KUALA TERENGGANU: “Keputusan cemerlang ini lebih bermakna jika dapat dikongsi dengan ibu dan ayah, tetapi apa boleh buat mereka sudah pergi untuk selama-lamanya,” kata anak yatim piatu, Wan Muhammad Wan Lokman, 12, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 diumumkan, semalam.
Murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal itu kematian bapa, Wan Lokman Wan Abas ketika berusia tiga tahun akibat barah usus dan ibu, Lailah Harun pada 2010 akibat barah payudara.
Menurutnya, di sebalik kegembiraan itu, dia tetap sedih kerana tidak sempat berkongsi kejayaan itu dengan insan yang disayangi.
“Siapa tidak sedih melihat rakan lain gembira untuk berkongsi kejayaan dengan ibu bapa masing-masing sedangkan saya berseorangan dan cuma mempunyai abang serta ibu saudara untuk berkongsi kegembiraan.
“Ketiadaan ibu bapa menyebabkan saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menempa kejayaan seterusnya berjaya dalam hidup.
“Saya tidak mempunyai tempat bergantung selain adik-beradik dan ibu saudara, justeru saya perlu berdikari dan memastikan berjaya dalam pelajaran bagi mencapai cita-cita sebagai ahli perniagaan,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.
Mengenai rahsia kejayaannya, Wan Muhammad berkata, dia tidak mempunyai petua khusus selain memberi sepenuh perhatian ketika pembelajaran dalam kelas.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20