Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka – Bernama


Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka

25 November 2012

MELAKA – Seorang pegawai penjara dan seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian pertama, pegawai Penjara Sungai Udang, Mohd Hanafiah Abd Wahab, 25, maut selepas kenderaan dipandu sepupunya bertembung sebuah lagi kereta di Lebuh Raya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) pada kira-kira 11 malam.

Beliau berkata kereta Mitsubishi Galant yang dinaiki mangsa dari arah Bertam Ulu menghala Sungai Udang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung Proton Saga BLM.

Katanya, ekoran kemalangan itu, Mohd Hanafiah tersepit di tempat duduk penumpang depan serta cedera di kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.25 malam di Hospital Melaka manakala sepupu mangsa yang berusia 30-an serta penumpang kereta Proton Saga terbabit hanya cedera ringan.

Dalam kejadian kedua, Salehhuddin berkata Nur Afiqah Sarip, 16, yang menaiki motosikal bersama adiknya, Hasyimah, 15, dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menghala Ayer Salak maut ketika dalam perjalanan ke warung milik keluarga mangsa di kawasan berhampiran pada 8.50 malam.

“Mangsa dilanggar lari sebuah kereta yang datang dari arah sama sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta,” katanya sambil menambah Nur Afiqah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik mangsa cedera ringan. – Bernama

Muhyiddin minta Dong Zong henti fitnah kerajaan – Bernama


Muhyiddin minta Dong Zong henti fitnah kerajaan

25 November 2012
MAHA 2012
Muhyiddin Yassin menunjukkan buah ‘Rock Melon’ ketika melawat ruang pameran sempena Pameran MAHA 2012 di Serdang hari ini – Foto Bernama

SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak mempunyai niat jahat atau tujuan terselidung bagi meminggirkan pendidikan bahasa Cina dan Tamil.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya bertindak adil terhadap semua jenis sekolah dan mahu meningkat kualiti pendidikan di semua aliran.

Mengulas dakwaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kononnya PPPM boleh menjejaskan pendidikan di sekolah aliran Cina dan Tamil, beliau berkata ia adalah tidak betul sama sekali dan merupakan satu tanggapan salah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah kecuali sekolah menengah persendirian Cina yang mengelolakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan menerima faedah daripada pelan tersebut.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya oleh wartawan mengenai dakwaan Dong Zong itu pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Dong Zong pada hari ini menganjurkan perhimpunan membantah pelan itu kerana khuatir ia akan meminggirkan sekolah-sekolah vernakular, di samping meminta kerajaan bersikap adil terhadap semua sekolah.

Mengulas lanjut mengenai tiga usul yang dibangkitkan Dong Zong, Muhyiddin berkata, PPPM langsung tidak menyebut untuk meminggirkan sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil, malah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) terus kekal dan turut disebut dalam laporan tersebut.

Mengenai pertambahan waktu pengajaran Bahasa Melayu pula, Muhyiddin berkata, ia dibuat dalam bentuk kelas tambahan tanpa mengganggu masa pembelajaran bahasa Cina atau bahasa Tamil supaya mereka dapat memantapkan Bahasa Melayu yang mana akan diperlukan untuk masuk ke sekolah menengah nanti.

Mengenai kelas peralihan pula, yang penghapusannya tidak dipersetujui Dong Zong, beliau berkata, kelas tersebut adalah tidak perlu sekiranya pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT adalah setanding dengan sekolah-sekolah biasa.

Justeru, Muhyiddin mahu Dong Zong menghentikan tohmahan terhadap kerajaan berkenaan perkara itu kerana ia hanya dibuat untuk tujuan politik semata-mata.

“Semua rakyat Malaysia sokong PPPM kenapa Dong Zong tak sokong. Yang menyokong Dong Zong pun hanya beberapa pertubuhan. Banyak lagi pertubuhan yang tak sokong Dong Zong kerana dia tahu Dong Zong ada muslihat politik.

“Saya tidak ada kepentingan politik. Saya melihat dari segi kepentingan pelajaran. Sebab itu kita bersetuju (dengan pelan ini),” katanya.

Muhyiddin juga berkata Dong Zong seringkali melihat apa yang diusahakan kerajaan sebagai berniat jahat dan bertujuan merosakkan bahasa Cina dan masa depan bahasa itu walaupun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kalau itulah nak dibuat, mungkin dah berpuluh-puluh tahun dulu kita dah buat. Yang terbukti dalam Barisan Nasional sehingga 55 tahun merdeka, tidak ada buat begitu. Tidak ada sekolah Cina ditutup, tiada bahasa Cina tak boleh diajar, tambah guru Cina pun ada, tambah sekolah Cina pun ada,” katanya.

Beliau berkata ia membuktikan bahawa pandangan Dong Zong adalah salah dan berharap agar masyarakat Cina tidak terpedaya dengan apa yang dilakukan oleh pertubuhan itu. – Bernama

Suspek Lari Kereta Dan Kanak-Kanak Ditahan – Bernama


Suspek Lari Kereta Dan Kanak-Kanak Ditahan

SEREMBAN: Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta dan tiga orang kanak-kanak di dalamnya di Taman Desa Dahlia, Senawang pada Khamis.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar mini di taman itu kira-kira 2.20 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata, kejadian berlaku apabila seorang suri rumah berumur 42 tahun pergi ke pasar mini tersebut dengan memandu kereta bersama tiga orang anak lelakinya yang berumur antara 11 bulan dan 12 tahun.

“Dia masuk ke dalam pasar mini itu untuk membeli barang dengan meninggalkan ketiga-tiga anaknya di dalam kereta yang enjinnya masih dihidupkan. Beberapa minit kemudian apabila melihat ke luar dari pasar mini itu, dia mendapati seorang lelaki telah melarikan keretanya.

“Dia lantas meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Hamdan berkata, lelaki tersebut kemudiannya didapati meninggalkan dua kanak-kanak berkenaan yang berumur 11 bulan dan 12 tahun di hadapan pasar raya Giant.

Beliau berkata, hasil sekatan jalan raya di Batu 3, Jalan Labu di sini kira-kira 3 petang, kereta yang dilarikan lelaki tersebut telah ditahan bersama isteri dan tiga anak lelakinya bersama kanak-kanak yang dilarikan itu.

Suspek yang mempunyai lapan rekod kesalahan lampau iaitu tiga kes menyamar, tiga mencuri dan dua kes berkaitan dadah kini ditahan reman selama empat hari mulai Jumaat.

Dia juga didapati baru sahaja keluar penjara lima bulan lalu. – BERNAMA

‘Ini cara kami cegah gejala maksiat’ – Kosmo


‘Ini cara kami cegah gejala maksiat’

 

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

 

MOHD. Fahmi bersama Nur Fazira mengenakan pakaian pengantin serba putih pada kenduri perkahwinan mereka di Kampung Naga Lilit, Padang Serai semalam.

 

PADANG SERAI – Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.

Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.

Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat,” katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.

Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.

Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.

“Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tunggu ujian DNA sahkan mayat – Metro


Tunggu ujian DNA sahkan mayat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEKAN: “Jika benar mayat terdampar di Pantai Pasir Burung Mukut, Pulau Tioman, pagi kelmarin, anak tiri saya, saya reda dan menerima hakikat pemergiannya.

“Bagaimanapun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dijalankan di Petaling Jaya bakal menentukan segala-galanya,” kata Abdul Ghani Mat Isa, 39, bapa tiri kepada Mazura Ali, 14, yang dikhuatiri lemas ketika mencari siput bersama sepupunya di Sungai Badong, Nenasi, Merchong, dekat sini, pada 15 November lalu.
Abdul Ghani berkata, jika hasil ujian DNA membuktikan bukan mayat anak tirinya, dia amat berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin berikutan kejadian itu sudah dua minggu berlalu.

 

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia bersama isteri dan keluarganya sudah mengadakan solat hajat termasuk solat sunat ghaib serta membaca Yasin supaya mendapat petunjuk daripada Allah.
Katanya, dia tidak berputus asa dan sering ke sungai berkenaan bersama keluarga dengan harapan dapat menemui mangsa.
“Lebih mengejutkan, ketika membaca surah Yasin di sungai berkenaan, tiga kali saya tertidur sebelum bermimpi arwah menunjukkan kakinya sedang tersepit di celah kayu menyebabkan saya terjaga serta-merta.

 

 

“Ketika kejadian, beberapa ahli keluarga cuba membantu selepas mendengar jeritannya namun gagal sebelum dia hilang daripada pandangan kami,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, di Rompin, Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata polis mengesahkan mayat yang ditemui terdampar pagi kelmarin seorang wanita selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Giant, Nobita masuk jawi – Metro


Giant, Nobita masuk jawi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seorang ayah menggelarkan dirinya sebagai Doraemon, manakala dua anaknya sebagai Giant dan Nobita untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada mereka yang menyertai Majlis Khatan Perdana anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Zaidi Harun, 39. menggelarkan dirinya Doraemon memberi semangat kepada anak sulung, Muhammad Adam Harith, 10 dan kedua, Muhammad Alif Hazran, 9 walaupun proses berkhatan sudah selesai bagi menenangkan kedua-dua anak lelakinya.
Tindakan itu dibuat selepas Muhammad Adam menangis ketakutan ketika dibius doktor sebelum dikhatankan, berbanding Alif yang lebih tenang dan hanya mengerang sepanjang proses itu.

 

“Ayah Doraemon, abang (Muhammad Adam) Giant, jadi kena kuat, tak boleh menangis. Alif pula Nobita, kena kuat juga, tak boleh mudah menyerah kalah ketika berdepan dengan sebarang kejadian.
“Kalau nak jadi pemimpin pun tak boleh takut kena berani,” katanya ketika menenangkan anaknya.
Sementara, Alif Hazran ketika ditemui berkata, dia hanya gementar dan takut ketika dibius doktor, tetapi perasaan itu hilang ketika proses berkhatan walaupun sakit sikit.

 

 

“Saya tak menangis, abang yang menangis. Takut juga bila nak khatan, tapi bila selesai dah rasa lega. “Lepas ni saya dan abang kena berpantang dulu, tak boleh lasak sangat,” katanya ketika ditemui.

Kerap dilanda banjir – Metro


Kerap dilanda banjir

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ULU YAM: Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SMSHS) di sini kini bagaikan ‘pusat takungan banjir’ kesan aktiviti perladangan yang tidak mengikut piawaian. Sejak beberapa bulan lalu, sekolah berkenaan berdepan masalah banjir hingga membebankan pihak pengurusan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Suhaimi Deraman berkata, masalah banjir kilat bukan saja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah membabitkan soal keselamatan dan kesihatan pelajar.
“Sekolah ini bukannya terletak di lokasi banjir tapi masalah itu berlarutan sudah berbulan-bulan lamanya. Bukan setakat kemusnahan harta benda yang menjadi masalah utama, malah perkara yang membimbangkan kami ialah soal keselamatan seperti kehadiran ular berbisa serta kesihatan warga sekolah kerana banjir membawa bersama lumpur dari ladang terbabit.

 

“Sesi pembelajaran pelajar terjejas kerana masalah ini. Ketika banjir kilat, baru-baru ini, pihak sekolah termasuk guru dan pelajar dengan kerjasama pihak bomba baru terpaksa melakukan operasi pembersihan lumpur ekoran kesan hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah sudah mengambil segala tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu tetapi kemampuan dan bidang kuasa terbatas menyebabkan ia berlarutan.

Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat – Berita Harian


Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat

2012/11/25 – 06:29:48 AMCetakEmel Kawan
Seri Iskandar: Peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufaat Tumin, berkata Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) mendapati kadar kegemukan kanak-kanak meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus.

Kajian juga menunjukkan 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah kegemukan pada 2020.

Ia berdasarkan trend peningkatan satu peratus kes obesiti pelajar setiap tahun, katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan seminar sukan anjuran Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia di Universiti Teknologi PETRONAS di sini, semalam.

Sufaat berkata, kajian pada 2009 menunjukkan 10 peratus atau 1,150 daripada 11,500 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah kegemukan, manakala enam peratus (690 kanak-kanak) mengalami obesiti.

Satu kajian lain di Kuala Lumpur membabitkan 5,995 kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula mendapati murid lelaki mengalami peratusan berat paling tinggi iaitu 9.7 peratus berbanding 7.1 peratus murid perempuan.

Kajian itu juga mendapati sekurang-kurangnya 10 daripada 40 murid di dalam satu kelas mengalami masalah kegemukan, tidak aktif dan berisiko berpenyakit, katanya.
Beliau berkata, langkah Kementerian Pelajaran melaksanakan program sukan dan kegiatan kokurikulum adalah alternatif bagi menangani masalah kegemukan dan obesiti murid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian juga memperkenalkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlit sekolah yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan masing-masing, katanya.

Rogol bawah umur kena 30 tahun – Berita Harian


Rogol bawah umur kena 30 tahun

2012/11/25 – 06:36:33 AM Oleh Nurhayati AbllahCetakEmel Kawan
Padang Rengas: Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) akan dipinda bagi mengenakan hukuman penjara mandatori sehingga 30 tahun ke atas perogol gadis bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori, tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya, kita nak pinda Seksyen 376 KK supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah.

Pesalah rogol yang melakukan perbuatan itu terhadap gadis berusia bawah umur 16 tahun mesti dikenakan hukuman sedia ada iaitu tidak kurang tiga tahun penjara atau tidak lebih 30 tahun serta sebatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Kepemimpinan Berkesan di pejabat Perkumpulan Wanita Padang Rengas, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan sebelum ini meminda Seksyen 376 KK kerana perangkaan rogol statutori (jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan) mencatatkan hampir 6,000 kes bagi tempoh 2007 hingga 2012.

Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki


Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki

Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia, mulai 25 November 2012 melalui atas talian KLIK SINI atau melalui SMS: TaipIAB<jarak>SEMAK<jarak>NPQEL2013<jarak><KAD PENGENALAN> dan hantar ke 15888.