Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah – Bernama


Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah

21 November 2012

KULIM – Seorang bapa terpaksa merayu kepada Mahkamah Syariah supaya meluluskan perkahwinan anak gadisnya berusia 12 tahun yang enggan pulang ke rumah tetapi mahu tinggal di rumah teman lelakinya.

Pembantu Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim Azmi Ahmad berkata peristiwa itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan gadis itu dan teman lelakinya berusia 19 tahun akan mendirikan rumah tangga bulan depan.

“Gadis itu baru sahaja mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala pasangannya pula menganggur tetapi ibu bapa mereka bersetuju pasangan itu dinikahkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Bina Generasi al-Quran di Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dekat sini hari ini.

Azmi yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim melancarkan program tersebut berkata waris gadis berkenaan telah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah sebagai mematuhi Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

“Bagi pihak perempuan yang berumur di bawah 16 tahun yang mahu bernikah dan lelaki pula yang berusia di bawah 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah melalui enakmen tersebut,” katanya yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim.

Azmi berkata kes itu julung kali berlaku sejak berpuluh tahun beliau berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kem Bina Generasi al-Quran 1434 Hijrah Abdul Rahim Omar, berkata seramai 105 peserta yang berusia sembilan hingga 15 tahun dari Sungai Petani, Yan, Seberang Perai dan Pulau Pinang menyertai kem selama sebulan itu bermula hari ini hingga 20 Dis.

Katanya peserta yang tinggal di asrama dikenakan yuran penyertaan RM300 seorang manakala yang berulang-alik pula RM200 bagi tempoh sebulan itu.

Mereka terdiri daripada 70 peserta lelaki dan 35 perempuan yang akan diasuh selaras dengan modul yang telah disusun atur.

Abdul Rahim berkata dua masjid iaitu Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dan Masjid Al-Mujahiddin, Batu Puteh di sini terbabit dalam penganjuran berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s