Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan – Sinar Harian


Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
3 anak hilang upaya
Aminah cekalkan hati supaya anaknya sentiasa tabah menempuh dugaan hidup.

MARAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib seorang ibu tunggal kematian suami tercinta yang meninggal dunia selepas sebulan koma akibat kemalangan pada 15 Jun lalu.

Lebih malang, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga anaknya mengalami kecederaan serius dengan seorang daripadanya lumpuh seluruh badan dan cacat penglihatan serta patah kaki.

Kini si isteri bertungkus-lumus bersendirian menanggung tugas sebagai ketua keluarga bagi menyara lima anaknya.

Balu kepada kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuari Pekan Awah itu, Aminah Awang Engit, 42, berkata, ketentuan Ilahi diterima dengan reda, namun hatinya bimbang setiap kali memikirkan nasib anaknya itu.

Menurutnya, dia amat memerlukan bantuan sara hidup dan keperluan lain bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

“Ketika kemalangan di Lebuh Raya Pantai (LPT) dekat Tol Kuantan itu, saya dan arwah suami, Abdul Rahim Abdul Rahman, serta tiga anak dalam perjalanan ke jabatan sukan di Balok.

“Manakala, dua anak lagi iaitu yang sulung berusia 17 tahun dan kedua, 14 tahun tidak ikut sekali,” katanya.

Akibat kemalangan itu kata Aminah, anak ketiganya, Nurul Ain Atikah, 12, patah kaki kanan dan terpaksa menjalani pembedahan memasukkan skru penyokong.

Manakala anak keempat, Abdul Arif, 10, cacat penglihatan selepas mengalami gangguan saraf akibat kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, anak bongsunya, Abdul Muhaimin, 8, yang koma selama tiga bulan selepas kemalangan kini lumpuh seluruh badan dan tidak lagi boleh bercakap.

Perlu wang tampung kos lampin pakai buang, susu

AMINAH berkata,kos perbelanjaan susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsu itu mencecah RM900 sebulan.

Menurutnya, gangguan saraf otak menyebabkan Abdul Muhaimin lumpuh badan dan bernafas melalui lubang di leher yang ditebuk, selain hanya bergantung kepada susu khas.

“Harga setin susu khas RM38.20 dan hanya boleh bertahan sehari semalam sahaja.

“Alat menyedut kahak dan tilam elektrik ini saya pinjam dari Jabatan Sosial Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tempoh tiga bulan sahaja,” katanya.

Kata Aminah, dia terpaksa cekalkan hati melihat penderitaan anak-anaknya.

“Hanya Tuhan tahu betapa sedih saya melihat penderitaan mereka, namun saya reda dengan ujian ALLAH SWT kerana percaya ada hikmah terselindung di sebalik semua ini,” katanya.

Aminah berkata, biarpun anak bongsunya itu lumpuh, namun dia mengerti mereka kini sudah kehilangan tempat bergantung.

Katanya, Abdul Muhaimin akan menatap gambar arwah ayahnya setiap hari dengan memberi isyarat tanda rindu.

Menumpang di rumah keluarga

AMINAH lima beranak yang sebelum ini tinggal di Kampung Baru Chenor kini menumpang di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Ling. Katanya, dia tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak berupaya keluar bekerja kerana perlu memberi perhatian penuh kepada anak bongsu yang terlantar itu.

“Walaupun tinggal dengan ibu bapa, tetapi mereka hanya mampu menanggung makan minum kami lima beranak.

“Keperluan lain termasuk persekolahan anak-anak di bawah tanggungan saya sendiri,” katanya. Aminah kini hanya bergantung sepenuhnya pada wang pencen arwah suami sebanyak RM668 sebulan dan ia memang tidak mencukupi.

Rayu bantuan sara hidup

“SAYA harap permohonan dikemukakan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan demi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s