Pemandu teksi didenda RM1,200 kerana cederakan anak tiri – Bernama


Pemandu teksi didenda RM1,200 kerana cederakan anak tiri

2012/11/26 – 16:37:08 PMCetakEmel Kawan
PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi didenda RM1,200 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi kesalahan mencederakan anak tiri lelakinya berusia 11 tahun, lapan bulan lepas.

Ahmad Md Idris dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nazri Omran selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Ahmad, 57, didakwa mendatangkan cedera terhadap kanak-kanak terbabit di kediaman mereka di Puchong, di antara 7 pagi hingga 10 pagi, 24 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak itu memaklumkan kepada guru yang bertanya mengenai lebam di mukanya bahawa dia dipukul ayah tirinya dengan tali pinggang kerana bermain basikal di dalam rumah mereka.

Ahmad yang tidak diwakili peguam bela ketika memohon mahkamah mengenai hukuman ringan berkata dia mempunyai tanggungan sembilan orang anak termasuk dua orang anak tirinya.

Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh sepatutnya menjaga kanak-kanak itu. – BERNAMA

Cuepacs sambut baik saranan KSN mahu JPA fleksibel – Bernama


Cuepacs sambut baik saranan KSN mahu JPA fleksibel

26 November 2012
Presiden Cuepacs, Omar Osman
$entry.content.caption.value

KUANTAN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata cadangan Datuk Seri Dr Ali Hamsa itu merupakan satu daripada transformasi yang dilakukan kerajaan dalam memantapkan lagi penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

“Tidak perlu lagi penambahan jawatan baru apabila wujudnya kerja tambahan, sebaliknya JPA perlu letakkan pegawai yang sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula tanpa perlu melantik pegawai baru,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang hari ini.

Beliau berkata jabatan atau jawatan yang berkemahiran tinggi seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagaimanapun memerlukan pelantikan baru serta penambahan anggota dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Jawatan yang berkemahiran tinggi seperti doktor, jururawat, guru, polis dan sebagainya perlu ada lantikan baru, jawatan mereka tidak boleh dimansuh atau dibekukan kerana jawatan-jawatan ini penting,” katanya.

Omar berkata buat masa ini, kerajaan menunggu Suruhanjaya Khas (Mengkaji Transfromasi Perkhidmatan Awam) mengemukakan laporan sebelum 31 Dis ini untuk memperbaiki perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Beliau berkata jumlah penjawat awam ketika ini iaitu 1.4 juta dilihat sudah mencukupi dan tidak perlu ditambah, sebaliknya JPA perlu lebih fleksibel dari segi penempatan semula.

“Jumlah 1.4 juta orang penjawat awam ini kita mahu mereka kekal, kalau ada tambahan kerja, kita hanya perlu penyusunan semula bukannya menambah petugas dan pada masa ini, semua agensi sedang meneliti perkara ini demi penambahbaikan masing-masing,” katanya.- Bernama

Gangguan Capaian Aplikasi dan Web Portal HRMIS Jabatan Perkhidmatan Awam – HRMIS


Gangguan Capaian Aplikasi dan Web Portal HRMIS Jabatan Perkhidmatan Awam

 

Dimaklumkan bahawa aplikasi  dan web portal HRMIS di Jabatan Perkhidmatan Awam akan ditutup buat sementara waktu berikutan aktiviti-aktiviti penyenggaraan Pusat Data JPA pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh Mula : 30 November 2012 (Jumaat / 5.30 petang)
Tarikh Tamat : 3 Disember 2012 ( Isnin / 2.00 petang)

Adalah menasihatkan supaya sebarang kerja/aktiviti yang melibatkan/memerlukan capaian aplikasi HRMIS dilakukan sebelum atau selepas waktu yang dinyatakan di atas.

Segala kesulitan amat dikesali.

Untuk keterangan lanjut lawat : http://www.eghrmis.gov.my/utama/makluman-semasa/item/352-gangguan-capaian-aplikasi-dan-web-portal-hrmis-jabatan-perkhidmatan-awam

Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 4 Tahun 2012 : Tarikh dan Peraturan Pembayaran Gaji Tahun 2013 – JANM


Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 4 Tahun 2012 : Tarikh dan Peraturan Pembayaran Gaji Tahun 2013


Sila klik untuk muat-turun

(Dikemaskini pada 2012-11-26 10:23:25)

Sumber: JANM

Remaja maut dilanggar lari – Sinar Harian


Remaja maut dilanggar lari

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
26 November 2012
Remaja maut dilanggar lari
Sarip (tengah) tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat anaknya.

MELAKA TENGAH – Niat seorang remaja untuk membantu ibu bapanya memasak di warung tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar dua kenderaan di Jalan Bukit Rambai di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, mangsa Nur Afiqah Sarip, 16, tahun dilanggar sebuah kereta yang tidak dikenali sebelum tercampak dan dilanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan beberapa meter dari warung.

Nur Afiqah yang menunggang motosikal dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menghala ke Ayer Salak meninggal dunia di tempat kejadian sementara adiknya Hasyimah Sarip, 15, yang membonceng motosikal berkenaan cedera ringan.

Bapa mangsa, Sarip Baharom, 50, berkata, Nur Afiqah yang tidak lagi bersekolah sebelum kejadian bersama adiknya dalam perjalanan dari rumah di Jalan Haji Omar, di sini ke warungnya untuk memasak sebagai persediaan berniaga keesokan hari.

“Kedua-duanya keluar rumah selepas Isyak sebelum saya menerima panggilan dari Hasyimah yang memberitahu mereka terlibat dalam kemalangan hadapan warung dan arwah cedera parah.

“Saya bersama isteri, Suzana Ismail, 44, yang berada di rumah bergegas ke tempat kejadian tidak jauh dari rumah dan ketika sampai saya melihat Hasyimah sedang memangku kakaknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Melaka (HM), semalam.

Sarip berkata, arwah yang berdarah di kepala bagaimanapun masih bernyawa semasa dia dan isterinya tiba di tempat kejadian.

“Isteri yang memeriksa nadi memberitahu nadi arwah sangat perlahan dan dia serta Hasyimah sempat mengajar arwah mengucap,” katanya.

Suzana berkata, anak ketiga dari enam beradik itu seorang periang dan suka bergurau dengan ibu bapa dan adik-beradiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa datang dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menghala ke Ayer Salak dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dari arah sama.

“Mangsa dilanggar lari sebuah kereta dari arah sama hingga menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal bapanya terjatuh di laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah lagi kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun.

“Lelaki berkenaan yang dipercayai menetap di Paya Mengkuang, Bukit Rambai memandu dari arah Ayer Salak menuju lampu isyarat Batang Tiga bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Salehhudin berkata, dalam sebuah kes berasingan, seorang pegawai penjara turut maut selepas kereta yang dipandu sepupunya berusia 30-an terlibat kemalangan di Lebuh SUngai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) pada jam 11 malam kelmarin.

“Mangsa Mohd Hanafiah Abd Wahab, 25, disahkan meninggal dunia pada jam 11.25 malam di HM selepas terlibat kemalangan di hadapan Simpang Taman Sri Bertam, Lebuh SPA membabitkan dua buah kereta, ” katanya.

Salehhudin berkata, kedua-dua kes ini disiasat mengikut  Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Boleh kahwin muda jika bersedia – Kosmo


Boleh kahwin muda jika bersedia

 

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
ikhwan.hamidun@kosmo.com.my

 

KUALA LUMPUR – Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak menjadi masalah sekiranya sesebuah pasangan itu sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh alam perkahwinan.

Perunding motivasi, Datuk Zawawi Yusof berkata, Islam menghalalkan perkahwinan asalkan ia memenuhi syarat walaupun pada usia yang muda.

“Jika pasangan pengantin sudah cukup umur untuk berkahwin dan faham mengenai tanggungjawab yang mereka perlu galas, maka ia dibenarkan.

“Kita juga perlu memahami keadaan sekarang sudah berubah dengan remaja zaman ini lebih cepat matang selepas mendapat banyak pendedahan yang membantu mereka berfikir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zawawi diminta mengulas langkah satu pasangan muda, Nur Fazira Saad, 12, dan Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dari Kulim, Kedah bernikah pada 17 November lalu dan mengadakan kenduri perkahwinannya mereka kelmarin.

Bagi seorang lagi pakar motivasi, Prof. Madya Md. Izzudin Ali, perkahwinan pada usia muda mungkin jalan penyelesaian terakhir dan terbaik untuk mencegah remaja daripada terjerumus dengan masalah sosial seperti seks bebas dan bersekedudukan.

“Sekiranya tidak ada jalan lain yang mampu dilakukan, maka tidak ada masalah untuk berkahwin pada usia muda,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

2,960 graduan ISMP jadi guru – Berita Harian


2,960 graduan ISMP jadi guru

2012/11/26 – 06:25:19 AM Oleh Mohamed Farid NohCetakEmel Kawan
Batu Pahat: Seramai 2,960 graduan Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang lulus temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan ditempatkan di seluruh negara mulai sesi persekolahan tahun depan.

Seramai 7,815 lagi graduan ISMP akan dipanggil untuk ditemuduga SPP dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata waran perjawatan dan penempatan kepada sejumlah 2,960 graduan ISMP yang berjaya melepasi dan lulus temu duga itu kini sedang diagihkan.

Kita harap graduan ISMP berkenaan bersedia dan menyiapkan diri untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan tahun depan menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

Waran perjawatan dan penempatan mereka sudah diluluskan dan kini giat diagihkan kepada penerima terbabit.

Proses temu duga yang membabitkan seramai 7,815 lagi baki graduan ISMP pula akan dimulakan pada bila-bila masa dari sekarang dan ia dijangka berakhir Mac depan, katanya selepas merasmikan Program Kamu Yang Cantik anjuran pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Balai Raya Sungai Suloh, Senggarang, di sini, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan seramai 10,755 graduan ISMP mengeluh berikutan masih menganggur dan belum diserapkan sebagai guru walaupun sudah menamatkan pengajian mereka.
Ia menyebabkan Kementerian Pelajaran memanggil 5,500 graduan ISMP berkenaan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk ditemuduga secara berperingkat bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara.

Kementerian juga sebelum ini dilaporkan giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan.

Sementara itu, Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, seramai 63 calon graduan ISMP yang gagal dalam temu duga sebelum ini, akan dipanggil semula bagi menghadiri sesi temu duga kedua.