Gurauan melampau 13 remaja – Sinar Harian


Gurauan melampau 13 remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012

BANDAR MARAN – Lagak seperti budak baik, namun tanpa disangka, 13 remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun bertindak biadab apabila menjadikan seorang warga emas sebagai bahan gurauan dan hiburan mereka.

Mangsa berusia 80-an yang lebih dikenali sebagai Apek itu diganggu dengan usikan ‘manja’ kumpulan remaja berkenaan yang membaling plastik berisi cili kisar dan cat ketika sedang sendirian membersihkan sebuah gerai makanan, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang menjalankan rutin harian di gerai tersebut terkejut dengan tindakan biadab remaja terbabit sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Bagaimanapun pada malam berikutnya, kejadian sama berulang sehingga memaksa mangsa membuat laporan polis buat kali kedua.

Difahamkan, kumpulan remaja yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari dan Kancil serta beberapa motosikal itu tidak berniat mengganggu mangsa, namun seronok berbuat demikian terutama apabila mangsa memberi respons dengan kata-kata seakan merungut.

Menurut seorang remaja berkenaan, mereka hanya ingin ‘berhibur’ dan bersorak gembira selepas dapat mengenakan Apek dengan usikan sedemikian.

“Memang Apek tidak pernah buat salah dengan kami tetapi kami hanya suka-suka, malah tidak mendatangkan kecederaan pun.

“Seronok bila Apek keluar dari kedai marah-marah dan kemudian kami akan gelak ramai-ramai kerana rancangan mengenakan Apek berjaya,” katanya.

Seorang saksi pula berkata, kumpulan remaja itu turut menolak rebah motosikal mangsa yang diletakkan di luar kedai dan berlari menyelamatkan diri selepas dikejar mangsa.

Katanya, usikan biadab itu berulang beberapa kali, selain mengotorkan lantai kedai dengan tumpahan cili kisar dan cat.

“Saya hairan bagaimana ada remaja yang sedang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh terlibat dan merayau pada awal  pagi tanpa kawalan ibu bapa.

“Perbuatan mereka sangat biadab dan dikhuatiri akan berlarutan sehingga boleh mengancam keselamatan mangsa jika tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman Ab Hamid mengesahkan menerima dua laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, kesemua 13 remaja terbabit mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dengan niat mahu bergurau.

“Perkara ini dimaklumkan kepada ibu bapa mereka dan satu pertemuan diadakan bersama mangsa untuk tindakan lanjut.

“Kes selesai selepas perbincangan kedua belah pihak dan ibu bapa memberi jaminan perkara sama tidak berulang lagi,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s