KSN mahu JPA fleksibel dalam penempatan semula kakitangan awam – Bernama


KSN mahu JPA fleksibel dalam penempatan semula kakitangan awam

21 November 2012

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata kini terdapat 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara dan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan tambahan dalam perkhidmatan awam bagi melaksanakan dasar baharu.

“Apabila ada kerja tambahan, jabatan dan agensi akan meminta tambahan penjawat awam dan jawatan. Apa yang boleh lakukan ialah meningkatkan produktiviti secara kreatif dan inovatif agar tidak perlu menambah jumlah jawatan dan bilangan penjawat awam.

“Dengan 1.4 juta penjawat awam adalah mencukupi dan kita hanya perlu untuk menempatkan semula mereka. Sehubungan itu, saya telah meminta JPA supaya lebih fleksibel dari segi penempatan semula.

“Walaupun terdapat skim berlainan, kita perlu melihat macam mana kita boleh ‘break silo’ (mentaliti yang melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian mereka sahaja). Mungkin keperluan yang lebih banyak dalam sesuatu bidang dan kurang dalam bidang lain, maka kita boleh melakukan pertukaran dan sebagainya,” katanya pada Majlis Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Kementerian Pelajaran Malaysia di sini hari ini.

Ali berkata kerajaan sedang menunggu Suruhanjaya Khas (Mengkaji Transfromasi Perkhidmatan Awam) mengemukakan laporan sebelum 31 Dis ini untuk memperbaiki perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Beliau turut menyarankan penjawat awam, khususnya ketua-ketua jabatan dan agensi, agar tidak mengamalkan cara pengurusan seperti menggunakan alat kawalan jauh.

Katanya, penjawat awam harus sentiasa turun padang kerana ini akan memberi peluang kepada pihak pengurusan memahami kekangan serta masalah yang dihadapi pegawai dan petugas dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab seharian, selain memastikan keadaan persekitaran tempat kerja selesa dengan infrastruktur mencukupi.

Selain itu, Ali berkata penjawat awam yang turun padang juga akan memahami persepsi rakyat yang menggunakan perkhidmatan di jabatan kerajaan, dan ini merupakan satu peluang baik untuk mendapat maklum balas langsung berhubung perkhidmatan yang disediakan.

Beliau juga menyarankan agar penjawat awam tidak menangguh pelaksanaan dasar yang sudah diluluskan kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan 6 prinsip untuk diamal penjawat awam iaitu Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) serta Produktif, Inovatif dan Kreatif (PCI) yang memerlukan penjawat awam bertindak cepat dalam melaksanakan arahan.

“Apabila kerajaan meluluskan satu dasar, penjawat awam harus melaksanakannya dengan segera dan berintegriti. Jangan memperkenalkan jalan pintas untuk melaksanakan dasar atau kerja,” katanya.

Ali turut menyarankan agar semua penjawat awam, khususnya warga Kementerian Pelajaran, meneruskan agenda transformasi kerajaan selaras konsep kesinambungan transformatif.

“Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang masih di peringkat draf mencerminkan komitmen kerajaan untuk mentransformasikan kaedah penglibatan dengan rakyat dalam penggubalan dasar kerajaan.

“Hanya menerusi penglibatan yang berkesan dengan pihak berkepentingan, kerajaan secara am, dan sektor perkhidmatan awam secara khususnya dapat memenuhi ekspektasi rakyat dari segi penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan berkesan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s