangan cakap tipu, mana simpan barang kemas, kalau tidak saya akan bunuh dan rogol dua cucu awak,” kata salah seorang daripada lima suspek yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Serdang di sini, awal pagi Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kehadiran suspek disedari seorang penghuni yang tidur di bilik tingkat bawah selepas terdengar pintu biliknya dibuka.

Mangsa, P Amrithal, 55, berkata, suspek dipercayai dua warga tempatan dan tiga warga asing itu terus memaksanya memberitahu kedudukan peti besi dan bertindak memukul serta mencekiknya.

Amrithal mendakwa, suspek kemudian mengoyak baju tidur cucu dan anak saudara perempuannya yang masing-masing berusia 11 dan 20 tahun.

Katanya, apabila memberitahu dia tidak tahu di mana peti besi itu, seorang suspek bertindak memijaknya dan menjadikan tubuh badannya seperti tangga untuk menyelongkar almari baju.

“Saya beritahu tidak tahu, tetapi penyamun itu ugut hendak bunuh saya , malah dia juga ugut hendak rogol cucu serta anak saudara. Tidak cukup dengan itu mereka dengan kasar mengugut hendak mencincang jari cucu lelaki saya yang berusia tujuh tahun.

“Dalam keadaan antara ingat dengan tidak, saya akhirnya terpaksa memberitahu nombor peti besi keselamatan yang ditemui mereka,” katanya ketika menceritakan detik hitam itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang mengunjungi rumahnya, semalam.

Seorang lagi penghuni rumah, A Suresh Naidu, 23 berkata, dia yang terjaga dari tidur terkejut melihat kelibat tiga lelaki tidak dikenali bersama beberapa bilah parang di dalam biliknya.

Katanya, kedua-dua suspek menghentak kepalanya dengan hulu parang, mengikat tangan dan kaki menggunakan wayar pengecas telefon serta menutup mulut dan matanya menggunakan baju .

Menurutnya, suspek mengarahkan dia diam dan membawanya ke tingkat atas menuju ke bilik tidur ibunya. Ketika itu ibunya sedang tidur bersama dua cucu dan seorang saudara perempuannya.

“Dua lelaki yang membawa pedang samurai mengangkat dan mencampakkan saya ke atas katil.

“Suspek kemudian terus mencekik, memijak dan memukul emak saya tanpa belas kasihan. Mereka juga mengikat tangan dan kaki emak saya serta mengarahkannya supaya diam,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas memperoleh apa dihajati.

Suresh berkata, suspek yang beberapa kali mengugut menembak ibunya itu melarikan sebuah kereta Toyota Vios, dua komputer riba, televisyen LCD, pemain video, barang kemas, dokumen penting dan sejumlah wang tunai .

Katanya, kerugian dialami keluarga itu  dianggarkan hampir RM150,000.

Terpaksa catu makanan anak – Sinar Harian


Terpaksa catu makanan anak

SYAMILAH ZULKIFLI
21 Oktober 2012
Terpaksa catu makanan anak
Patima bersama tiga anaknya yang berusia antara 5 dan 10 tahun.

SEREMBAN – “Kita orang susah,” jawab Patima Bee Bee Athamsa, 40, setiap kali anaknya bertanya kenapa dia tidak ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain sebaya dengannya.

Patima terpaksa memberi alasan itu untuk menenangkan hati anaknya berikutan dihimpit kesusahan selepas kematian suami, Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, Patima juga seorang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan kekal pada kedua belah tangannya akibat tersepit pada mesin ketika bekerja di sebuah kilang, 20 tahun lalu.

Disebabkan mahu berjimat, Patima terpaksa mencatu makan anak-anaknya walaupun jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Kadang-kadang saya terpaksa mencatu makanan anak saya kerana perlu berjimat.

“Setakat ini, makanan paling mewah untuk kami anak-beranak pun hanya mi segera dan bubur nasi sahaja. Kadang-kadang anak saya minta ayam goreng, tapi saya terpaksa bagitahu mereka, kita tidak ada duit,” katanya.

Menurutnya, dia bagaikan hilang arah memikirkan masa depan bersama anak-anak selepas kehilangan tempat bergantung.

“Selama ini suamilah tempat saya dan anak-anak bergantung. Bila dia sudah tiada, kehidupan sangat perit dan perlu membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Dua anak saya berusia lima dan enam tahun sepatutnya sudah boleh dihantar ke prasekolah. Tapi saya tidak ada duit menyebabkan hasrat mereka untuk belajar sama seperti kanak-kanak lain terpaksa dilupakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Kerajaan Dusun Nyior, dekat sini, semalam.

Patima berkata, buat masa ini, dia hanya mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat, selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah RM280 sebulan, selain bil air dan elektrik.

Terdahulu, Patima menerima kunjungan daripada Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Masyarakat Negeri Sembilan (PKKMNS)

Pengerusi PKKMNS, Amir Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah memanjangkan nasib dihadapi Patima kepada pihak JKM untuk tindakan lanjut.

“Kita simpati dengan Patima yang dihimpit kesusa-han. Saya sudah berbincang dan memohon JKM agar menaikkan jumlah bantuan bulanan diterimanya dan kita masih menunggu.

“Bagi masalah lain, saya akan cuba bantu setakat yang mampu. Kita harap mana-mana pihak yang simpati dan inginkan membantu bolehlah menghulurkan bantuan,” katanya.

Masa depan anak OKU diabai – Sinar Harian


Masa depan anak OKU diabai

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
21 Oktober 2012
Masa depan anak OKU diabai
Nasrudin (tiga,kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar OKU dan turut serta, Azizon (dua,kiri).

KOTA BHARU – Sikap malu menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak yang orang kurang keupayaan (OKU) ke sekolah sehingga mengabaikan masa depan mereka.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Nasrudin Talib berkata, perkara tersebut sudah lama berlanjutan sehinggakan masih ada kanak-kanak OKU di negeri ini yang tercicir.

“Ibu bapa harus membuang sikap tersebut demi memberi kehidupan yang terbaik kepada anak mereka walaupun dilahirkan serba kekurangan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Hari Keluarga anjuran guru-guru Pendidikan Khas Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) dan hadir sama ialah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Azizon Abdullah.

Menurutnya, di sekolah anak-anak OKU akan diajar cara berdikari dan bergaul dengan masyarakat.

Nasrudin berkata, di Kelantan terdapat 88 buah sekolah menengah dan 40 buah sekolah rendah khas yang melibatkan 4,000 orang pelajar.

Beliau berkata, sementara itu kerajaan juga memperuntukkan RM3 juta pada tahun ini bagi menganjurkan pelbagai program khas untuk mereka.

“Keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh kerajaan diharap dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid – Sinar Harian


Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Oktober 2012
Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid
“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. ” Ghuzlan

KULIM – Gara-gara ghairah berbelanja mewah, dua murid lelaki berusia di antara 10 dan 11 tahun ditahan orang awam kerana mencuri duit dari tabung masjid.

Suspek sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa kes kecurian antaranya mencuri telefon bimbit.

Memandangkan suspek masih di bawah umur, polis mengambil tindakan menghubungi kedua ibu bapa mereka untuk berbincang mengenai masalah sosial dihadapi anak mereka dan membayar ganti rugi kepada masjid.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata, masalah jenayah hari ini semakin serius apabila ia membabitkan pelajar bawah umur.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang ditahan kerana terlibat dalam kes mencuri motosikal, kereta, ragut dan penagihan dadah.

Beliau tidak menafikan perlakuan jenayah dan masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur bermula dari pergaulan bebas tanpa pemantauan keluarga terutama ibu bapa.

Ghuzlan berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya laporan polis dibuat.

“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. Sekiranya mereka ditangkap dan laporan polis dibuat, polis akan memastikan mereka yang terlibat di dakwa di mahkamah.

“Saya meminta ibu bapa supaya bersikap peka terhadap anak-anak dan jangan sesekali terlepas pandang terhadap pergerakan mereka sekiranya anak berhadapan dengan masalah sosial dan perlakuan jenayah. Ingat, undang-undang tidak mengenal usia,” katanya.

JKM siasat remaja diseksa – Metro


JKM siasat remaja diseksa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan empat remaja mendakwa diseksa di sebuah rumah perlindungan di Rembau, menyebabkan mereka melarikan diri, Selasa lalu.

Jurucakap JKM Negeri Sembilan berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat kerana siasatan masih dijalankan.
“Kami memerlukan masa mengumpul maklumat sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Mohammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap rumah perlindungan remaja terbabit jika dakwaan empat remaja itu benar.
Menurutnya, pihak diamanahkan menjaga remaja itu perlu melakukan tugas dengan ikhlas bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.
“Kejadian seperti itu pernah terjadi sebelum ini di tempat dan lokasi berbeza, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pengurusan serta kakitangan rumah kebajikan terbabit.

 

“Penderaan ini adalah satu penganiayaan dan pencabulan hak remaja berkenaan. Jika dakwaan ini benar, kami akan mengambil tindakan undang-undang selain berusaha meminta mahkamah memberi kebenaran kepada pihak berkaitan membuat lawatan mengejut di rumah perlindungan terbabit,” katanya, semalam.
Menurut Khairul, lawatan mengejut itu bertujuan menyelami apa sebenarnya berlaku di situ selain berusaha memastikan kejadian dera dapat ditangani.

“Kami beranggapan tiba satu tahap untuk mewujudkan lembaga pelawat yang akan membuat pemeriksaan dan lawatan ke rumah perlindungan seperti ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini terjadi,” katanya.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan, empat remaja mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan ditampar dan diterajang penghuni serta kakitangan rumah perlindungan remaja terbabit.

Tabika dimasuki pencuri 7 kali – Utusan


Tabika dimasuki pencuri 7 kali

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Bandar Country Homes Rawang dekat sini, terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas tujuh kali premis itu dipecah masuk pencuri sejak 2005.

Dalam kejadian semalam, Tabika Kemas Happy Kids itu sekali lagi dipecah masuk mengakibatkan kerugian RM5,000 apabila komputer dan pencetak dilarikan perompak.

Lebih malang, makanan dan hadiah untuk majlis konvokesyen murid-murid pada bulan depan turut dicuri penjenayah.

Guru tabika itu, Siti Hajar Salam, 43, berkata, beliau terkejut apabila kejadian pecah masuk itu terjadi lagi setelah yang terakhir berlaku pada pertengahan tahun lalu.

“Kejadian disedari dua guru yang datang untuk bekerja 7.20 pagi ini dan terkejut melihat pintu utama terbuka serta bahagian dalam tabika berselerak.

“Setelah diperiksa, kami mendapati jeriji yang dipasang pada tingkap hadapan berkenaan telah diumpil penjenayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121020/je_03/Tabika-dimasuki-pencuri-7-kali#ixzz29u8EjbfQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan – Utusan


Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan

PAGOH 20 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pihak agar memandang serius trend pengunaan bahasa ‘moden’ yang ringkas dan singkat oleh golongan pelajar pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun trend itu fenomena global, namun penggunaannya tidak harus mencemarkan bahasa standard khususnya dalam bidang pendidikan.

“Untuk membolehkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa lain tidak tercemar, guru-guru di sekolah perlu ingatkan pelajar supaya membuat karangan dan jawab soalan dengan menggunakan ejaan standard seperti yang ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kita tahu walaupun daripada segi perhubungan ini fenomena global dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tak boleh panjang untuk jimat dan bahasa ringkas. Daripada segi komunikasi kita faham dan saya harap jangan terpengaruh sangat dan tidak guna singkatan dalam proses pembelajaran,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran diminta mengulas trend golongan pelajar yang banyak menggunakan singkatan dalam komunikasi harian terutamanya dalam SMS yang dihantar.

Muhyiddin ditemui selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi banjir, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua jabatan dan agensi yang berkaitan telah diarahkan bersedia menghadapi bencana itu.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi menjangkakan musim tengkujuh tahun ini lebih awal dan meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan jawatankuasa banjir di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diminta bersedia dengan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir dan menyimpan stok makanan bagi menghadapi bencana itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat dan menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan khususnya kaum bumiputera menjadi peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan telah memperuntukkan dana yang banyak iaitu RM16.1 bilion bagi tempoh 2006 hingga 2012.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121021/dn_03/Trend-bahasa-ringkas-SMS-pengaruhi-pelajar-membimbangkan#ixzz29u7itauz
© Utusan Melayu (M) Bhd

SJK Cina, Tamil tidak dipinggir – TPM – Utusan


SJK Cina, Tamil tidak dipinggir – TPM

SEGAMAT 20 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar pemimpin pembangkang yang mendakwa Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 meminggirkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil sekali gus mahu menutup sekolah jenis itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan tersebut tidak benar dan tidak berasas sama sekali kerana kerajaan mengiktiraf pendidikan SJK Cina dan Tamil sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

“Pembangkang hanya tahu bercakap kata bila kita lancar PPP, sekolah Cina dan Tamil mahu ditutup, ini tidak betul, mana ada kita tutup, sekolah Tamil yang ada 10 murid dan sekolah Cina tidak ada murid sampai ke hari ini kita tak tutup.

“Pendidikan sekolah Cina dan Tamil sudah menjadi sistem (pendidikan) kita, bila kita lancarkan PPP, ia merangkumi sekolah Cina dan Tamil,” katanya berucap pada majlis perhimpunan rakyat 1Malaysia di SJKC Li Chi, Kampung Abdullah, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat; Ahli Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais dan ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang yang menyatakan PPP 2013-2025 menyisihkan kedua-dua sekolah aliran tersebut dan hanya sekolah kebangsaan bakal memperoleh manfaatnya.

Beliau berkata, semua usaha kerajaan dalam membangun dan memajukan pendidikan tidak pernah sekali-kali mengabaikan sekolah jenis tersebut sejak selepas merdeka lagi.

“Kalau ada pihak kata perbuatan nak tutup sekolah, ini satu pembohongan amat besar sekali. Lee Kuan Yew masa jadi Perdana Menteri Singapura, dia tutup semua sekolah Cina, Malaysia tak tutup (SJK Cina) sampai hari ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk SJKC Li Chi yang sebelum ini sudah mendapat peruntukan RM7 juta untuk membantu sekolah tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121021/dn_02/SJK-Cina-Tamil-tidak-dipinggir—TPM#ixzz29u7b8hdz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perhimpunan Khas Guru NUTP – NUTP


Perhimpunan Khas Guru NUTP

Kepada Semua Ahli KPPK,

Perhimpunan Khas Guru NUTP 

Perhimpunan Khas Guru NUTP Bersama Y.A.B Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Yasin, Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia akan diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 3 November 2012.

Sesiapa yang berminat untuk menghadiri Perhimpunan Khas Guru NUTP, sila hubungi Setiausaha Kehormat KPPK cawangan saudara/ saudari untuk maklumat lanjut dengan kadar segera.

Sekian, harap maklum

Setiausaha Agung KPPK

Pn Lok Yim Pheng

 

Tarikh Berita/News Date:
17/10/2012