Cacat tidak halang Mohd Alif cemerlang
20 November 2012

Kedua-dua ibu bapa Mohd Alif Aiman mengucup pipi anaknya atas kejayaan memperoleh 4A 1B dalam UPSR, semalam.
PASIR PUTEH – Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir tidak menghalangnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Murid kurang upaya Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Abal, Mohd Alif Aiman Rahim, 12, berjaya meraih keputusan 4A 1B membolehkan dia dinobatkan sebagai murid dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) tunggal di Kelantan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Mohd Alif Aiman dari Kampung Pak Omar, Selising, berkata, dia berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan mahu menghadiahkannya kepada ibu bapa dan guru yang banyak memberikan dorongan kepadanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu dibantu ibunya, Rahani Mail, 41, yang menjadualkan aktiviti pembelajaran berfokus selain mengikuti tuisyen di sekolah.
Rahani yang juga Pembantu tadbir sekolah itu berkata, Mohd Aiman yang menghidap ‘Celebral Palsy’ juga aktif dalam aktiviti luar seperti bermain bola dengan rakan-rakan.
“Saya tidak kecewa dia gagal mendapat 5A, kejayaan hari ini susah cukup membuat saya gembira dan akan terus mendorongnya untuk mencipta kejayaan lebih baik pada masa akan datang,” katanya pada majlis ringkas penyampaian keputusan UPSR di sekolah itu, semalam.
Bapa Mohd Alif Aiman, Rahim Abdul Ghani, 50, berkata, anaknya mengalami kecacatan kekal pada tangan dan kaki kanannya.
Menurutnya, dalam keadaan yang dianugerahkan sedemikian Mohd Alif telah menunjukkan kecerdasan minda sejak menduduki Tahun Satu di sekolah berkenaan walaupun kudratnya hanya mampu menulis dengan tangan kiri dan tidak mampu berdiri dalam tempoh yang lama.