KAMPUNG GAJAH: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal November ini, gagal dikesan sejak Sabtu lalu, dipercayai dilarikan seorang lelaki warga Indonesia.
Norshahirah Zaman Huri, 17, disahkan hilang oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah keluarganya di Kampung Jawa, di sini, selepas keluar ke pekan Teluk Intan untuk berjumpa kawan.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Datuk Seri Maharaja Lela itu dikatakan keluar bertemu dengan lelaki berkenaan kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki teksi. Difahamkan, Norshahirah keluar rumah tanpa kebenaran ibunya, Maria Mohd Noh, 49, manakala, bapanya, Zaman Huri Tan, 51, pula tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Bapa mangsa, Zaman Huri Tan, 51, mendakwa anak gadisnya itu dilarikan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Patah’ berusia lingkungan 20-an. Dia yang ditemui semalam berkata, kehilangan anak kelima daripada sembilan beradik itu sangat dirasai terutama ketika menyambut Aidiladha semalam.
“Saya dan isteri tidak membuat sebarang persiapan kerana masih dalam kesedihan dan bimbangkan keadaannya.
“Fikiran saya bercelaru malah, usaha kami sekeluarga untuk menjejakinya juga gagal menemui sebarang petunjuk. Saya bimbang dia dibawa lari ke Lombok seperti mana yang dilaporkan media sejak kebelakangan ini,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana sebelum ini Norshahirah tidak pernah berenggang dengannya sekeluarga.
Zaman Huri berkata, dia bersama Ketua Kampung Jawa, Zara’ai Nekmat dan beberapa penduduk kampung turut menjalankan operasi mengesan anaknya sejak beberapa hari lalu namun, gagal ditemui.
Menurutnya, Norshahirah anak yang taat dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini sehinggalah bertemu dengan lelaki berkenaan. Mereka yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Norshahirah boleh menghubungi Zaman Huri di talian 012-5873350.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27