Korban pertama banjir, budak 8 tahun lemas di tasik – Sinar Harian


Korban pertama banjir, budak 8 tahun lemas di tasik

NURAZIAZILA LATIF
30 November 2012
Korban pertama banjir, budak 8 tahun lemas di tasik
Jenazah Syarifah Nur Wahidah ditempatkan di Klinik Kesihatan, malam tadi.

JELEBU – Niat seorang kanak-kanak untuk melihat keadaan banjir di sebuah tasik bertukar tragedi apabila dia tergelincir jatuh dan lemas di Simpang Durian dekat sini semalam.

Mangsa, Syarifah Nur Wahidah Syed Putra, 8, pergi ke tasik berkenaan bersama dua lagi rakan perempuannya yang masing-masing berusia 10 tahun.

Nenek mangsa, Sharifah Aminah Syed Abdul Rahman, 68 berkata, mangsa meminta izin untuk keluar bersama rakannya setelah pulang dari mengaji di Masjid Kampung Jerang.

“Dia minta izin nak ke tasik dengan kawan-kawan, saya larang tapi dia pergi juga. Masa dia jatuh, kawan dia nak tolong, kawan dia kata nampak tangan dia sahaja sebelum lemas.

“Kawan dia datang rumah, maklum dia jatuh,” katanya yang menjaga mangsa sejak dua tahun lalu setelah ibu bapa mangsa bercerai.

Sharifah Aminah berkata, mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik. Bapa mangsa menetap di Terengganu manakala ibu mangsa berkerja di Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 5.30 petang.

“Kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut di mana ia berlaku di kawasan tasik di Kampung Jerang.

“Mangsa tinggal di Kampung Paya Jauh. Mayat mangsa ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 10.30 malam,” katanya.

Setapa berkata sepasukan anggota penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Simpang Pertang, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela dan Polis dikerahkan untuk mencari mayat mangsa.

Menurutnya, kematian pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Durian Tipus itu merupakan korban pertama banjir di daerah ini.

“Saya ingin menasihati ibu bapa dan penjaga agar tidak membenarkan anak-anak kecil merapati kawasan berisiko seperti sungai, tasik  dan sebagainya ketika banjir kerana boleh
mendatangkan bahaya,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s