Kerajaan Negeri analisis murid dapat 5A merosot – Sinar Harian


Kerajaan Negeri analisis murid dapat 5A merosot

NORHAFIZA MUSA
21 November 2012
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri akan mengadakan ‘post-mortem’ segera bagi membuat analisis berkaitan penurunan bilangan pelajar yang disasarkan mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dianggarkan seramai 200 murid tahun enam di seluruh negeri gagal mendapat 5A sebagaimana disasarkan, sebaliknya hanya mendapat keputusan 4A 1B.

Menurutnya, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu daripada 15.56 peratus pada 2011 kepada 13.22 peratus pada tahun ini, atau 3,012 orang berbanding 3,548 orang pada tahun lepas.

“Ramai murid yang kita sasarkan akan mendapat keputusan 5A, tetapi hanya mendapat keputusan 4A IB. Sedangkan mereka tidak pernah mendapat keputusan seperti itu dalam peperiksaan percubaan atau peperiksaan lain sebelum ini.

“Sebab itu, kita akan mengadakan ‘post-mortem’ dengan segera untuk mengenal pasti punca berlaku perkara itu. Penurunan sangat ketara berlaku di sekitar daerah Besut yang merupakan daerah yang sering kita target ramai murid mendapat 5A.

“Saya tidak menolak berkemungkinan pelajar terbabit sedikit over confident dan mungkin juga disebabkan masalah-masalah lain,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sedikit kecewa dengan penurunan itu, namun mereka optimis dan terus melangkah ke hadapan sambil mengenal pasti serta menyelesaikan masalah yang berlaku.

Menurutnya, penurunan juga berlaku di seluruh negara, bukan sahaja dialami Terengganu.

Ditanya berkaitan pencapaian Terengganu yang kini mula diatasi negeri-negeri lain, termasuk Kelantan dan mungkin menimbulkan tekanan, beliau mengakui Kelantan mula menghampiri mereka sejak tahun lalu.

“Kita tidak terkejut dengan keputusan itu. Namun Terengganu masih unggul dan mengatasi pencapaian di peringkat nasional bagi beberapa kriteria,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan pencapaian sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang begitu membanggakan.

“Walaupun tidak semua sasaran berjaya dicapai, namun semua guru, ibu bapa dan pelajar telah bekerja keras untuk merealisasikan impian serta telah berjaya mengubah budaya kerja hari ini,” katanya.

Razif berkata, pendidikan di Terengganu bukan hanya menekankan aspek kuantiti tetapi melihat kepada kualiti.

Beliau turut menolak tohmahan berkaitan soalan bocor kerana pihak kementerian sendiri turun padang membuat pemantauan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s