Rindu telatah anak sulung
24 November 2012
JOHOR BAHRU – Seorang bapa tidak menyangka tindakan anak sulungnya beriya-iya mengikutnya ke tapak pembinaan berakhir duka apabila dihempap kepingan blok sehingga hampir meragut nyawanya, dalam kejadian Ogos tahun lalu.
Fauzan Rahmad, 50 berkata, anaknya, Mohd Oca Santosa Fauzan, 16, ketika itu baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) nekad mengikutnya ke tempat kerja untuk mengisi masa terluang.
“Walaupun ditegah, dia tetap mahu mengikut saya ke tempat kerja kerana katanya bosan tanpa aktiviti di rumah, sedangkan sebelum ini dia gemar tidur semula selepas solat Subuh.
“Saya sangkakan anak saya ketika itu sudah mati apabila melihat bahagian kepalanya mengalami cedera parah selepas dihempap kepingan blok ketika membawakan makanan dan minuman yang dibeli di warung berhampiran.
“Saya bersyukur dia diberi peluang untuk hidup walaupun sudah tidak seperti dulu sehingga kadangkala membuatkan saya rindu untuk melihat telatahnya bermain bersama dua adiknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Fauzan berkata, anaknya hanya mampu terlantar di katil dan dijaga sepenuhnya oleh isterinya, Rini Mohd Rashid, 38, setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah akibat kemalangan itu.
Jelasnya, anaknya yang dulunya seorang yang aktif perlu dilayan seperti bayi kerana hilang ingatan dan tidak mampu bercakap.
“Doktor cakap dia memang ada harapan untuk hidup, tapi perlu mengambil masa untuk sembuh.
“Sudah lebih setahun terlantar dia sudah mampu mengerakkan badannya dan memberi tindak balas setiap kali ditegur ibunya,” katanya.
Katanya, keadaan anaknya yang memakai lampin pakai buang dan mengharapkan susu yang disalurkan melalui tiub kadang-kala membataskan kemampuannya yang mencari rezeki sebagai buruh kasar.
“Saya mohon jasa baik mana-mana pihak yang boleh membantu menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya.