PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terbunuh manakala ibu saudara dan sepupunya masing-masing berusia 19 dan sembilan tahun cedera ringan apabila motosikal yang dinaiki tiga orang itu hilang kawalan dan terbabas di Jalan Masai-Kong Kong di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohammad Aqil Danesh yang duduk dalam raga meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang yang juga ibu saudara mangsa, Nurfarain Adabiyah dan sepupu arwah, Syeril Aqila cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila ketiga-tiga mangsa dari arah pasar malam di Jalan Bacang dalam perjalanan pulang ke Felda Cahaya Baru.
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi Nurfarain tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjatuh ke bahu jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa terjatuh dan arwah cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua mangsa lain hanya cedera ringan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Mohd Roslan berkata, jenazah Mohammad Aqil dan dua mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI). “Polis berharap orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15