Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012
Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur
Tertuduh ditawar jaminan RM4,000 bagi setiap tuduhan setelah dihadapkan ke mahkamah.

KUANTAN – Seorang tukang cat berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam, atas tiga tuduhan merogol  gadis bawah umur, 9 November lalu.

Tertuduh, Mohd Fauzi Jusoh, 31, dari Kuala Terengganu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah
Mohd Nazari di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa merogol gadis terbabit yang baru berusia 13 tahun tiga bulan kira-kira jam 3.40 pagi dalam sebuah rumah di Lorong Sungai Isap 33, Taman Murni Uda, di sini.

Tertuduh mengulangi perbuatannya itu kira-kira jam 8.30 pagi dan 12 tengah hari di lokasi dan hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohd Azhar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan tiga penjamin bagi semua tuduhan dan menetapkan tarikh 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Gurauan melampau 13 remaja – Sinar Harian


Gurauan melampau 13 remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012

BANDAR MARAN – Lagak seperti budak baik, namun tanpa disangka, 13 remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun bertindak biadab apabila menjadikan seorang warga emas sebagai bahan gurauan dan hiburan mereka.

Mangsa berusia 80-an yang lebih dikenali sebagai Apek itu diganggu dengan usikan ‘manja’ kumpulan remaja berkenaan yang membaling plastik berisi cili kisar dan cat ketika sedang sendirian membersihkan sebuah gerai makanan, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang menjalankan rutin harian di gerai tersebut terkejut dengan tindakan biadab remaja terbabit sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Bagaimanapun pada malam berikutnya, kejadian sama berulang sehingga memaksa mangsa membuat laporan polis buat kali kedua.

Difahamkan, kumpulan remaja yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari dan Kancil serta beberapa motosikal itu tidak berniat mengganggu mangsa, namun seronok berbuat demikian terutama apabila mangsa memberi respons dengan kata-kata seakan merungut.

Menurut seorang remaja berkenaan, mereka hanya ingin ‘berhibur’ dan bersorak gembira selepas dapat mengenakan Apek dengan usikan sedemikian.

“Memang Apek tidak pernah buat salah dengan kami tetapi kami hanya suka-suka, malah tidak mendatangkan kecederaan pun.

“Seronok bila Apek keluar dari kedai marah-marah dan kemudian kami akan gelak ramai-ramai kerana rancangan mengenakan Apek berjaya,” katanya.

Seorang saksi pula berkata, kumpulan remaja itu turut menolak rebah motosikal mangsa yang diletakkan di luar kedai dan berlari menyelamatkan diri selepas dikejar mangsa.

Katanya, usikan biadab itu berulang beberapa kali, selain mengotorkan lantai kedai dengan tumpahan cili kisar dan cat.

“Saya hairan bagaimana ada remaja yang sedang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh terlibat dan merayau pada awal  pagi tanpa kawalan ibu bapa.

“Perbuatan mereka sangat biadab dan dikhuatiri akan berlarutan sehingga boleh mengancam keselamatan mangsa jika tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman Ab Hamid mengesahkan menerima dua laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, kesemua 13 remaja terbabit mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dengan niat mahu bergurau.

“Perkara ini dimaklumkan kepada ibu bapa mereka dan satu pertemuan diadakan bersama mangsa untuk tindakan lanjut.

“Kes selesai selepas perbincangan kedua belah pihak dan ibu bapa memberi jaminan perkara sama tidak berulang lagi,” katanya.

Bapa lima anak dituduh cabul budak – Sinar Harian


Bapa lima anak dituduh cabul budak

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012

SEREMBAN – Seorang bapa lima anak dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak awal November lalu.

Tertuduh, Mohd Rosli Nyambai, 41,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun di Nombor 57 Desa Pinggiran Bayu, Mantin dalam daearah Nilai pada 7 November lalu.

Majistret Haslina Basarudin memerintahkan kes untuk sebutan semula pada 14 Disember depan dengan ikat jamin dengan seorang penjamin sebanyak RM4,000.

Sebanyak 230 kanak-kanak sertai program Khatan Perdana – Bernama


Sebanyak 230 kanak-kanak sertai program Khatan Perdana

17 November 2012

KANGAR – Sebanyak 230 kanak-kanak hari ini menyertai program Khatan Perdana 2012 yang berlangsung di Dewan 2020 di sini.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri Perlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sebelum dikhatankan, mereka diarak dengan keretapi mini Taman Ular dan Reptilia (TUR) Perlis mengelilingi Dewan 2020 sebelum dimandikan beramai-ramai dengan pancutan air oleh jentera bomba.

Md Isa berkata program itu bertujuan meringankan beban ibu bapa untuk mengkhatankan anak mereka di samping mewujudkan suasana mesra dan ceria dalam majlis berkhatan.

Dewan 2020 yang sebelum ini menjadi tempat berseminar, persidangan dan acara rasmi kerajaan hari ini bertukar menjadi dewan bedah dengan puluhan petugas Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan klinik-klinik kesihatan mengendalikan program khatan itu.- Bernama

Yayasan Wilayah Persekutuan bantu anak mangsa kebakaran – Sinar Harian


Yayasan Wilayah Persekutuan bantu anak mangsa kebakaran

HIDAYAH HAIROM
17 November 2012

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersedia untuk menyalurkan bantuan persekolahan tiga anak Allahyarham Mohd Hakimi Zubair, 40, dan  isterinya, Leila Sahak, 40, yang terkobar dalam kebakaran di  sebuah banglo di Taiping, Perak pada 13 November lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pihaknya prihatin dan simpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu.

Menurutnya, bantuan berbentuk kewangan juga dihulurkan bagi mengurangkan beban yang ditanggung anak-anak arwah.

“Dua bentuk bantuan persekolahan yang boleh disalurkan iaitu untuk sesi tahun hadapan dan juga bantuan kewangan yang berterusan kepada anak-anak  mangsa.

“Selain itu, bantuan kewangan berjumlah RM3,500 juga disalurkan oleh YWP, Umno Bandar Tun Razak, dan sumbangan saya sendiri,” katanya ketika penyampaian bantuan tersebut di Dewan Merawan, Taman Len Seng, Cheras, di sini, hari ini,

Hadir sama, Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Mohd Idris Mohd Isa; Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Tun Razak, Azami Mohamad.

Allahyarham Mohd Hakimi adalah seorang akauntan sebuah bank di ibu negara, yang juga Bendahari Persatuan Penduduk Alam Damai Merawan, Cheras, meninggal dunia bersama isteri serta anak bongsu mereka dalam kejadian menyayat hati itu.

Mereka meninggalkan tiga anak iaitu Luqman Hafiy, 13; Ain Najwa, 11, dan Azad Fahmi, 8.

Sementara itu, adik kepada arwah Mohd Hakimi, Azam Zubair, 38, berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan atas inisiatif pihak persatuan penduduk, Umno, YWP, dan Raja Nong Chik sendiri.

Katanya, dia sebelum ini menetap di United Kingdom dan pulang  ke Malaysia sebaik mengetahui kejadian yang menimpa keluarga abangnya itu.

“Kami sekeluarga masih berbincang berhubung penjagaan anak-anak arwah, juga melibatkan keluarga sebelum arwah isteri,” katanya.

Kejadian kebakaran di banglo dua tingkat yang juga rumah bapa arwah Mohd Hakimi, turut mengorbankan pembantu rumah, warga Indonesia, dikenali sebagai Rizki, 40.

2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin – Bernama


2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin

17 November 2012

KUANTAN  –  Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan Taman Negeri Endau Rompin semalam ditemui kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian pagi ini.

Mayat Mohd Hanafi Zainuddin, 15, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat pada 8.53 pagi sementara  mayat ibunya, Rosnani Nordin, 31, ditemui pasukan selam skuba pada 10.31 pagi tadi.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah, kata Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan.

Dalam satu lagi kejadian di Nenasi, Pekan, mayat seorang daripada dua bersaudara yang hilang ketika mencari siput di Sungai Badong, Nenasi petang semalam turut ditemui.

Mayat Mohamad Syafiruddin Hussin, 14, dari Bandar Seri Bandi, Kemaman ditemui tenggelam kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mangsa bersama saudaranya, Mazura Ali, 14, dari Kampung Badong, Merchong dilaporkan hilang ketika mencari siput di Sungai Pahang berdekatan Nenasi.

Anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Pekan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat Mazura. – Bernama

Sekolah di Terengganu punyai ‘bank’ kitar semula – Bernama


Sekolah di Terengganu punyai ‘bank’ kitar semula

17 November 2012

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan bank kitar semula di semua sekolah, di Terengganu mulai, tahun depan.

Pengarahnya Fatimah Ahmad berkata bagi merealisasikan hasrat itu, PPSPPA Terengganu akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi menggalakan pelajar terlibat dalam program kitar semula.

“Pelajar akan membawa bahan kitar semula seperti kertas, tin aluminium, atau botol ke sekolah dan agen PPSPPA akan datang untuk menimbang dan membeli. Duit hasil jualan bahan-bahan terbuang itu akan diserahkan kepada guru untuk diserahkan semula kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar di sini, hari ini.

Menurut Fatimah pelajar juga diberi peluang untuk membuka akaun bank sekirannya mereka terlibat secara aktif dalam program kitar semula yang
dijalankan itu.

Beliau berkata PPSPPA negeri Terengganu telah memulakan projek perintis mengitar semula bahan buangan melibatkan pelajar prasekolah dari 19 buah Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) di daerah Hulu Terengganu.

Melalui projek itu, Tadika berkenaan telah menunjukkan peningkatan mendadak dalam menghasilkan bahan kitar semula yang dibawa oleh kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun untuk dijual kepada agensi PPSPPA.

Katanya meskipun PPSPPA hanya mendedahkan program tersebut kepada kanak-kanak prasekolah, namun ia secara tidak langsung turut melibatkan ibu bapa mereka.

“Bila hari pungutan sisa pepejal dilakukan, pelajar akan minta ibu bapa mereka simpan bahan-bahan terbuang untuk dijual kepada kami,” katanya.

Program larian yang turut diadakan serentak di beberapa negeri di seluruh negara itu, melibatkan penyertaan seramai 6,000 peserta.  – Bernama