Remaja, warga emas terbabit judi internet – Sinar Harian


Remaja, warga emas terbabit judi internet

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 November 2012
Remaja, warga emas terbabit judi internet
Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff menunjukkan longgokkan set komputer yang dirampas hasil beberapa serbuan cegah judi internet yang dijalankan pihaknya

KUANTAN- Seorang remaja 16 tahun dan warga emas 62 tahun antara 86 individu yang ditahan dalam 17 serbuan Ops Dadu oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Kontinjen Pahang dan Bukit Aman di seluruh negeri ini sejak 9 hingga 11 November lalu.

Kesemua Individu berusia 16 hingga 62 tahun termasuk tiga wanita yang ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian internet haram sama ada sebagai pemain atau penjaga premis.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, daripada jumlah ser-buan sepanjang tiga hari itu, tujuh kes di Kuantan, enam di Bera dan masing-masing  dua serbuan di Temerloh dan Rompin.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis berjaya merampas 351 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM300 ribu kerana disyaki digunakan untuk tujuan perjudian internet dan tunai dipercayai hasil pertaru-han berjumlah RM6,895.

“Kita dapati ada beberapa premis yang diserbu mengulangi kesalahan sama walaupun pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut  Seksyen 4 (1)(b) Enakmen Hiburan 1993 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi terbuka 1953,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, jika  sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih lima tahun penjara.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada sebahagian daripada premis yang diserbu  bertindak berani apabila menjalankan kegiatan tersebut  tanpa sebarang lesen.

“Anggota kita juga ada kaedah tersendiri untuk mengekang kegiatan ini walaupun selicik mana mereka berselindung,” katanya.

Menurutnya, pihak polis memandang serius kegiatan ini kerana kewujudannya menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya di daerah ini.

“Kita amat berharap supaya ibu bapa memantau anak masing-masing terutama golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu atau berada di dalam premis siber yang menyediakan permainan berunsurkan perjudian.

“Sama ada mereka bermain atau tidak, pelanggan yang berada dalam premis terlibat juga boleh dikenakan tindakan atau ditahan untuk siasatan,” katanya.

Misteri budak ditemui sendirian atas batu – Sinar Harian


Misteri budak ditemui sendirian atas batu

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 November 2012
Misteri budak ditemui sendirian atas batu
Berdasarkan maklumat, mungkin inilah kawasan perkelahan kanak-kanak tersebut sebelum didapati sesat di hutan berhampiran.

JELAPANG – Misteri. Itu yang boleh digambarkan mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hanya terduduk di atas batu berseorangan tanpa berkata apa-apa.

Kanak-kanak itu ditemui oleh seorang kontraktor yang bekerja di tapak projek berhampiran Bukit Meru di sini, kira-kira jam 3 petang, semalam.

Sumber polis berkata, kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan ke Balai Polis Jelapang oleh kontraktor berkenaan setelah dia dilihat seolah-olah mengalami trauma.

“Berdasarkan siasatan, kanak-kanak itu tidak dapat mengingati kenapa dia berada di kawasan berkenaan tetapi dia ada menyebut dia berkelah di kawasan Chepor sebelum tersesat di dalam hutan kira-kira lima kilometer dari kawasan dijumpai.

“Kanak-kanak itu juga seolah-olah gagal mengingati tempat tinggal. Usaha polis meronda di sekitar kawasan, akhirnya berjaya menemui rumah keluarganya di Taman Malar, Tambun, petang tadi (semalam),” katanya.

Katanya, kanak-kanak itu berjaya diserahkan kepada keluarganya yang tidak mengetahui kejadian sebenar yang menimpa kanak-kanak itu.

‘Dapat jawab soalan dengan baik’ – Metro


‘Dapat jawab soalan dengan baik’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Memang tidak dinafikan proses ulang kaji pelajaran sedikit terjejas, namun ia bukan penghalang kepada saya yang setakat ini menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” kata Muhd Shalihin Mohd Nor, 17, antara tiga pelajar di negeri ini yang gigih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam, walaupun rumah mereka ditenggelami air akibat banjir.

Sabtu lalu, rumah mereka di sekitar Tehel, dekat sini, masing-masing membabitkan Kampung Tanjung Laboh, Kampung Parit Lampong dan Kampung Serompong, dinaiki air hingga menyebabkan 21 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Seramai 97 mangsa termasuk warga emas membabitkan 21 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tehel berikutan banjir belum surut. Tujuh mangsa membabitkan tiga keluarga masing-masing dua di Bukit Katil di sini, dan Kesang Barat, Jasin, turut dipindahkan ke dua pusat pemindahan di sekitar kawasan berkenaan. Menurut Shalihin, dia bersyukur kerana semua buku pelajarannya berjaya diselamatkan daripada dihanyutkan air yang memasuki rumah mereka hingga paras lutut, petang Sabtu lalu.

 

“Biarpun terpaksa meredah banjir untuk memunggah pakaian sekolah dan buku dari rumah malam tadi (kelmarin), ia tidak sesekali melemahkan semangat saya untuk menduduki peperiksaan.
“Ini semua demi masa depan saya dan Alhamdulillah saya berjaya menjawab soalan dengan baik,” kata anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meninjau sesi peperiksaan SPM.

 

 

Pelajar jurusan kemahiran pembinaan domestik yang mengambil tujuh subjek itu berharap banjir melanda rumahnya cepat surut.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

40 tahun bersabar – Metro


40 tahun bersabar

Oleh Maria Uffa Zulkafeli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

YAN: “Selepas hampir 40 tahun menunggu, akhirnya saya berpeluang merasai detik yang lama diimpikan itu,” kata Hasanah Abdullah, 55, seorang calon persendirian yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012, semalam.

Hasanah antara 147 calon persendirian dari Sekolah Menengah Kebangsaan Langkasuka, Guar Chempedak, di sini, yang menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak.
Nenek kepada tiga cucu itu, berkata dia terharu kerana dapat menduduki SPM dan tidak menjadikan usia sebagai halangan merealisasikan impiannya.

 

“Selepas tamat darjah enam, saya langsung tidak berpeluang meneruskan pengajian dan bertambah malang apabila terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga enam adik lain selepas kematian ibu ketika berusia 15 tahun.
“Bagaimanapun, ketika usia 16 tahun, saya pernah beberapa kali menyuarakan hasrat mahu mengambil peperiksaan (ketika itu) Malaysia Certificate of Education (MCE), namun dihalang ayah kerana perlu menjaga ramai adik yang masih kecil,” katanya ketika ditemui, di sini.
Hasanah yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani, berkata walaupun sudah berusia, keinginan yang tinggi untuk meneruskan impian sejak kecil tidak pernah melenturkan semangatnya.

 

 

“Saya memegang prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’…maka sehingga sekarang saya tidak pernah berputus asa menimba lebih banyak ilmu untuk berjaya dalam hidup.
“Walaupun sedikit gementar, saya mengulang kaji pelajaran seperti biasa termasuk belajar dengan rakan supaya mudah mengingati apa diajar guru dalam kelas,” katanya.

 

Hasanah yang mengambil enam subjek teras dan Tasawur Islam serta Bahasa Arab itu, berkata dia berharap memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM selepas berusaha dan belajar bersungguh-sungguh sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Calon rabun guna kertas soalan besar – Metro


Calon rabun guna kertas soalan besar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RANTAU PANJANG: “Saya tidak pernah menganggap diri saya berbeza dengan orang lain dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Mohd Affandi Arifin, 17, yang mengalami masalah rabun teruk sehingga terpaksa menjawab soalan peperiksaan SPM semalam dengan kertas lebih besar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang (SMKRP) itu berkata, ini bukanlah kali pertama dia menduduki peperiksaan sebagai calon rabun kerana pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu dia turut mendaftar sebagai calon rabun.
“Penyakit rabun yang saya alami sejak lahir ini menyebabkan saya diberi kertas soalan peperiksaan bersaiz lebih besar daripada calon lain, sekali gus memudahkan saya membaca soalan. “Saya mendaftar 10 subjek bagi peperiksaan SPM dan berazam memperoleh keputusan terbaik biarpun walaupun rabun teruk,” katanya.

 

Menurutnya, biarpun rabun, dia tidak boleh memakai cermin mata kerana dikhuatiri masalah sukar melihat dialaminya bertambah teruk.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

19 tentera ‘berperang’ atas kertas – Metro


19 tentera ‘berperang’ atas kertas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seramai 19 anggota Tentera Darat lengkap beruniform mengejutkan lebih 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini, semalam apabila hadir memasuki dewan sebagai calon persendirian.

Semua anggota lelaki berusia antara 23 dan 27 tahun itu antara 44,291 calon yang menduduki SPM di negeri ini termasuk 2,585 calon persendirian. Mereka hadir di pekarangan sekolah berkenaan pada jam 7 pagi sebelum menduduki kertas peperiksaan pertama, Bahasa Melayu Kertas 1 bermula jam 8 pagi Calon paling tua, Prebet Mohd Azree Mohd Fauzi, 27, dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Sangro, Taiping mengakui sangat teruja menduduki peperiksaan itu selepas hampir 10 bulan menelaah pelajaran di Kem 2 Briged, di sini.
Dia yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata, dia mula memasuki Pusat Pendidikan Wilayah (PPW) 2 Briged selepas melepasi tapisan untuk menjalani program pembelajaran di kem berkenaan.

 

“Selepas hampir tujuh tahun berkhidmat, tiba masanya untuk saya membuktikan kepada keluarga yang saya mampu menduduki peperiksaan itu selepas hanya menamatkan alam persekolahan setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Najwa idam 6A – Metro


Najwa idam 6A

Oleh Haidhar Hilmi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RESTU...Najwa memeluk ibunya   sebelum memasuki dewan peperiksaan.
RESTU…Najwa memeluk ibunya sebelum memasuki dewan peperiksaan.

BATU PAHAT: Artis remaja popular, Najwa Latiff, 17, yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Temenggong Ibrahim di sini, semalam, mengidam keputusan 6A bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran pada masa depan.

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif yang terkenal menerusi lagu popularnya, Cinta Muka Buku mengakui terpaksa berkorban demi menduduki peperiksaan itu termasuk menangguhkan sebarang aktiviti seninya sejak beberapa bulan lalu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses mengulangkaji pelajaran.

“Ketika membuat rakaman mahu pun persembahan, saya tidak pernah mengabaikan pelajaran dan sering mencuri masa mengulangkaji pelajaran selain mengikuti tuisyen.

“Seperti pelajar lain, saya juga gugup, namun yakin mampu menjawab semua kertas peperiksaan dengan baik,” katanya.

 
Najwa antara 192 pelajar calon sekolah itu semalam, menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan Bahasa Melayu 2 di Dewan Seri di sekolah berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Berkhatan tarik minat murid bukan Islam – Utusan


Berkhatan tarik minat murid bukan Islam

Lilah Yasin memberikan sumbangan sambil bertanyakan sesuatu kepada Calvent George Julianus (duduk, kanan) dalam majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan St. Aidan di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL 12 Nov. – Program berkhatan pada musim cuti sekolah bukan sahaja dinantikan oleh masyarakat beragama Islam, malah turut menarik minat mereka dari agama lain untuk turut serta.

Perkara ini dibuktikan melalui program berkhatan anjuran Sekolah Kebangsaan St. Aidan, Bahau dekat sini apabila seorang murid, Calvent George Julianus, 11, memilih untuk berbuat demikian atas faktor kesihatan.

“Saya melakukannya kerana sedar kebaikannya dalam aspek kesihatan selain mengurangkan jangkitan kuman di saluran kencing,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_26/Berkhatan-tarik-minat-murid-bukan-Islam#ixzz2C4EBYfvG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Insentif khas lulusan ijazah, diploma tidak naik pangkat – Utusan


Insentif khas lulusan ijazah, diploma tidak naik pangkat

KOTA KINABALU 12 Nov. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200 kepada pemegang diploma.

Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan jawatan mereka.

“Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik tertakluk kepada jawatan kosong.

“Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan pengalaman mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_11/Insentif-khas-lulusan-ijazah-diploma-tidak-naik-pangkat#ixzz2C4DzbV5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd