Tarik kanak-kanak – Sinar Harian


Tarik kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Tarik kanak-kanak
Kanak-kanak bawah umur menghabiskan masa di pusat Internet terbabit.

KLANG – Rakus ingin mengaut keuntungan cepat, sebuah pusat Internet di sini menawarkan kadar bayaran RM1 sejam bagi permainan Internet baru bagi menarik ramai pelanggan khususnya kanak-kanak.

Strategi tersebut ternyata berkesan apabila hasil tinjauan Sinar Harian di situ mendapati ramai kanak-kanak berusia tujuh sehingga 15 tahun memenuhi pusat terbabit.

Difahamkan, pusat Internet terbabit dipercayai baru seminggu beroperasi dan dilihat menjadi tumpuan pelajar sekolah sebaik tamat sesi persekolahan atau mereka yang ponteng.

Menurut sumber, premis berkenaan pernah diperiksa oleh Majlis Perbandaran Klang dan pemiliknya hanya menunjukkan lesen yang difotostat ketika diminta.

Difahamkan, pemiliknya juga tidak menampal sebarang arahan berkenaan larangan kepada pelajar beruniform sekolah dan mereka di bawah umur memasuki premis tersebut.

Orang awam yang hanya ingin dikenali sebagai Zulkifli Aladin berkata, dia khuatir dengan kewujudan pusat Internet itu yang bakal menjadi lokasi lepak bagi kanak-kanak.

Menurutnya, terdapat segelintir daripada golongan tersebut menghabiskan banyak masa di situ dan tidak mengulang kaji pelajaran.

“Saya harap pihak berkuasa dapat bertindak tegas dalam perkara ini supaya pengusaha tidak sewenangwenangnya melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Malah ibu bapa juga seharusnya memantau anak sepanjang masa supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah apatah lagi ketika tiba musim cuti sekolah,” katanya.

Zulkifli berkata, pusat Internet atau kafe siber kini banyak dibuka kerana mendapat permintaan tinggi khususnya daripada golongan remaja, justeru, dia menggesa PBT dan pihak berkuasa lain memantau lambakan pusat tersebut.

Pengawal keselamatan didakwa cederakan budak – Sinar Harian


Pengawal keselamatan didakwa cederakan budak

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012

GEORGETOWN – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Muhammad Syafi Satianadan, 32, didakwa dengan sengaja memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan topi keledar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Baru, Air Itam kira-kira jam 12.30 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Walaupun tidak diminta untuk membela diri, tertuduh menjerit sambil berkata, “Saya tidak pukul dia, mereka fitnah saya kerana saya sudah masuk Islam.”

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian ditenangkan anggota polis yang bertugas dan dilihat tenang di kandang tertuduh.

Majistret Norhayati Ibrahim kemudian menegur tindakannya itu. Muhammad Syafi didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairuz Rahman yang menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Norhayati kemudian menangguhkan kes itu pada 5 Disember depan bagi mendapatkan laporan perubatan serta membolehkan tertuduh melantik peguam.