Suspek lari kereta dan kanak-kanak ditahan – Bernama


Suspek lari kereta dan kanak-kanak ditahan

23 November 2012

SEREMBAN – Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta dan tiga orang kanak-kanak di dalamnya di Taman Desa Dahlia, Senawang semalam.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar mini di taman itu kira-kira 2.20 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kejadian berlaku apabila seorang suri rumah berumur 42 tahun pergi ke pasar mini tersebut dengan memandu kereta bersama tiga orang anak lelakinya yang berumur antara 11 bulan dan 12 tahun.

“Dia masuk ke dalam pasar mini itu untuk membeli barang dengan meninggalkan ketiga-tiga anaknya di dalam kereta yang enjinnya masih dihidupkan. Beberapa minit kemudian apabila melihat ke luar dari pasar mini itu, dia mendapati seorang lelaki telah melarikan keretanya.

“Dia lantas meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamdan berkata lelaki tersebut kemudiannya didapati meninggalkan dua kanak-kanak tersebut yang berumur 11 bulan dan 12 tahun di hadapan pasaraya Giant.

Beliau berkata hasil sekatan jalan raya di Batu 3, Jalan Labu di sini kira-kira 3 petang, kereta yang dilarikan lelaki tersebut telah ditahan bersama isteri dan tiga anak lelakinya bersama kanak-kanak yang dilarikan itu.

Suspek yang mempunyai lapan rekod kesalahan lampau iaitu tiga kes menyamar, tiga mencuri dan dua kes berkaitan dadah kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Dia juga didapati baharu sahaja keluar penjara lima bulan lalu.

Hamdan berkata polis percaya motif kejadian ialah mahu mencuri kereta.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s