Dua rakan didakwa rogol – Sinar Harian


Dua rakan didakwa rogol

RUBIAH OMAR
28 November 2012
Rogol
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merogol gadis bawah umur.

KUALA TERENGGANU – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan merogol gadis bawah umur, 17 November lalu.

Tertuduh pertama, Mohd Latif Mat Ali, 20, dari Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di ladang sawit, Kampung Paya Akob, Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8.30 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima atau atau tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan disebut semula di Mahkamah Sesyen, di sini.

Rozianti turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya yang masih di bawah umur turut mengaku bersalah melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Disember depan ditetapkan untuk laporan akhlak tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah juvana sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 15 tahun sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya meminta tolong selepas dirogol dua lelaki yang baru dikenali di dalam ladang kelapa sawit.

Melalui SMS itulah, dia berjaya diselamatkan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu daripada terus menjadi mangsa nafsu serakah dua sekawan itu apabila mereka cuba mengulangi perbuatan terkutuk itu sekali lagi dengan membawa mangsa ke rumah sewa milik seorang daripada mereka.

Pasangan khalwat terpaksa bawa anak ke penjara – Sinar Harian


Pasangan khalwat terpaksa bawa anak ke penjara

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 November 2012
Khalwat
Pasangan terbabit (kiri dan tengah) bersama anak mereka menunggu untuk dihantar ke penjara kerana gagal membayar denda kerana kesalahan berkhalwat.

KAMPUNG RAJA – Seorang ibu muda berusia 17 tahun terpaksa membawa anaknya meringkuk di dalam penjara selama sebulan kerana gagal membayar denda selepas mengaku salah berkhalwat.

Turut dipenjara adalah pasangannya berusia 18 tahun kerana gagal membayar denda RM2,500 setiap seorang selepas ditangkap sepasukan penguat kuasa agama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Oh, dekat Jabi, jam 1.35 pagi, 11 Januari tahun lalu.

Mereka kemudiannya berkahwin di selatan Thailand selepas beberapa hari ditangkap dan ibu muda terbabit kini mengandungkan anak kedua.

Wanita berkenaan terpaksa membawa anaknya bersama kerana masih menyusu badan dan tidak boleh berpisah dengannya.

Terdahulu sebelum itu, Mahkamah Rendah Syariah Besut menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau sebulan penjara selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di rumah lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said, ketika serbuan dilakukan, pintu utama rumah dibuka seorang wanita tua.

Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik utama rumah berkenaan mendapati tertuduh wanita sedang tidur di atas katil, manakala tertuduh lelaki tidur di atas tilam di bawah katil bersama adiknya berusia 11 tahun, sementara di dalam sebuah bilik lain ada seorang perempuan sedang tidur.

Wanita dari Hulu Besut itu berkata, dia berada di rumah lelaki terbabit pada hari ditangkap kerana lari dari rumah dan merancang untuk berkahwin dengan pasangannya sehari sebelum ditangkap.

Lelaki Ditahan Berhubung Kes Rogol, Bunuh Pelajar Perempuan 16 Tahun – mStar


Lelaki Ditahan Berhubung Kes Rogol, Bunuh Pelajar Perempuan 16 Tahun

Oleh STEPHANIE LEE

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun yang dikaitkan dengan kes rogol dan pembunuhan kejam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Kota Matudu, Sabah.

Suspek, merupakan warga asing yang mengendalikan sebuah kedai perabot ditahan pada kira-kira pukul 10 pagi Selasa selepas mayat Norikoh Saliwah ditemui dibuang di tepi jalan dekat Kampung Ranau pada kira-kira pukul 12.40 petang pada Ahad, kira-kira 2 kilometer dari bandar Kota Marudu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Assiten Superitendan Kamaruddin Sulaiman mengesahkan penangkapan itu berkata, polis percaya budak perempuan itu dirogol dan dibunuh.

“Kami sedang menyoal siasat suspek,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut mengenai kes yang mencetuskan kemarahan penduduk di Kota Marudu.

Menurut rakan-rakan dan keluarga mangsa, gadis itu kali terakhir dilihat pergi ke kedai perabot bersama kakak dan sepupu mereka.

Kakak dan sepupu dikatakan meninggalkannya di kedai kerana mangsa pergi untuk melihat perabot di tingkat atas kedai.

Ia adalah kali terakhir gadis itu dilihat oleh kakak dan sepupunya yang hanya menyedari dia pada tengah hari Ahad.

Polis, yang pada mulanya menjumpai mayat di tepi jalan, mengesyaki dia menjadi mangsa langgar lari.

Lima korban kemalangan ngeri – Kosmo


Lima korban kemalangan ngeri

 

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

 


BEGINILAH keadaan MPV jenis Hyundai Starex yang remuk hingga mengorbankan lima nyawa di Slim River semalam.

 

SLIM RIVER – Hasrat 11 rakan untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan di Muar, Johor berkecai apabila lima daripadanya maut, empat parah dan dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah Selatan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; budak, Juvien Chin Yu Xuan, 12, serta Poh Hock Huat, 60, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini dan Hong Choon Tee, 33, mati di tempat kejadian.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.

Tiga penumpang, Bu Wei Hong, 50; Heng Ah Lee, 60, dan Lim Tau Hong, 3, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi HSR.

Sementara itu, Chong Soon Choy, 61, patah tangan manakala dua lagi, Ho Seok Yi, 18, dan Goey Wen Ni, 16, cedera ringan. Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Hyundai Starex yang dipandu Soon Choy.

Kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa putus kepala selain hancur anggota badan.

Ia berlaku tujuh hari selepas kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad yang maut dirempuh treler semasa bertugas di lorong kecemasan, lebuh raya sama yang terletak kira-kira 78 kilometer dari sini.

Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Muar bagi memenuhi satu jemputan melakukan persembahan kebudayaan Cina.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Redah api demi sijil – Metro


Redah api demi sijil

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan sanggup meredah api demi menyelamatkan dokumen penting miliknya termasuk sijil Malaysia Book of Records (MBR) yang diterimanya ketika menuntut di sekolah rendah dalam kejadian yang memusnahkan rumah keluarganya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Kampung Sungai Nibong itu, sebuah rumah didiami lapan beranak musnah menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.
Remaja berkenaan, Nurul Syafikah Ahmad, 16, berkata, dia nekad masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar biarpun dihalang oleh ahli keluarga yang bimbang keadaannya.

 

Menurutnya, dia mengetahui keadaan ketika itu boleh mendatangkan kecederaan serius, namun bertekad bagi menyelamatkan dokumen penting berkenaan.
“Bagi saya, sijil berkenaan amat penting dan sangat berharga.
“Saya tidak fikir lain ketika itu selain berusaha menyelamatkan sijil berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

 

 

Katanya, sijil MBR itu sangat bermakna buatnya kerana projek berjalan 10,000 langkah dan acara senamrobik 1Malaysia yang dijalankan bersama rakan sekelas ketika menuntut di sekolah rendah mendapat pengiktirafan agensi itu.
Dia yang masih sugul dan lemah selepas kejadian itu bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu termasuk tujuh ahli keluarga lain.

 

Sementara itu, sepupu Nurul Syafikah, Norhayati Jamaluddin, 27, berkata, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sedang berehat di tingkat atas rumah sambil menonton televisyen.
“Pada mulanya, saya terhidu bau getah terbakar dari dapur rumah, namun tidak lama kemudian api marak dari belakang rumah.
“Saya menjerit sambil meminta semua yang berada di dalam rumah menyelamatkan diri dan pada masa sama, saya mendukung bayi berusia dua tahun,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk beberapa dokumen penting dan beberapa peralatan elektrik.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hairam Kasran, berkata dua jentera bomba bersama tujuh anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28

Murid tahun dua diliwat dalam tandas awam – Utusan


Murid tahun dua diliwat dalam tandas awam

KUCHING 27 Nov. – Pastinya kejadian diliwat dalam sebuah tandas awam semalam, akan menjadi igauan ngeri bagi seorang kanak-kanak yang berusia lapan tahun di sini.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada pukul 2 petang ketika mangsa baru sahaja selesai membuang air kecil di sebuah tandas awam berdekatan pusat beli-belah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Pauzi Bujang berkata, kejadian itu disedari selepas bapa kanak-kanak tersebut yang menunggu di luar tandas berasa pelik apabila anaknya mengambil masa terlalu lama di dalam tandas.

“Bapa mangsa kemudiannya masuk ke dalam tandas dan terkejut apabila anaknya sedang menangis dan memberitahu dia berasa sakit di punggung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut kemudiannya menceritakan kejadian yang berlaku.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121128/je_07/Murid-tahun-dua-diliwat-dalam-tandas-awam#ixzz2DUL6WAV4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perompak cilik dicekup ketika cuba pecah masuk kedai telefon – Utusan


Perompak cilik dicekup ketika cuba pecah masuk kedai telefon

SHAH ALAM 27 Nov. – Polis menumpaskan satu kumpulan perompak cilik ekoran penahanan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun serta dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun di Teluk Panglima Garang, Banting, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kesemua mereka ditangkap ketika cuba memecah masuk sebuah kedai telefon pada pukul 3 pagi.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima maklumat awam yang curiga melihat gelagat mereka.

“Ketika dicekup, mereka sedang berusaha memecahkan pintu kedai berkenaan menggunakan peralatan pecah rumah.

“Hasil siasatan, kita mendapati dua kanak-kanak dan remaja berusia 13 tahun itu sudah dibuang sekolah ekoran masalah disiplin manakala seorang lagi remaja tidak pernah bersekolah kerana ibu bapanya merupakan warganegara Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121128/je_04/Perompak-cilik-dicekup-ketika-cuba-pecah-masuk-kedai-telefon#ixzz2DUKNPn8A
© Utusan Melayu (M) Bhd