PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar cuti am Deepavali kini merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.
Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak memberikan kesan besar ke atas Labuan yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang kecil, kawasan itu secara simbolik tetap layak memandangkan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, keputusan yang dicapai oleh Kabinet itu juga menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar inklusif ke atas semua kaum.
Orang-orang India di Malaysia tetap mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripada kerajaan Barisan Nasional,” ketika berucap dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, dekat sini hari ini.
Sementara itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti PPP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Selain orang ramai, kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut menyerikan lagi majlis sempena perayaan bagi masyarakat India beragama Hindu itu.
Yang hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis DCruz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan serta kepimpinan PPP dan BN peringkat Wilayah Persekutuan.
Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menikmati juadah yang disediakan sebelum pulang meninggalkan majlis.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_02/PM-umum-WP-Labuan-dapat-cuti-am-Deepavali#ixzz2C9CGc3Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd