PEKAN: Ingin mengikut jejak kakak yang berjaya dalam pelajaran menjadi pendorong kepada pelajar Orang Asli, Eliena Jonit, 12, dari Sekolah Kebangsaan Temai, dekat sini, belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 yang diumumkan, semalam.
Bangkit selepas mendapat keputusan 4A dan 1B dalam peperiksaan percubaan berjaya meletakkan dia antara dua pelajar Orang Asli di daerah ini yang mendapat keputusan cemerlang.
Eliena, anak kedua daripada empat beradik berkata, sokongan guru dan keluarga menjadi pembakar semangatnya belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan Orang Asli boleh berjaya dalam pelajaran sama seperti masyarakat lain.
Menurutnya, untuk mencapai impian itu, setiap hari dia meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam mengulang kaji pelajaran dan sokongan kakak, Naimah, 15, menambah lagi keyakinan mencapai kejayaan.
“Kesungguhan pihak sekolah mengadakan pelbagai program termasuk kelas tambahan sejak awal tahun memberi lebih peluang kepada saya melengkapkan pengetahuan akademik seterusnya kemahiran menjawab soalan. “Menambahkan lagi semangat untuk berjaya seperti kakak yang mendapat 4A dan 1B pada UPSR sebelum ini apabila mendapat sokongan ayah dan mak, mereka sentiasa menasihatkan saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.
Dia yang tinggal di Kampung Permatang Siput, dekat sini berkata, biasiswa Yayasan Pahang RM250 setahun diterima sejak tiga tahun lalu turut memberi kemudahan kepadanya membeli buku rujukan dan latihan seperti dicadangkan guru.
Eliena berkata, selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR, dia kini berharap diterima belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan impiannya di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah.
“Saya begitu teringin menyambung pelajaran di sekolah berkenaan yang dianggap begitu unik,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20