Remaja, warga emas terbabit judi internet – Sinar Harian


Remaja, warga emas terbabit judi internet

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 November 2012
Remaja, warga emas terbabit judi internet
Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff menunjukkan longgokkan set komputer yang dirampas hasil beberapa serbuan cegah judi internet yang dijalankan pihaknya

KUANTAN- Seorang remaja 16 tahun dan warga emas 62 tahun antara 86 individu yang ditahan dalam 17 serbuan Ops Dadu oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Kontinjen Pahang dan Bukit Aman di seluruh negeri ini sejak 9 hingga 11 November lalu.

Kesemua Individu berusia 16 hingga 62 tahun termasuk tiga wanita yang ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian internet haram sama ada sebagai pemain atau penjaga premis.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, daripada jumlah ser-buan sepanjang tiga hari itu, tujuh kes di Kuantan, enam di Bera dan masing-masing  dua serbuan di Temerloh dan Rompin.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis berjaya merampas 351 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM300 ribu kerana disyaki digunakan untuk tujuan perjudian internet dan tunai dipercayai hasil pertaru-han berjumlah RM6,895.

“Kita dapati ada beberapa premis yang diserbu mengulangi kesalahan sama walaupun pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut  Seksyen 4 (1)(b) Enakmen Hiburan 1993 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi terbuka 1953,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, jika  sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih lima tahun penjara.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada sebahagian daripada premis yang diserbu  bertindak berani apabila menjalankan kegiatan tersebut  tanpa sebarang lesen.

“Anggota kita juga ada kaedah tersendiri untuk mengekang kegiatan ini walaupun selicik mana mereka berselindung,” katanya.

Menurutnya, pihak polis memandang serius kegiatan ini kerana kewujudannya menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya di daerah ini.

“Kita amat berharap supaya ibu bapa memantau anak masing-masing terutama golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu atau berada di dalam premis siber yang menyediakan permainan berunsurkan perjudian.

“Sama ada mereka bermain atau tidak, pelanggan yang berada dalam premis terlibat juga boleh dikenakan tindakan atau ditahan untuk siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s