Pelajar lepasan PMR hilang
12 November 2012

Norleha menunjukkan gambar anak gadisnya yang hilang di asrama sekolah sebaik menamatkan peperiksaan PMR.
DUNGUN – “Saya harap dia segera pulang ke pangkuan kami. Saya merayu sangat dia kembali kerana bimbang keselamatannya,” kata Norleha Othman, 50, ibu kepada Nur Anissa Syafiqa Ramli, 15, remaja perempuan yang dilaporkan hilang di asrama sekolahnya.
Nur Anissa Syafiqa disedari hilang setelah gadis berambut pendek itu tiada di asrama sekolahnya.
Berikutan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik di Rumah Lindungan Kasih, Negeri Sembilan itu, kakak mangsa, Rosnaimah Ramli, 34, membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam, Melaka Tengah, jam 10 malam 16 November lalu.
Norleha yang menemui Sinar Harian ketika mengadu masalahnya berkata, berdasarkan maklumat diterima, anak gadisnya itu dipercayai melarikan diri dengan dua rakan sekolahnya bersama seorang lelaki tidak dikenali.
Norleha yang berasal dari Gong Pasir, Dungun, berkata, dia sudah puas mencarinya di serata tempat termasuk Negeri Sembilan dan Terengganu, namun Nur Anissa Syafiqa yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu gagal ditemui.
“Saya bimbang jika dia dipengaruhi oleh individu tidak bertanggungjawab yang membawanya ke jalan yang salah.
“Kalau dia baca berita ini, harap dia pulang ke pangkuan makcik, kasihanilah makcik, lagipun ayahnya sudah meninggal dunia,” kata Norleha yang baru kehilangan suami awal Oktober lalu.
Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai gadis berkenaan diminta menghubungi talian 019-6009780 atau balai polis berdekatan.