Pesakit Celebral Palsy antara calon cemerlang UPSR di Melaka
MELAKA – Siti Amirah Yazid, 12, yang juga merupakan pesakit celebral palsy iaitu penyakit gangguan saraf berkata kejayaan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membuktikan golongan sepertinya mampu berjaya dalam akademik.
Anak sulung pasangan Yazid Yacob, 33, dan Siti Aisyah Dolah, 33, yang pernah ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integriti di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu di sini berkata impian bergelar doktor membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Walaupun menghadapai masalah pembelajaran, namun saya kerap mengulang kaji pelajaran pada waktu malam supaya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain dan membuktikan saya juga mampu berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Yayasan Melaka di sini hari ini.
Siti Amirah juga sering mengamalkan ayat Kursi sebelum menduduki peperiksaan.
Seramai 1,466 calon UPSR memperoleh gred cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun ini, menurun 0.3 peratus berbanding 1,478 calon tahun lepas.
Sementara itu, dua pasangan kembar di Melaka juga merupakan antara calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu Nurul Shafiqah Md Shah dan adiknya Nurul Shahirah, 12, murid tahun enam SK Bukit Beringin, Masjid Tanah dan Nur Fatin Shahirah Abdullah dan Nur Fatin Syazwani, 12, dari SK Kem Terendak 1.
Bagi pasangan kembar Nurul Shafiqah dan Nurul Shahirah berkata kesusahan ibu mereka, Rohani Abdullah, 52, yang merupakan ibu tunggal mendorong mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Walaupun ibu tiada di sini berkongsi kegembiraan kerana menjaga anak jiran untuk mencari rezeki, namun ia sebagai tanda penghargaan kepada jasa ibu yang bersusah payah membesarkan kami dan empat lagi adik-beradik yang lain setelah ibu berpisah dengan ayah lima tahun lepas.
“Kami juga berharap keputusan cemerlang ini merupakan permulaan untuk berjaya dalam hidup pada masa hadapan,” kata Nurul Shafiqah yang juga kakak pasangan kembar itu.
Pasangan itu yang bercita-cita menjadi pendakwah berkata mereka menghabiskan masa tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran, membuat latihan dan berbincang berkaitan subjek yang kurang difahami.
Bagi pasangan kembar Nur Fatin Shahirah Abdullah dan Nur Fatin Syazwani pula, impian bergelar saintis menjadi pendorong kepada pasangan itu untuk mencapai keputusan 5A.
Anak kedua dan ketiga anggota tentera, Abdullah Mahadi, 42, dan suri rumah Yusniza Khamis, 37, itu berkata kekerapan membuat ulang kaji secara berkumpulan serta menghabiskan masa selama hampir dua jam setiap malam untuk membuat latih tubi dan latihan ternyata tidak mengecewakan. – Bernama