Ramai Kanak-Kanak Lelaki Alami Penderaan Seksual Di Rumah Anak Yatim – NGO – mStar


Ramai Kanak-Kanak Lelaki Alami Penderaan Seksual Di Rumah Anak Yatim – NGO

Oleh R.S.N MURALI

MELAKA: Sebuah NGO mendakwa bahawa semakin ramai kanak-kanak lelaki di bawah umur didera secara seksual di rumah kebajikan di Durian Daun.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) Muhammad Khairul Hafiz mendakwa tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 13 dan 14 tahun, telah membuat laporan polis pada 12 November di ibu pejabat polis negeri di sini.

“Mangsa berkata, mereka disuruh melakukan masturbasi di hadapan pegawai kanan dan bermain-main dengan alat sulitnya,” katanya.

Muhammad Khairul berharap pelaku akan ditahan tidak lama lagi.

Sekolah tersebut adalah rumah kepada kira-kira 150 kanak-kanak lelaki di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ini bukan kali pertama laporan telah dibuat terhadap pekerja di situ.

Pada bulan Julai, Perbak mendakwa pegawai-pegawai kanan di rumah yang sama telah meliwat dan melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 150 penghuni di bawah umur.

Pada masa itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (bahagian kanak-kanak) Saidatol Aini Jafri berkata jabatan itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan mereka.

“Kami prihatin terhadap dakwaan itu dan akan bekerjasama rapat dengan pihak polis,” katanya yang kemudiannya dipetik sebagai berkata.

Muhammad Khairul mendakwa dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan.

“Tahun ini sahaja beberapa laporan polis telah dikemukakan oleh anak-anak yatim yang telah diliwat oleh pegawai-pegawai. Para pegawai semakin kurang ajar kerana tiada tindakan telah diambil walaupun banyak laporan polis telah dibuat,” dakwanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Superintndan PR Gunarajan mengesahkan menerima laporan dan berkata siasatan sedang dijalankan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata pihaknya akan menjalankan siasatan.

Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat – mStar


Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat

Oleh SIMREN KAUR

 

Mohd Fahmi Alias dan Nor Fazira Saad, bahagia selepas majlis akad nikah pada 17 November lalu. -foto HARIAN METRO

 

KULIM: Seorang penduduk kampung bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuannya berusia 12 tahun dengan pemuda 19 tahun, mengatakan bahawa mereka tidak perlu terjebak dengan perbuatan haram.

Saad Mustafa berkata dia telah berfikir masak-masak tentang perkahwinan anaknya yang masih muda itu dan sedar tanggungjawab dalam kehidupan selepas berkahwin.

“Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan sesuatu yang tak elok (tidak wajar),” katanya di rumahnya di Kampung Padang Cina di sini, Khamis.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan anak perempuan Saad, Nur Fazira Saad, 12, telah berkahwin dengan Mohd Fahmi Alias, 19, minggu lalu selepas keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk menyatukan mereka.

Majlis akad nikah pasangan itu telah diadakan pada Sabtu selepas Nur Fazira mendapat kebenaran Mahkamah Syariah Kulim untuk berkahwin kerana dia masih di bawah umur.

Nur Fazira, yang akan memasuki umur 13 tahun bulan depan dan Mohd Fahmi telah mengenali antara satu sama lain untuk tempoh yang agak lama.

Saad, 43, berkata dia telah meminta Mohd Fahmi untuk berkahwin dengan anak perempuannya selepas anaknya tidak pulang satu malam bulan lepas.

“Keesokan harinya, saudara saya di kampung berhampiran memberitahu saya bahawa Fazira Nur tinggal di tempat Mohd Fahmi,” katanya.

Saad berkata anak perempuannya kemudian memberitahunya bahawa tidak ada apa-apa yang telah berlaku kerana dia telah menghabiskan harinya dengan Mohd Fahmi sebelum dia dihantar ke rumah saudara.

“Saya mengarahkan dia memanggil Mohd Fahmi. Apabila Mohd Fahmi datang ke rumah saya, dia memberitahu saya bahawa dia akan bertanggungjawab terhadap anak perempuan saya dan akan menjaganya.

“Saya kemudian menjawab jika demikian, mereka harus berkahwin,” katanya, sambil menambah dia berharap anaknya akan dijaga oleh suami dan keluarganya.

Akhbar harian itu memetik Mohd Fahmi sebagai berkata bahawa dia berjanji untuk menjadi suami yang baik untuk Nur Fazira.

“Lebih baik berkahwin dan bukannya terlibat dalam maksiat (hubungan haram). Saya bersetuju memang pelik berkahwin pada usia yang begitu muda,” katanya.

Nur Fazira, yang telah berhenti sekolah selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, berkata dia tidak menganggap umur menjadi halangan, sambil menambah bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Majlis bersanding pasangan itu akan diadakan di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, pada tengah hari Sabtu.

Nyaris hanyut dibawa arus – Sinar Harian


Nyaris hanyut dibawa arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Nyaris hanyut dibawa arus
Penduduk menunjukkan jambatan yang runtuh hampir meragut nyawa penduduk.

BALING – Seorang remaja nyaris dihanyutkan arus sungai setelah dia terjatuh ketika melalui jambatan yang runtuh di Kampung Kuak Hulu dekat sini kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Mohd Nurul Amin Hashim, 15, dari kampung Kuak Hulu tidak mengetahui mengenai jambatan itu baru sahaja runtuh kira-kira jam 9 malam pada hari sama.

Dia yang menunggang motosikal hanya cedera ringan di lutut dan sempat dibantu penduduk yang berada di situ.

Jambatan runtuh itu bukan hanya mengancam keselamatan tetapi, turut mengakibatkan kira-kira 600 penduduk di beberapa kampung terputus hubungan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Bukit Berangan, Kampung Tok Ketua, Kampung Seberang, dan Kampung Tok Bali.

Keadaan itu mengakibatkan penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang jauh bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti harian mereka.

Jambatan berusia kira-kira 10 tahun itu mengalami kerosakan teruk akibat hakisan air sungai selama beberapa jam.

Penduduk, Mohd Hashim Ismail, 43, dari Kampung Kuak Hulu berkata, air deras mengakibatkan jambatan itu mengalami hakisan teruk sehingga berlakunya runtuhan.

Katanya, air sungai setinggi empat meter itu bukan sahaja merosakkan jambatan, malah turut menjejaskan tanaman termasuk kolam ikan penduduk setempat.

“Sungai ini tidak pernah mencatat paras air setinggi ini walaupun hujan lebat. Namun, tidak kali ini sehingga menjejaskan kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Mohd Hashim turut mendakwa masalah hakisan itu disebabkan penebangan balak di Hutan Simpan Gunung Lang sehingga menjejaskan ekosistem.

“Kami pernah membuat bantahan, tetapi ia tetap diteruskan. Kini, penduduk menerima kesan sampingan dari penebangan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutan (JKKKP) Mohd Khairul Nizam Saidi, 42, berkata, pihaknya sudah memanjangkan masalah itu kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, dia juga menyerahkan surat kepada Menteri Besar agar masalah itu mendapat perhatian serius untuk kebaikan semua.

Tergamam anak kena cabul – Sinar Harian


Tergamam anak kena cabul

GOKINA MORGANAN
23 November 2012
Tergamam anak kena cabul
Mohd Aziri cuba menutup mukanya dengan jaket yang dibawanya.

GEORGETOWN – Seorang ibu tergamam seketika, selepas anak perempuan bongsunya menceritakan dia dicabul jirannya yang merupakan anggota polis di Air Itam, tahun lalu.

Ibu kepada lima orang anak berkata demikian ketika memberikan keterangan dari kandang saksi di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Menurut wanita itu, insiden itu diceritakan anaknya pada suatu malam. Iaitu lima hari selepas seorang jiran wanita di situ memaklumkan bahawa melihat anggota polis itu memeluk mangsa dengan begitu erat.

“Ketika jiran menceritakan hal itu, pada awalnya saya beranggapan, lelaki itu memeluk anak saya kerana dia seorang penyayang dan suka pada kanak-kanak.

“Perkara sebenar terbongkar selepas anaknya sendiri menceritakan tindakan anggota polis itu.

“Kira-kira jam 9.30 malam, pada 12 Jun tahun lalu, anak perempuan dan saya berada di rumah. Masa itu, kami mendengar bunyi bising dari luar seperti kemalangan. Kami pergi untuk tengok dan melihat sebuah kereta yang dipandu Koperal Mohd Aziri Sahid,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes itu dimulakan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas itu, dia dan anak perempuannya kembali untuk menonton televisyen.

“Kira-kira jam 10.30 malam, saya kata kepada anak sekarang masa untuk tidur. Kami masuk tidur di bilik yang sama.

“Masa itulah, anak perempuan saya memberitahu kepada saya bahawa ‘pak cik’ (Mohd Aziri) memeluk dan mencabulnya.

“Saya terkejut dan tergamam selama lima minit memikirkan sesuatu telah berlaku kepada anak saya,” katanya.

Mohd Aziri yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan luar tabii dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa, di Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru, di sini, di antara 28 Mei hingga 21 Jun, tahun lalu.

Mohd Aziri yang merupakan penjawat awam, kini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Dalam keterangan ibu mangsa, pada 14 Jun tahun lalu, Mohd Aziri datang ke rumahnya dan memegang tangan suaminya dan memohon maaf. “Lelaki itu berkata, dia hanya mendukung anak saya di tangga dan dengan tidak sengaja dia tersentuh tempat sulit anaknya.

“Beliau turut memohon maaf dengan saya dan mengatakan sekiranya saya memaafkan dia, saya adalah insan yang paling baik di dunia ini. Dia turut mengambil pistol dan meletakkan di kepalanya menyatakan dia akan mengancam nyawanya sendiri, sekiranya saya membuat laporan polis.

“Beliau berkata saya harus bersyukur kepada ALLAH mempunyai seorang anak perempuan cantik,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Aziri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dari tuduhan mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Majistret Noor Aini, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kegembiraan anggota polis itu tidak kekal lama, apabila dia dikejutkan dengan satu lagi tuduhan baru di Mahkamah Sesyen untuk tuduhan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zanol Rashid Hussain menetapkan 11 Januari tahun depan untuk mendengar keterangan saksi yang seterusnya.

Mohd Aziri telah diwakili peguam, Rosli Ismail manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar.

Suspek lari kereta dan kanak-kanak ditahan – Bernama


Suspek lari kereta dan kanak-kanak ditahan

23 November 2012

SEREMBAN – Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta dan tiga orang kanak-kanak di dalamnya di Taman Desa Dahlia, Senawang semalam.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar mini di taman itu kira-kira 2.20 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kejadian berlaku apabila seorang suri rumah berumur 42 tahun pergi ke pasar mini tersebut dengan memandu kereta bersama tiga orang anak lelakinya yang berumur antara 11 bulan dan 12 tahun.

“Dia masuk ke dalam pasar mini itu untuk membeli barang dengan meninggalkan ketiga-tiga anaknya di dalam kereta yang enjinnya masih dihidupkan. Beberapa minit kemudian apabila melihat ke luar dari pasar mini itu, dia mendapati seorang lelaki telah melarikan keretanya.

“Dia lantas meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamdan berkata lelaki tersebut kemudiannya didapati meninggalkan dua kanak-kanak tersebut yang berumur 11 bulan dan 12 tahun di hadapan pasaraya Giant.

Beliau berkata hasil sekatan jalan raya di Batu 3, Jalan Labu di sini kira-kira 3 petang, kereta yang dilarikan lelaki tersebut telah ditahan bersama isteri dan tiga anak lelakinya bersama kanak-kanak yang dilarikan itu.

Suspek yang mempunyai lapan rekod kesalahan lampau iaitu tiga kes menyamar, tiga mencuri dan dua kes berkaitan dadah kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Dia juga didapati baharu sahaja keluar penjara lima bulan lalu.

Hamdan berkata polis percaya motif kejadian ialah mahu mencuri kereta.  – Bernama

PERSIDANGAN PENAZIRAN KEBANGSAAN TAHUN 2012


PERSIDANGAN PENAZIRAN KEBANGSAAN TAHUN 2012

 

PERSIDANGAN PENAZIRAN KEBANGSAAN TAHUN 2012

HOLIDAY VILLA HOTEL & SUITES,
SUBANG JAYA, SELANGOR
26-29 NOVEMBER 2012
ANJURAN JEMAAH NAZIR DAN JAMINAN KUALITI
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kesal keputusan UPSR silap – Sinar Harian


Kesal keputusan UPSR silap

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Kesal keputusan UPSR silap
Nur Ainina menunjukkan slip keputusan UPSR yang diterima, tertera ‘T’ bagi mata pelajaran Sains iaitu tidak hadir menduduki peperiksaan.

BANDAR PEKAN – Rasa teruja seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menanti keputusan yang diumumkan Isnin lalu bertukar pilu apabila mendakwa terdapat kesilapan pada keputusan yang diterima.

Murid Sekolah Kebangaan Seri Makmur,  Nur Ainina Fitrah Jasmine Awg Muhamad, 12, menitiskan air mata sedih apabila dia dikatakan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mata pelajaran Sains seterusnya memperoleh ‘T’ dalam slip keputusannya.

Menurut ibunya, Siti Rahmah Ali, pada hari keputusan UPSR diumumkan, dia sangat terkejut dengan perkara itu, malah tidak sanggup melihat anaknya kesedihan.

“Sebagai seorang ibu saya terkilan dengan apa yang berlaku dan perkara ini seharusnya diselesaikan sebab anak saya hadir menduduki peperiksaan mata pelajaran berkenaan.

“Ia seharusnya tidak berlaku kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak saya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

* Dapatkan laporan lanjut dalam Sinar Harian edisi hari ini

Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih – Kosmo


Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih

 

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL dan KHAIRIYAH HANAFI
jenayah@kosmo.com.my

 

INILAH apartmen di Desa Pandan lokasi Khadijah ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat tujuh untuk menemui kekasihnya.

 

KUALA LUMPUR – Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya.

Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya.

Semasa kejadian, ibu gadis itu dan empat adik mangsa berada di rumah sementara bapa mangsa berada di pejabat.

Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut.

Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah – Kosmo


Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Menerusi laman Twitter miliknya, remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Farid itu melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum gadis itu meninggal dunia.

Remaja lelaki yang tinggal di Damansara Damai, Petaling Jaya itu turut mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap.

Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: “Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi.”

Selepas mendapat maklumat kekasihnya mati terjatuh daripada apartmen, remaja lelaki itu terus pergi Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk menatap wajah kekasihnya itu.

Mengikut Twitter itu lagi, remaja berkenaan meluahkan, air matanya tidak berhenti mengalir selepas menatap wajah gadis pujaannya yang sudah tidak bernyawa di hospital.

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin.

Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

Kemas kini pada pukul 8.30 malam tadi pula menyebut, dia berasa bersalah kerana kematian Khadijah dianggap mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Aku rasa serba salahlah, dia meninggal sebab aku. Dia sanggup buat macam itu semata-mata nak jumpa dengan aku.”

Tinjauan Kosmo! di akaun Twitter remaja itu pada pukul 8.47 malam tadi mendapati akaun tersebut dibanjiri ucapan takziah pengikutnya yang berjumlah 3,390 orang yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan remaja lelaki itu.

Remaja itu bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan komen mengenai kejadian itu.

Sementara itu, laman Facebook dan Twitter milik Khadijah sudah ditutup oleh keluarga mangsa.

Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS – Berita Harian


Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.

Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.

“Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.
Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.