Selamat Hari Deepavali 2012
Salam 1Malaysia,
Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali pada 13 November 2012 kepada penganut Hindu di seluruh Malaysia. Rayakan Deepavali dengan suasana aman dan ceria!~
Editor.
Salam 1Malaysia,
Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali pada 13 November 2012 kepada penganut Hindu di seluruh Malaysia. Rayakan Deepavali dengan suasana aman dan ceria!~
Editor.
Kanak-kanak lapan tahun maut ditimpa dahan pokok
BALING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut akibat kecederaan di bahu dan kepala selepas ditimpa dahan pokok di hadapan rumahnya di Kampung Keda Banggol Petai, Mukim Bogor, di sini, hari ini.
Mangsa, Nurhanis Abdul Rahman, meninggal dunia pada pukul 3 petang selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Menurut bapa kanak-kanak itu, Abdul Rahman Ismail, 42, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semasa anaknya bersama dua lagi rakan sebayanya bermain di bawah sebatang pokok di hadapan rumahnya.
“Anak saya tercedera di bahu dan kepala serta pengsan sebaik ditimpa dahan yang reput lalu dikejarkan ke Hospital Daerah Baling (HDB).
“Dia kemudianya dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia,” katanya semasa dihubungi Bernama.
Beliau berkata dua rakan anaknya hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya semasa kejadian beliau tiada di rumah dan isterinya Faridah Che Nordin, 33, yang berada di rumah, segera menelefonnya mengenai kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Mat Daud Md Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian itu. – Bernama
Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin
MARANG – Luluh hati seorang abang apabila adik perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan, melahirkan seorang bayi di dalam bilik di rumah keluarga mereka di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, abang kepada remaja perempuan terbabit berkata, tangisan kuat yang didengari datangnya dari arah bilik adiknya itu mengejutkan dia dan seorang lagi adik lelakinya, sebelum kelahiran bayi itu disedari mereka.
Difahamkan, ketika pintu bilik dibuka, gadis berumur 16 tahun itu berada di lantai dalam bilik tidurnya dengan keadaan berlumuran darah manakala bayi tersebut pula berada di sisinya sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu mereka.
Menurut si abang, dia kemudiannya meminta bantuan jiran terdekat untuk membawa adiknya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendakwa melaporkan mengenai kejadian itu di balai polis berdekatan.
“Kami sekeluarga juga tidak mengesyaki dia hamil sebelum ini kerana tubuhnya agak besar berbanding rakan seusianya, malah saiz perutnya juga kelihatan seperti normal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSNZ Kuala Terengganu, semalam.
Abang remaja terbabit berkata, adik perempuannya dan bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan hanya keluarga mereka dibenarkan melawat, namun keadaan adik dan bayi itu sehingga tengah hari semalam dilaporkan stabil.
Anak sulung daripada tiga beradik itu juga memberitahu adiknya juga mengaku pernah dinodai seorang lelaki dikenali keluarga mereka pada Februari lalu, namun merahsiakan perkara itu sehinggalah melahirkan bayi berkenaan dalam bilik tidurnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi tengah hari semalam bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana masih belum menerima laporan terperinci.
Pelajar lepasan PMR hilang
DUNGUN – “Saya harap dia segera pulang ke pangkuan kami. Saya merayu sangat dia kembali kerana bimbang keselamatannya,” kata Norleha Othman, 50, ibu kepada Nur Anissa Syafiqa Ramli, 15, remaja perempuan yang dilaporkan hilang di asrama sekolahnya.
Nur Anissa Syafiqa disedari hilang setelah gadis berambut pendek itu tiada di asrama sekolahnya.
Berikutan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik di Rumah Lindungan Kasih, Negeri Sembilan itu, kakak mangsa, Rosnaimah Ramli, 34, membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam, Melaka Tengah, jam 10 malam 16 November lalu.
Norleha yang menemui Sinar Harian ketika mengadu masalahnya berkata, berdasarkan maklumat diterima, anak gadisnya itu dipercayai melarikan diri dengan dua rakan sekolahnya bersama seorang lelaki tidak dikenali.
Norleha yang berasal dari Gong Pasir, Dungun, berkata, dia sudah puas mencarinya di serata tempat termasuk Negeri Sembilan dan Terengganu, namun Nur Anissa Syafiqa yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu gagal ditemui.
“Saya bimbang jika dia dipengaruhi oleh individu tidak bertanggungjawab yang membawanya ke jalan yang salah.
“Kalau dia baca berita ini, harap dia pulang ke pangkuan makcik, kasihanilah makcik, lagipun ayahnya sudah meninggal dunia,” kata Norleha yang baru kehilangan suami awal Oktober lalu.
Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai gadis berkenaan diminta menghubungi talian 019-6009780 atau balai polis berdekatan.
Remaja ditemui mati di dasar sungai akibat lemas
JELEBU – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui mati di dasar sungai berhampiran Kampung Mengkan di sini pada jam 1.45 petang, 10 November lalu.
Mangsa yang dikenali Fadzillah Mazlan, 17, ditemui abang iparnya, Mohd Shariful Ridzuan setelah mendapati mangsa tiada di rumah.
Ketua Balai Polis Kuala Klawang, Inspektor Noraini Nordin berkata, ketika itu, abang ipar mangsa yang juga seorang anggota polis di Balai Polis Kuala Klawang datang ke rumah keluarga mangsa di Kampung Mengkan untuk melawatnya.
Menurutnya, abang ipar mangsa sentiasa datang melawatnya dan ketika kejadian abang iparnya mencari mangsa di sekeliling rumah tetapi tidak berjumpa.
“Setelah puas mencari, abang ipar mangsa menjumpai selipar milik mangsa di tebing sungai dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku selepas melihat air sungai keruh.
“Selepas itu, abang iparnya menjumpai mayat mangsa yang terdampar di dasar sungai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Noraini berkata, mayat remaja lelaki itu dibawa ke Hospital Jelebu sebelum dikebumikan pada petang hari sama di Kampung Pergai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof berkata, mangsa mempunyai penyakit sawan sejak lahir.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, kematian Fadzillah merupakan ujian berat buat keluarga mangsa.
“Kira-kira seminggu sebelum kejadian ini, bapa mangsa meninggal dunia. Kini arwah ini pula ‘mengikut’ bapanya,” katanya ketika ditemui semasa menziarahi arwah semasa upacara pengebumian.
HEBAHAN URUSAN TEMU DUGA KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 BAGI GRADUAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) YANG MENAMATKAN PENGAJIAN PADA BULAN JUN 2012 | |
Temu duga ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 bagi graduan IPGM yang telah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 12 November hingga 6 Disember 2012 di seluruh negara. Temu duga ini dikhususkan kepada calon program KPLI, j-QAF, TESL, Bahasa Perancis dan Program Pelajar Cemerlang (PPC). Calon boleh menyemak jadual temu di sini. Calon boleh menyemak senarai dokumen yang perlu dibawa semasa menghadiri temu duga yang telah diaturkan di sini.
Untuk maklumat sila hubungi Pusat Panggilan SPP di talian 03-8871 7330 |
|
Muat naik pada 6 November 2012 |
URUSAN TAWARAN PELANTIKAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 BAGI CALON PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) YANG TELAH DITEMU DUGA PADA TAHUN 2012 | |
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda melalui program pensiswazahan secara sepenuh masa atau melalui Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan telah ditemu duga oleh Suruhanjaya mulai 18 September 2012, urusan pelantikan calon yang diperaku dalam temu duga akan diproses setelah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selesai membuat urusan naik taraf jawatan berkaitan. | |
Muat naik pada 6 November 2012 |
HEBAHAN URUSAN PERMOHONAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG 41 BAGI GRADUAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) YANG MENAMATKAN PENGAJIAN SELEPAS JUN 2012 | |
Berdasarkan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 5 Oktober 2012, graduan pendidikan keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang menamatkan pengajian selepas Jun 2012 hendaklah membuat permohonan untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 di www.jobsmalaysia.gov.my mulai 9 November hingga 30 November 2012. Calon boleh merujuk mengenai tatacara permohonan di sini.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi kaunter pertanyaan SPP di 03-8871 7330 |
|
Muat naik pada 9 November 2012 |
Pengetua perlu peka amaran banjir
PEKAN – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan mengingatkan pihak sekolah agar memantau keadaan banjir di kawasan masing-masing bagi memastikan peperiksaan penting yang dijalankan lancar walau dilanda bencana itu.
Timbalan Pegawai Pelajaran daerah, Mohd Zailani Mohd Said berkata, beliau mengingatkan semua pengetua serta mereka yang bertugas agar segera hubungi PPD menerusi talian yang disediakan jika keadaan persekitaran menunjukkan tanda banjir.
Menurutnya, tindakan pantas pihak sekolah membantu melicinkan proses menyelamat di peringkat awal bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan baik serta selesa.
“Kegagalan pihak sekolah memberi maklumat awal mengenai keadaan banjir di tempat mereka menyebabkan usaha menyelamat lambat dilakukan sekali gus mengganggu tumpuan calon peperiksaan,” katanya.
Menurutnya, makluman awal daripada pihak sekolah dapat melicinkan Ops Payung yang dijalankan pada musim banjir bagi membantu setiap calon meneruskan peperiksaan.
Beliau berkata, makluman mengenai amaran awal diserahkan kepada setiap sekolah terutama di kawasan berisiko.
Mohd Zailani berkata, Ops Payung adalah kerjasama bersepadu membabitkan agensi penyelamat seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa agensi lain.
“Operasi ini berfungsi memindahkan calon peperiksaan ke pusat pemindahan yang ditentukan jika air naik secara tiba-tiba selain ambil dan hantar calon dengan kenderaan penyelamat,” katanya.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung pada 5 November lalu sehingga 6 Disember depan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula bermula 19 November hingga 13 Disember.