SKMM nafi kerosakan netbook 1Malaysia
KUALA TERENGGANU- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur menafikan kerosakan terhadap netbook yang diberi kepada pelajar sekolah menengah di Pantai Timur melalui Program Netbook 1Malaysia.
Kalau ada pun kerosakan, itu hanya kes terpencil akibat kecuaian penggunaan netbook pelajar sendiri, kata Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Timur, Shahrizal Husin.
Beliau berkata, bagi netbook yang masih di bawah jaminan pembekal, kerosakan akan dibaiki secara percuma manakala bagi kerosakan di luar tempoh jaminan, kosnya perlu ditanggung pelajar.
“Sebanyak 170,000 netboook diagihkan kepada murid sekolah menengah melalui tiga fasa dan ia diagihkan secara berperingkat mulai 2010.
“Memang kita ada terima aduan kerosakan dan rungutan mengenai masalah pusat servis yang terhad di beberapa kawasan, namun masalah itu telah diatasi apabila pihak pembekal melantik vendor di lokasi pusat bandar yang strategik,” katanya, semalam.
Bagi pengagihan fasa ketiga tahun ini, sebanyak 52,000 netbook selesai diagihkan di Pahang, Terengganu (29,000) dan Kelantan (12,000).
Shahrizal berkata, hasil kerjasama semua pembekal, masalah kerosakan netbook itu dapat diatasi dengan cepat apabila mereka melantik kedai komputer yang boleh membaiki netbook itu di beberapa kawasan terpencil.
Mengenai kes penyalahgunaan netbook dalam kalangan pelajar, Shahrizal menegaskan SKMM beri taklimat mengenai perkara itu pada setiap majlis penyerahan.
“Pelajar perlu tahu had penggunaan netbook perlu difokus bagi tujuan pembelajaran kerana program pemberian ini sangat unik, hanya terdapat di Malaysia dan pelajar perlu menghargainya,” katanya.
Dalam pengumuman Belanjawan 2013 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian netbook 1Malaysia sebanyak 500,000 unit lagi tahun depan. – Bernama