Rogol bawah umur kena 30 tahun
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori, tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.
Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya, kita nak pinda Seksyen 376 KK supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah.
Pesalah rogol yang melakukan perbuatan itu terhadap gadis berusia bawah umur 16 tahun mesti dikenakan hukuman sedia ada iaitu tidak kurang tiga tahun penjara atau tidak lebih 30 tahun serta sebatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Kepemimpinan Berkesan di pejabat Perkumpulan Wanita Padang Rengas, di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan sebelum ini meminda Seksyen 376 KK kerana perangkaan rogol statutori (jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan) mencatatkan hampir 6,000 kes bagi tempoh 2007 hingga 2012.