Dua juruteknik dan dua remaja didakwa rompak sebuah spa – Bernama


Dua juruteknik dan dua remaja didakwa rompak sebuah spa

22 November 2012

PETALING JAYA – Dua juruteknik dan dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah spa di Sunway Mentari, di sini 11 November lalu.

R.Ananda Raj dan S.Magesvaran, masing-masing berumur 24 tahun, bersama dua remaja berumur 17 tahun, didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap dua mangsa, iaitu juruwang di spa berkenaan, Liau Nyuk Mee, 28; dan seorang pelanggan Chan Ah Kong, 46.

Keempat-empat tertuduh tersebut didakwa mengambil wang tunai RM500, kad pengenalan, kad kredit, dan sebuah telefon bimbit, milik Liau; dan wang tunai RM2,210, milik spa tersebut.

Mereka turut didakwa mengambil kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, tiga kad mesin teler automatik (ATM), kad keahlian sebuah kelab golf, wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit, milik Chan.

Kesemua lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di spa tersebut pada 9.50 malam, 11 Nov lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kesemua tertuduh, memohon mahkamah agar wang jaminan yang dikenakan adalah dalam jumlah yang munasabah, oleh kerana ahli keluarga mereka tidak mempunyai jumlah wang tersebut dan hanya membawa RM2,000.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan penjamin kedua-dua remaja bawah umur tersebut adalah bapa mereka.

Mahkamah menetapkan 18 Dis depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s