Alternatif bendung HIV – Metro


Alternatif bendung HIV

Oleh Dr Norman Mohd Norawi
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUSIM cuti sekolah sudah bermula, maka bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam di negara ini. Ia menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia untuk mengkhatankan anak lelaki ketika musim cuti sekolah. Kesedaran berkhatan turut berkembang dalam kalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana banyak faedah kesihatan.

Berkhatan adalah memotong kulit di hujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin). Ia biasanya susah dipisahkan tetapi akan lebih mudah apabila kanak-kanak itu meningkat ke umur remaja.
Dari sudut sejarah sesetengah ulama berpendapat berkhatan bermula dengan Nabi Adam dan ada juga berpendapat manusia pertama yang berkhatan adalah Nabi Ibrahim. Apa yang pasti berkhatan sudah diamalkan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dulu. Terdapat ukiran di piramid yang menunjukkan budaya berkhatan pernah dilakukan masyarakat Mesir kuno pada zaman firaun lagi.

 

Di dalam Islam berkhatan adalah amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan.
Menurut mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya sunat saja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam mazhab Hambali pula, Imam Ahmad berpandangan ia hanya wajib ke atas lelaki. Adapun ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk kesihatan individu itu juga.
Syariat berkhatan Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi. Bagi masyarakat Melayu pula, biasanya berkhatan ketika kanak-kanak dalam umur lima hingga 12 tahun. Dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah menceritakan: “Sesungguhnya Nabi s.a.w mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim) Banyak hadis Rasulullah menunjukkan mengenai pensyariatan khatan, antaranya hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Kebanyakan ulama berpendapat, khatan wajar dilakukan ketika kanak-kanak lelaki meningkat umur baligh. Malah, ada ulama berpendapat lebih afdal bagi ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.

 

 

Seorang ulama terkenal, Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak boleh diajarkan solat iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun.
Beliau menghukumkan makruh dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini menyerupai amalan kaum Yahudi. Ibnu Juzaiy juga berpendapat amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi kaum wanita.

 

Berkhatan dan kesihatan Hikmah berkhatan dari sudut agama adalah dituntut dan menjadi amalan nabi-nabi manakala dari sudut kesihatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat, terutama bagi kaum wanita serta memberi keselesaan ketika pasangan suami isteri bersama.
Sains membuktikan bahawa amalan berkhatan mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan kajian, termasuk yang amat nyata kadar kanser zakar jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi.
Terdapat kajian terbaru menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan. Kajian Cochrane meta analysis yang dijalankan di Afrika pada 2007 juga menunjukkan berkhatan boleh menurunkan risiko jangkitan HIV di antara 38 hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.
Kesimpulan daripada kajian ini mencadangkan lelaki digalakkan berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di negeri Sub Sahara Afrika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan satu daripada program mencegah HIV ialah dengan menggalakkan amalan berkhatan.
Berkhatan juga menurunkan insiden jangkitan HSV-2 sehingga 28 peratus, berkait dengan penurunan prevalen HPV dan risiko jangkitan kuman saluran kencing. Oleh itu, ia secara tidak langsung menurunkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim.
Dari aspek perubatan, berkhatan dibuat sebagai rawatan ke atas pesakit mengalami masalah jangkitan kuman kulup zakar (balanitis), kulup mempunyai lubang pin (pinhole phimosis) atau tertutup yang menyebabkan kulup membelon ketika kencing dan juga kanak-kanak lelaki yang selalu mendapat jangkitan saluran kencing.
Sekarang terdapat inovasi yang direka untuk mengurangkan risiko pembedahan berkhatan dengan penggunaan ‘klamp’ plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat dilakukan. Pelbagai jenis ‘klamp’ terdapat dalam pasaran seperti Sunathrone, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan Plastibel.
Kaedah berkhatan dengan menggunakan klamp sudah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan, kurang risiko jangkitan, lebih selesa kepada kanak-kanak kerana boleh terus memakai seluar, mandi dan bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa sakit. Kanak –kanak juga mudah untuk membuang air kecil dan mudah untuk beristinjak tanpa mencemarkan luka berkhatan. Ibu bapa hanya perlu mendapatkan khidmat doktor terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah ini. Pengalaman penulis menggunakan kaedah ‘klamp’ sejak lapan tahun lalu membuktikan kelebihannya kerana mengurangkan ‘sakit pinggang’ kepada doktor yang membuat pembedahan berkhatan berbanding dengan kaedah menjahit luka itu.
Terpulanglah kepada ibu bapa untuk memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Pastikan kaedah yang dipilih memberikan keselesaan kepada anak dan mengurangkan risiko komplikasi. Penulis pengamal Perubatan Am pengkhususan dalam Estetik, Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14

PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali – Utusan


PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar cuti am Deepavali kini merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.

Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak memberikan kesan besar ke atas Labuan yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang kecil, kawasan itu secara simbolik tetap layak memandangkan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan yang dicapai oleh Kabinet itu juga menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar inklusif ke atas semua kaum.

“Orang-orang India di Malaysia tetap mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripada kerajaan Barisan Nasional,” ketika berucap dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, dekat sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti PPP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Selain orang ramai, kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut menyerikan lagi majlis sempena perayaan bagi masyarakat India beragama Hindu itu.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan serta kepimpinan PPP dan BN peringkat Wilayah Persekutuan.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menikmati juadah yang disediakan sebelum pulang meninggalkan majlis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_02/PM-umum-WP-Labuan-dapat-cuti-am-Deepavali#ixzz2C9CGc3Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd

11 remaja Cina turut sertai acara berkhatan – Utusan


11 remaja Cina turut sertai acara berkhatan

Albert Khor (duduk, tiga dari kiri) berbual bersama remaja keturunan Cina yang berkhatan di Chekok, Pasir Mas, semalam.

PASIR MAS 13 Nov. – Amalan berkhatan yang menjadi kewajipan dalam kalangan umat Islam turut diamalkan masyarakat Cina sebagai tradisi sejak sekian lama.

Dalam meneruskan tradisi berkenaan sebanyak 11 remaja remaja kaum Cina berusia lapan hingga 18 tahun menyertai acara berkhatan dalam majlis yang diadakan di Kampung Pasir Parit di sini.

Timbalan Pengerusi Gerakan Kelantan, Albert Khor berkata, tradisi berkhatan telah diamalkan masyarakat Cina di sini sejak 50 tahun lalu.

Beliau berkata, amalan tersebut diterima masyarakat Cina dan menjadi tradisi turun-temurun bermula dari zaman nenek moyang yang menetap di daerah Pasir Mas ini berpuluh tahun dahulu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_23/11-remaja-Cina-turut-sertai-acara-berkhatan#ixzz2C9C9fq9e
© Utusan Melayu (M) Bhd