UPSR: SK Tapu terbaik negeri
20 November 2012

Zakaria menunjukkan buku analisis keputusan UPSR selepas selesai sidang media semalam.
KUALA TERENGGANU – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas dengan penurunan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.07 mata.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin berkata, pada tahun lepas, pencapaian GPN keseluruhan calon UPSR Terengganu adalah 2.14 manakala pada tahun ini pula 2.21.
Menurutnya, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran juga didapati menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu 3,012 orang berbanding 3,548 orang pada tahun lepas.
“Walaupun pencapaian di Terengganu sedikit merosot, tapi kita masih lagi mengatasi pencapaian di peringkat nasional bagi tiga kriteria.
“Kriteria itu adalah GPN mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10, pencapaian minimum Gred C mengatasi nasional sebanyak 0.17 peratus dan calon cemerlang semua A juga atasi nasional sebanyak 4.28 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR, semalam.
Di sebalik kemerosotan itu juga kata Zakaria, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C iaitu tidak termasuk semua A bagi semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.45 peratus pada 2011 kepada 57.11 peratus pada tahun ini.
Malah katanya, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap minimum juga meningkat sebanyak 1.16 peratus iaitu 2.35 peratus pada tahun lalu kepada 3.51 peratus pada tahun ini.
Selain itu Zakaria berkata, Gred Purata Mata Pelajaran Negeri Terengganu juga berjaya mengatasi Gred Purata Mata Pelajaran Nasional bagi enam mata pelajaran.
Enam mata pelajaran tersebut adalah Bahasa Melayu Pemahaman (SK), Bahasa Melayu Penulisan (SK), Bahasa Melayu Pemahaman (SJKC), Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris (SJKC) dan Sains.
Pada sidang media sama, Zakaria turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu, Hulu Terengganu menjadi sekolah terbaik di negeri Terengganu berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.12 apabila 16 dari 20 calonnya mendapat 5A.
Ia diikuti SK Chalok, Setiu (1.23), SK Kemat, Hulu Terengganu (1.31), SK Teris, Hulu Terengganu (1.34), SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (1.37), SK Kampung Bari Sungai Tong, Setiu (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Rantau Petronas, Kemaman (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52).
“Walau prestasi sedikit merosot, kita tetap bersyukur dengan pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini. Kita akan teruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi pencapaian kita pada tahun hadapan,” katanya.
Seramai 23,196 murid merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta menduduki UPSR seluruh Terengganu pada tahun ini.