Teliti Dahulu Pelan Pembangunan Pendidikan Sebelum Bagi Pandangan – Wee Ka Siong – Bernama


Teliti Dahulu Pelan Pembangunan Pendidikan Sebelum Bagi Pandangan – Wee Ka Siong

SEREMBAN: Mana-mana pihak yang ingin menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, perlu terlebih dahulu meneliti dan memahami kandungan pelan tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, ini bagi mengelak mereka membuat andaian sendiri atau terikut-ikut dengan pandangan pihak lain yang langsung tidak memahami kandungan pelan tersebut.

“Perkara-perkara yang ditulis dalam pelan tersebut perlulah diteliti dan sekiranya mereka ada apa-apa pandangan, mereka boleh bawa kepada kementerian kita.

“Sebab saya nampak ada yang terikut-ikut hujah pihak tertentu yang kononnya dalam pelan tersebut ada hujah untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Pertandingan Junior Robothon Eduspec kali ke-7 peringkat kebangsaan di SJK Cina Sin Hua, di sini Ahad.

Katanya, pelan tersebut dengan jelas menyatakan kedudukan SJK Cina dan Tamil yang dikekalkan termasuk penggunaan bahasa pengantar masing-masing iaitu Bahasa Mandarin dan Tamil, namun masih ada pihak menyalahtafsirkan perkara tersebut.

Wee berkata, pemahaman tentang pelan itu juga amat penting bagi mengelak mana-mana pihak memberikan tafsiran buruk dengan mengatakan kononnya terdapat muslihat tertentu dalam pelan tersebut.

“Semasa pelancaran pelan itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa pelan itu adalah laporan awal yang akan dibuka untuk pandangan masyarakat.

“Bermaksud, itu adalah satu dokumen yang belum dimuktamadkan, jadi kalau ada pihak yang menganggap macam mereka tidak ada saluran untuk menyatakan pandangan, itu tidak benar,” katanya. – BERNAMA

Pendidikan khas untuk kumpulan memerlukan perhatian – Bernama


Pendidikan khas untuk kumpulan memerlukan perhatian

2012/11/18 – 13:15:32 PMCetakEmel Kawan
GOLD COAST: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan memasukkan bab baru berkaitan pendidikan khas untuk kumpulan yang memerlukan perhatian bagi mencakupi keperluan khas kumpulan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penambahan bab itu dilakukan setelah mengambil kira maklum balas yang diterima sejak laporan awal pelan itu dilancarkan September lepas, katanya.

Berikutan itu, katanya, satu makmal untuk melihat keperluan khas untuk kumpulan yang memerlukan diadakan di mana beliau memberi pengiktirafan terhadap perakuan-perakuan baik yang dikemukakan makmal itu.

“Dan kita ada satu bab baru untuk menunjukkan dalam sistem pendidikan kita, mengenai kumpulan memerlukan perhatian khas, ada dijelaskan dengan lebih terperinci,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia di sini pada Ahad.

Muhyiddin berkata, masih ada ruang untuk pelbagai pihak memberikan maklum balas untuk memperkukuhkan pelbagai aspek dalam laporan awal pelan itu sebelum pelan lengkap disediakan meskipun ia kini berada di peringkat akhir.

“Kita sudah sampai peringkat akhir, lepas ini perlu dimantapkan, laporan akhir perlu disediakan,” katanya.

Turut dipertimbangkan hasil maklum balas yang diterima daripada masyarakat Cina ialah mengenai sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan seperti tuntutan persatuan Dong Zhong yang mahu kelas peralihan dikekalkan.
Muhyiddin berkata, pendekatan anjal untuk kelas peralihan mungkin boleh dilaksanakan sekiranya ia mahu dikekalkan bergantung kepada keupayaan pelajar.

“Kalau mereka rasa perlu lagi sekolah peralihan, mungkin kita boleh buat dalam bentuk yang lebih ‘flexi’ sebab keperluan pelajar ini berbeza-beza.

“Kalau pelajar itu hanya perlu masuk untuk tempoh tiga bulan atau enam bulan tidak perlu tunggu setahun, supaya yang mana dia kurang dalam Bahasa Malaysia boleh diperkukuhkan, bagi saya ia bukan masalah besar,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berharap penaja biasiswa pelajar Malaysia di Australia dapat mengkaji semula kadar biasiswa memandangkan kos sara hidup di negara itu semakin meningkat.

Katanya, pelajar Malaysia yang ditemuinya semasa lawatan di Australia memaklumkan mengenai peningkatan kos sara hidup yang perlu dihadapi mereka dan kesan kadar pertukaran kepada dolar Australia yang membebankan mereka.

Katanya ketika ini pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima USD1,200 sebulan tetapi kos sara hidup di Australia naik kepada USD1,500 sebulan.

“Kita harap pemberi biasiswa dapat lihat (kaji) balik (kadar biasiswa). Kita juga akan bawa kepada JPA untuk diteliti balik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin, yang akan pulang ke Malaysia Ahad, menyifatkan lawatannya itu berhasil mengembangkan kerjasama Malaysia-Australia dalam bidang pendidikan, perkhidmatan dan perdagangan.

Sewaktu di Melbourne, Muhyiddin menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Victoria Ted Baillieu dan Majlis Perniagaan Australia-Malaysia.

Di Gold Coast pula, beliau antaranya melancarkan Rangkaian Diaspora Saintifik Malaysia (MSDN) manakala di Brisbane pula diberi taklimat mengenai program golongan muda bermasalah BoysTown serta meninjau projek pembangunan Greater Springfield, yang dibangunkan pemaju kelahiran Malaysia, Maha Sinnathamby. – BERNAMA

Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid – Sinar Harian


Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid
Peserta khatan diarak dengan menaiki kereta kuda mengelilingi masjid An-Nur sebelum mereka dikhatankan.

TUMPAT – Suasana di perkarangan Masjid An-Nur meriah apabila seramai 39 peserta khatan diraikan dengan perarakan menaiki kereta kuda sempena majlis khatan perdana, di sini, semalam.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kota Kubang Labu itu turut dimeriahkan dengan menyuap pulut semangat kepada peserta sebelum mereka dikhatankan.

Pengerusi KRT Kota Kubang Labu, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, setiap tahun acara berkhatan perdana diadakan di sini dan tahun ini mendapat kerjasama dengan Masjid An-Nur.

“Pihak KRT mengenakan bayaran RM30 kepada setiap peserta walau pun kos berkhatan sebenarnya hampir RM80. Perbelanjaan selebihnya ditanggung oleh pihak KRT,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana tersebut.

Menurutnya, seramai lima doktor disediakan untuk proses berkhatan itu dan ada antara doktor itu adalah penduduk dalam KRT ini.

“Penyertaan peserta tidak terhad kepada kanak-kanak dalam KRT ini sahaja kerana semasa pendaftaran tersebut ada peserta dari jauh luar dari daerah ini,” katanya.

Majlis berkhatan ini dirasmikan  timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad merupakan Pengerusi Masjid An-Nur.

Cuepacs tubuh tabung khas – Sinar Harian


Cuepacs tubuh tabung khas

NORHASPIDA YATIM
18 November 2012
Cuepacs tubuh tabung khas
Omar menyampaikan sijil kepada peserta program profesionalisme perguruan pada majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun KKGLMSM, semalam.

KUALA TERENGGANU – Cuepacs kini dalam usaha menubuhkan tabung khas di bawah Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad bagi membantu pekerja sektor awam yang ditimpa musibah.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dana tabung kebajikan yang dijangka berjumlah RM1.4 juta itu akan diperoleh melalui hasil kutipan RM1 daripada seluruh kakitangan awam yang menjadi ahli Cuepacs.

“Inisiatif ini sebagai meringankan beban penjawat awam kerana sehingga kini tiada pampasan boleh dituntut mereka yang cedera akibat berdepan dengan musibah tidak diduga ketika sedang menjalankan tugas.

“Tabung ini dijangka mampu membantu meringankan beban mereka, sekali gus membantu ahli keluarga pekerja yang ditimpa kemalangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), di sini, semalam.

Menurutnya, beliau kini dalam usaha menggesa pihak bertanggungjawab terutama pihak majikan supaya menyediakan insentif khas bagi penjawat awam yang bekerja dalam suasana berdepan risiko tidak diduga.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan nyawa dan keselamatan pekerja.

“Kita cadang agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan insurans dan insentif khas bagi anggota beruniform terutama mereka yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

“Mereka sebenarnya perlu diberi perhatian kerana mempunyai beban tugas dan risiko bekerja tidak kira masa,” katanya.

Omar berkata, sudah tiba masanya majikan menyediakan satu skim perlindungan insurans yang dapat menjamin kebajikan anggota berkenaan apabila ditimpa kemalangan.

‘Pengantin baru’ dikhatan – Sinar Harian


‘Pengantin baru’ dikhatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
'Pengantin baru' dikhatan
Peserta melambai tangan kepada orang awam yang berada di tepi jalan.
'Pengantin baru' dikhatan
Mohamed meyempurnakan gimik pelepasan perarakan peserta berkhatan dan bertindik yang menaiki ‘low loader’ berhias dan pacuan empat roda.
'Pengantin baru' dikhatan
Khairul Nizam (kanan) dan Mohd Zuhanif Mat Zaid, 10, yang selesai dikhatankan ditempatkan di bilik khas untuk berehat.

CHUKAI – Karnival Berkhatan dan Bertindik Telinga Perdana Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai yang disertai seramai 300 kanak-kanak meninggalkan kenangan manis buat semua peserta.

Mereka diraikan seperti pengantin baru dan diarak menaiki kenderaan sejauh kira-kira tujuh kilometer mengelilingi bandar Chukai semalam.

Seramai 200 kanak-kanak lelaki yang menyertai acara berkhatan diarak menaiki dua buah ‘low loader’ berhias.

Sementara, 100 kanak-kanak perempuan yang bertindik diarak dengan menaiki pacuan empat roda bermula dari Pusat Khidmat Masyarakat Dun Chukai sebelum berhenti seketika di hadapan Pasar Chukai.

Perarakan itu yang diiringi paluan kompang dan selawat menjadikan suasana bandar Chukai yang lengang bertukar meriah.

Setiba di Pasar Chukai, peserta dihiburkan dengan persembahan silat dan tarian tradisional.

Lebih bermakna, orang awam yang berada di sekitar kawasan itu diberi peluang untuk merenjis air mawar dan memberikan bunga telur kepada semua peserta sebelum perarakan diteruskan sehingga tiba di Padang Astaka.

Suap pulut kuning

Bermula di Padang Astaka, peserta khatan diusung, sementara kanak-kanak perempuan berjalan kaki sehingga tiba semula ke pekara-ngan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Chukai, seterusnya semua peserta khatan dimandikan dengan air pili bomba.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera merasmikan karnival yang pertama kali dianjurkan pihaknya itu.

Sebagai gimik perasmian, beliau turut menyuap pulut kuning kepada peserta khatan yang berada di atas ‘low loader’.

Hadir sama pada program anju-ran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Chukai dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, Pejabat Kesihatan Kemaman dan Jawatankuasa

Kemajuan dan Keselamatan Kampung Taman Perumahan Gong Pauh itu ialah Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir.

Kurang beban Kewangan

MOHAMED berkata, program percuma berkenaan diadakan sempena musim cuti persekolahan, seterusnya bagi memastikan kanak-kanak dapat berkhatan dan bertindik secara sempurna.

“Kita anjurkan program ini secara percuma untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dan penjaga kerana kos untuk berkhatan juga agak tinggi.

“Untuk kanak-kanak lelaki, acara berkhatan diadakan selama dua hari iaitu seramai 129 kanak-kanak dikhatankan hari ini dan selebihnya esok,” katanya.

Menurutnya, istimewanya karnival berkenaan kerana turut diadakan ceramah agama berkaitan khatan untuk  ibu bapa dan penjaga yang menunggu anak masing-masing.

Bantu penduduk miskin

SEMENTARA itu, seorang bapa yang juga penjual ikan secara kecil-kecilan, Abdullah Omar, 54, dari Paya Berenjut memuji usaha yang dilakukan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Chukai itu bagi membantu ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan.

“Bagi orang miskin dan kurang mampu, nilai RM70 atau RM80 bayaran berkhatan di klinik adalah besar, jadi dengan adanya acara percuma ini orang miskin tidak perlu mengeluarkan belanja,” katanya.

Menurutnya, menerusi acara berkenaan, anak kelimanya, Mohd Izadludin, 12, dapat merasai pengalaman manis berkhatan beramai-ramai yang pasti kekal dalam ingatan.

Dalam pada itu, peserta, Khairul Nizam Khairul Anuar, 12, berkata, gimik karnival mengurangkan debaran yang dirasainya sebelum dikhatankan.

“Saya tidak pernah berasa gembira sebegini. Saya akan kenang pe-ngalaman ini sampai bila-bila,” katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Program khatan ‘kecoh’ – Sinar Harian


Program khatan ‘kecoh’

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Program khatan 'kecoh'
Mohd Faereez ditenangkan ibunya ketika berkhatan di SRA Simpang Kerayong, semalam.
Program khatan 'kecoh'
Kanak-kanak ceria ketika berendam di dalam kolam sebelum acara berkhatan bermula.

JASIN – Keseronokan 26 kanak-kanak untuk berkhatan beramai-ramai bertukar kecoh apabila seorang daripada mereka menjerit ketakutan sebaik masuk ke dalam bilik untuk dikhatankan di Sekolah Rendah Agama, (SRA) Simpang Kerayong, semalam.

Berikutan itu, lima jawatankuasa program termasuk seorang pembantu perubatan terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk menenteramkan kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan.

Jawatankuasa program, Mohd Haseri Mohd Som berkata, sebelum ini, kanak-kanak tahun 2 Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Terentang, Mohd Faereez Rifqi Md Fandzlee, kelihatan ceria bersama rakan-rakanya yang lain.

Menurutnya, namun keseronokan itu tidak berpanjangan selepas dia dipanggil masuk ke bilik darjah yang dikhaskan untuk berkhatan.

“Ketika dibaringkan, Mohd Faereez Rifqi mula cemas dan menjerit supaya tidak dikhatankan.

“Keadaan itu memaksa kami memegangnya dan Mohd Faereez Rifqi selamat dikhatankan walaupun terpaksa mengambi masa agak lama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Simpang Kerayong, Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Ahli Lembaga
Masjid Simpang Kerayong.

Mohd Haseri yang juga Naib Pengerusi KRT Simpang Kerayong berkata, biarpun program itu pertama kali dianjurkan, namun sambutannya begitu menggalakkan.

Program itu turut mendapat kerjasama dari Balai Bomba Daerah Jasin Bestari, Pasukan Perubatan Hospital Kem Trendak dan Pasukan Perubatan Hospital Besar Melaka.

Tiga anak mangsa kebakaran banglo dibantu – Kosmo


Tiga anak mangsa kebakaran banglo dibantu


RAJA NONG CHIK (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Luqman Hafiy (kanan ) dan Azad Fahmi (tengah) di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan akan membantu membiayai persekolahan tiga kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kebakaran di Taiping pada Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, Mohd. Hakimi Zubair, 40, isterinya, Leila Sahak, 40, anak lelaki mereka yang berumur tiga tahun serta seorang pembantu rumah warga Indonesia maut dalam kebakaran di Taman Pegawai Kanan Kerajaan, Assam Kumbang.

Semalam, tiga anak pasangan tersebut iaitu Luqman Hafiy, 13, Azad Fahmy, 8, dan Ain Najwa, 11, menerima sumbangan RM3,500 daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Raja Nong Chik berkata, sumbangan itu meliputi pemberian peribadinya bernilai RM1,000, sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan sebanyak RM2,000 serta UMNO Bandar Tun Razak (RM500).

Budak Cina berkhatan – Metro


Budak Cina berkhatan

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Sakit sikit saja.” Itu jawapan ringkas kanak-kanak berketurunan Cina, Chai Kian Fei, 10, sebaik selesai berkhatan bersama 214 kanak-kanak lain dalam program Berkhatan Beramai-ramai Sempena Cuti Sekolah 2012 anjuran Masjid Negara, semalam.

Kian Fei satu-satunya kanak-kanak bukan Islam yang menjadi tumpuan apabila berani berkhatan dalam program anjuran bersama KESB Medicare Sdn Bhd itu.
Hadir ditemani ibunya, Kian Fei berkata, memang gementar dan takut apabila disuruh berkhatan oleh bapanya berikutan tidak pernah melihat rakan berkhatan.

 

“Memang takut sebab tanya rakan di sekolah pun tiada yang berkhatan. Jadi, di kalangan rakan, saya yang pertama berkhatan,” katanya dalam program dirasmikan Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim.
Ibunya, Kok Mi Fung, 36, berkata, hampir dua minggu dia memujuk anaknya supaya turut berkhatan bersama dalam program itu, selain bagi meyakinkan ia tidak begitu menyakitkan sebagaimana disangka anaknya.
Katanya, antara sebab dia menyarankan anaknya berkhatan berikutan Kian Fei sering mendapat alahan, selain mengetahui ia cara terbaik bagi memastikan kebersihan diri lelaki.

 

 

“Sebenarnya sudah lama saya mahu dia berkhatan. Ketika berusia tujuh tahun, saya tanya mengenai perkara itu tapi dia menolak.
“Apabila terbaca laporan Harian Metro baru-baru ini mengenai penganjuran program ini, saya memujuknya dan gembira kerana dia bersetuju,” katanya.

 

Sementara itu, Mohammad Zaki berkata, program itu bukan sekadar menyahut amalan berkhatan yang dituntut Islam, malah merapatkan hubungan persaudaraan serta perpaduan di kalangan masyarakat.
Katanya, ibu bapa hanya dikenakan bayaran RM150 seterusnya meringankan beban kewangan ditanggung mereka.
“Kebiasaannya kos berkhatan sekitar RM250 hingga RM280. Program ini bukan saja murah, malah lebih selamat berikutan dilakukan pegawai perubatan bertauliah,” katanya.
Dalam program itu, seramai 214 kanak-kanak berkenaan turut diarak serta disiram anggota bomba sebelum dikhatankan 10 pegawai perubatan swasta yang pakar dalam bidang itu.

Galak pelajar minat robotik – Metro


Galak pelajar minat robotik

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Bidang robotik di negara ini perlu diberi perhatian serius dan dijadikan pilihan kerjaya kerana ia merangkumi kemahiran tinggi membabitkan pelbagai industri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bidang robotik kini berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan permintaan terhadap golongan profesional muda yang berbakat dalam industri itu semakin meningkat.
“Saya pernah menyaksikan murid sekolah rendah mempamerkan kebolehan mengagumkan dalam penciptaan dan pengendalian robot.

 

“Saya berharap murid ini akan terus kekal dalam bidang berkenaan sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberikan sumbangan lebih bermakna kepada negara serta bersaing dalam bidang itu,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika merasmikan kejohanan Robot Olympiad Dunia (WRO), Kuala Lumpur 2012 di Pusat Konvensyen Sunway, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Menyentuh mengenai komitmen negara dalam bidang robotik ini, Muhyiddin berkata, sebagaimana negara membangun lain, usaha bersepadu kini dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di negara ini, terutama bidang automasi dan robotik.
“Saya percaya ia mampu dijadikan sebagai alat bagi memastikan pembangunan ekonomi negara yang mampan, seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda transformasi negara,” katanya.

 

 

Setakat ini, beberapa kursus dalam bidang robotik industri diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi, bahkan Universiti Teknologi Malaysia bergerak setapak di depan dengan menubuhkan Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan pada 1997.
Pusat itu peneraju bagi bidang kepintaran buatan, robotik dan automasi di negara ini dan kini giat menjalankan aktiviti penyelidikan, reka bentuk robot serta pembangunan teknologi lanjutan.

 

Selepas penganjuran kesembilannya kali ini, WRO yang berlangsung di negara ini mencipta sejarah apabila disertai 38 negara membabitkan 405 pasukan. Ia dianjurkan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn Bhd sebagai penganjur rasmi.

Demi ayah – Metro


Demi ayah

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KASIH... Ibrahim  yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham,  Salman dan Siti Hajar.
KASIH… Ibrahim yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham, Salman dan Siti Hajar.

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan nekad meninggalkan bangku persekolahan sejak Jun lalu untuk menjaga bapanya yang sakit kerana terbabit kemalangan jalan raya setahun lalu.

Siti Hajar Ibrahim, 14, berkata, dia terpaksa melupakan impian meneruskan pelajaran kerana perlu menjaga bapanya, Ibrahim Muhd Taib, 84, yang terlantar di rumahnya di Kampung Bukit Tangki Air, Cheras di sini, sejak setahun lalu.
Dia tidak berseorangan menjaga bapanya kerana ditemani abang, Salman, 24, yang masih menganggur. Walaupun mempunyai 11 adik-beradik, namun disebabkan sibuk dengan kerjaya serta memiliki keluarga sendiri membuatkan masing-masing tidak dapat memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bapa mereka.

 

“Saya tak kesal berhenti sekolah awal kerana kasihan dengan keadaan ayah yang sakit manakala ibu tiri pula sudah meninggalkan kami sejak dua bulan. Saya dan abang bergilir-gilir menjaga ayah bagi memastikan ubat dan susu diberikan kepadanya mengikut masa ditetapkan.
“Ayah tak dapat berkomunikasi dengan baik bagi menyatakan apa yang dia mahu. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk membantunya,” katanya.
Siti Hajar berkata, ibunya meninggal dunia sembilan tahun lalu dan bapanya pernah berkahwin dengan wanita dari Indonesia tetapi ibu tirinya itu sudah pulang sejak dua bulan lalu.

 

 

Seorang lagi anak Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, setiap hari dia memandikan bapanya selain meninjau keadaan dua adiknya yang tinggal di rumah berkenaan.
Dia bekerja sebagai pemandu teksi dan turut menjalankan perniagaan di pasar Down Town Cheras pada sebelah malam, sudah berkeluarga dan tinggal di Sungai Besi Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Cheras, Datuk Zurainah Musa yang menziarahi warga emas itu memuji sikap dua beradik berkenaan yang menjaga bapa mereka dengan baik.

 

Bagaimanapun, katanya, dia akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan warga emas itu di pusat perlindungan yang dilengkapi penjagaan kesihatan.
Beliau berharap anak-anak Ibrahim dapat berbincang mengenai tawaran itu selain membantu mendapatkan pelbagai bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit.
Ketua Umno Cawangan Cheras, Rosmani Mahimi pula berkata, pihaknya sering menyampaikan bantuan bersesuaian kepada warga emas itu bagi mengurangkan beban keluarganya Pada masa sama, katanya, dia berharap Siti Hajar dapat meneruskan semula persekolahan manakala abangnya akan mendapat pekerjaan sesuai. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.