Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok – Sinar Harian


Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok

MOHD RIZAL ABDULLAH
14 November 2012
Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok
Beberapa kanak-kanak menunjukkan tempat kejadian pokok tumbang yang mengorbankan Nurhanis.
Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok
Ayah Intan, Md Nasir Yakop, 40, bersama ibunya, Norhayati Moktar, 45, melihat keadaan anaknya yang masih lemah.

BALING – “Anis nak belikan ibu kek dua tingkat. Kek ini untuk hari jadi ibu,” itu kata-kata terakhir Nurhanis Abdul Rahman, 8, kepada ibunya, Faridah Che Nordin, 35, sebelum maut dihempap pokok getah di Kampung Keda Banggol Petai dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi kelmarin.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah mengumpul wang sakunya sebanyak RM1 sehari untuk membeli kek berkenaan sempena hari jadi ibunya itu.

Namun, segalanya hancur setelah Nurhanis disahkan meninggal dunia iaitu pada hari jadi ibunya selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Faridah berkata, kata-kata anaknya itu tidak dapat dilupakan malah sentiasa bermain di fikirannya.

“Saya tidak menyangka Anis akan pergi buat selama-lamanya. Namun saya reda dengan segala ketentuan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya sedang mencari bunga untuk digunakan sempena hari jadinya itu.

“Arwah ingin membuat kejutan kepada saya. Disebabkan itu, saya tidak mengetahui tujuan asalnya keluar ke rumah. Saya ingat dia sekadar bermain bersama rakan-rakannya.

“Selepas kejadian, rakan-rakannya memaklumkan mereka mengutip bunga untuk hari jadi saya. Kata mereka, arwah ingin buat kejutan kepada saya,” katanya.

Arwah mahu lebih perhatian
KATANYA, arwah banyak menunjukkan perubahan antaranya terlalu gembira selain sering mencuri perhatian ahli keluarganya.

“Saya tidak tahu kenapa, arwah memang terlalu gembira sebelum kejadian itu. Setiap perlakuannya sentiasa menjadi perhatian kami. “Arwah seolah-olah mahu kami beri perhatian lebih kepadanya,” katanya.

Ayah mangsa, Abdul Rahman Ismail, 42, berkata, anaknya begitu gembira untuk menyambut hari jadi ibunya malah bercadang membelikan kek dua tingkat kepada ibunya itu.

“Arwah sempat berpesan supaya memanggil rakan-rakannya semasa majlis hari jadi itu. “Namun segalanya kini menjadi kenangan buat kami setelah arwah pergi dulu sebelum kami,” katanya.

Cuba jerit panggil ibu
SEMENTARA itu, kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian ini, Intan Suhaili Najwa Md Nasir, 8, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua rakannya termasuk Nurhanis dalam perjalanan mencari bunga.

Menurutnya, ketika tiba di persimpangan jalan, sebatang pokok getah tumbang dan menghempap dirinya termasuk arwah.

“Ketika itu saya lihat arwah tidak lagi berganjak. Saya pula tersepit di celah batang kayu itu. “Saya jerit nama ibu kerana takut dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Katanya, seorang lagi rakannya berlari untuk mendapatkan bantuan apabila melihat dirinya termasuk arwah terlantar di atas jalan. “Tidak lama kemudian, beberapa penduduk setempat datang dan membantu mengeluarkan saya bersama arwah Nurhanis,” katanya.

Intan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakan karibnya itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak, Nurhanis Abdul Rahman maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap pokok getah.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mencari bunga sempena menyambut tarikh lahir ibunya semalam iaitu sehari sebelum kematiannya itu.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Golok pada jam 12.30 tengah malam, semalam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s