Lima sekolah di Kelantan tangguh sesi persekolahan 2013 – Utusan


Lima sekolah di Kelantan tangguh sesi persekolahan 2013

KOTA BHARU 31 Dis. – Sebanyak lima buah sekolah di Kelantan terpaksa menangguhkan sesi persekolahan 2013 yang dijadual bermula esok disebabkan bencana banjir.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, sekolah-sekolah terlibat ialah empat buah di daerah Tumpat iaitu Sekolah Rendah (SK) Simpangan membabitkan sebanyak 287 murid, SK Bendang Pak Yong (470 murid), SK Telok Jering (415 murid) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda (205 murid).

Katanya, sebuah lagi sekolah ialah di Pasir Mas iaitu SABK Diniah Kampung Bongor membabitkan 50 murid.

“Sesi persekolahan di lima sekolah terbabit terpaksa ditangguhkan disebabkan jalan masuk ke sekolah berkenaan masih dinaiki air dan ini berbahaya kepada keselamatan pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121231/dn_32/Lima-sekolah-di-Kelantan-tangguh-sesi-persekolahan-2013#ixzz2GcQjWlgm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua remaja hilang dikhuatiri lemas – Sinar Harian


Dua remaja hilang dikhuatiri lemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2012
Dua remaja hilang dikhuatiri lemas
Ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat menunggu sehingga mangsa dijumpai.
Muhamad Azhari Suranto
Muhamad Azhari Suranto
Mohamad Hafis Jamuladin
Mohamad Hafis Jamuladin

MERSING – Trip ahli Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, yang berkelah berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Air Papan, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Muhamad Azhari Suranto, 17, dipercayai ke laut untuk mandi semula selepas menikmati sajian sarapan pagi.

Rakan mangsa, Mohd Fauzi Jelani, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua mangsa itu ke pantai untuk mandi-manda.

“Saya bertiga mandi bersama-sama. Apabila sudah letih, kami membuat keputusan naik ke tepi pantai untuk menikmati makanan yang ada.

“Selesai makan, mereka turun semula ke pantai. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya melihat mereka terkapai-kapai seperti meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, dia bersama rakan lain bergegas turun untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana ombak kuat dan arus yang deras.

“Salah seorang daripada kami dapat mencapai tangan salah seorang daripada mereka, tetapi cubaan itu tidak berjaya.

“Ketika itu, kami rasa seperti ditarik ke tengah laut dan dengan sekelip mata mereka hilang,” katanya.

Bapa mangsa, Jamuladin Dasuki, 51, berkata, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya sekitar jam 9.30 pagi.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan yang mengatakan anak saya lemas seterusnya segera mendapatkan bantuan ketua kampung untuk menghantar saya ke sana.

“Saya akan menunggu di sini sehingga anak saya ditemui pihak anggota penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan.

Mayat pelajar ditemui dalam laut bergelora – Bernama


Mayat pelajar ditemui dalam laut bergelora

31 Disember 2012

KUCHING – Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa meredah laut bergelora kira-kira tujuh jam malam tadi sebelum berjaya menemui mayat pelajar lelaki yang dilaporkan hilang dibawa arus deras semasa berenang di pantai Kampung Siru Melayu, Sematan, Lundu, kira-kira 100km dari sini.

Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong berkata, mayat Jesper Jong Yu Yu, 14, pelajar sebuah sekolah Cina di sini ditemui kira-kira 9 malam tadi selepas dilaporkan hilang pada kira-kira 2.20 petang semalam.

“Kami menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang dan pasukan mencari dan menyelamat telah berjaya menemui dua mayat pertama kira-kira sejam selepas memulakan operasi mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kedua-dua mayat itu telah dikenal pasti sebagai Ling Chok Liong, 78, dan Ting Kuo Liong, 69, katanya.

Wong berkata, ketiga-tiga mangsa bersama-sama empat rakan lain yang merupakan anggota Gereja Methodist Kuching telah pergi berkelah di pantai tersebut sebelum kejadian itu berlaku.- Bernama

Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan ke Sekolah Berdasarkan Per Kapita Dan Enrolmen Murid


Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan ke Sekolah Berdasarkan Per Kapita Dan Enrolmen Murid

Kategori Pekeliling Kewangan
Bil 8
Tahun 2012
Jabatan Bahagian Kewangan
Fail Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Ke Sekolah Berdasarkan Per Kapita Dan Enrolmen Murid
Tarikh 20 December 2012

Saksi: ‘Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis’ – Sinar Harian


Saksi: ‘Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis’

MASTURAH SURADI
31 Disember 2012
Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'
Lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing semalam.

KOTA TINGGI – “Sebelum kejadian itu berlaku saya terdengar suara perempuan menjerit sebelum bunyi dentuman yang kuat ekoran kemalangan melibatkan dua kenderaan.”

Demikian menurut saksi kemalangan maut Mohd Nazirul Azilini, 16, yang berlaku di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang mana turut mengorbankan tiga nyawa kira kira jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Mohd Nazirul, menjadi rutin sejak mula cuti persekolahan dia menolong bapa saudaranya menjual lemang di situ, namun dia tidak sangka akan menyaksikan kejadian ngeri itu.

“Ketika itu saya sedang menghidupkan api, namun sebaik sahaja mendengar dentuman kuat saya terus bergegas melihat tempat kejadian yang kira kira 100 meter dari tempat kami berniaga.

“Saya melihat dengan jelas di mana pemandu kereta Proton Iswara itu tersepit di tempat duduk pemandu. Manakala saya turut terdengar tangisan salah seorang kanak kanak yang duduk di bahagian belakang kereta itu.

“Keadaan kereta yang remuk ekoran kemalangan itu menyebabkan saya tidak dapat lihat mangsa lain yang berada dalam kereta itu,” katanya.

Dia menambah: “Keadaan pemandu dan sebahagian penumpang kereta tersebut masing masing sudah tidak bermaya akibat mengalami kecederaan yang teruk sehingga terdapat darah yang banyak mengalir di celah pintu kereta.”

“Turut kelihatan pemandu kereta Mercedes Benz yang turut mengalami kecederaan. Bagaimanapun saya tidak dapat menolong mangsa kerana harus kembali ke pondok lemang.

“Namun saya melihat orang ramai yang berhenti di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara, Ating Dasa, 25, serta dua anak saudaranya, Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan berkata, kejadian Ating meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Ismail.

“Kereta Proton Iswara itu dinaiki lima orang termasuk dua anak mangsa. Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) berikutan suaminya seorang anggota tentera.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan mereka terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Ekoran kejadian itu turut menyebabkan dua anak mangsa berusia antara dua dan empat tahun termasuk pemandu Mercedes Benz terbabit parah,” katanya lagi.

Ganti peralatan rosak – Metro


Ganti peralatan rosak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Peralatan persekolahan dan buku teks di semua sekolah kebangsaan dan menengah yang rosak akibat banjir baru-baru ini diganti secepat mungkin.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed berkata, pihaknya membuat penilaian kerosakan peralatan dan buku yang dialami sekolah terbabit.
Menurutnya, penilaian kerosakan itu bukan saja membabitkan sekolah yang terbabit banjir malah ada sekolah yang terjejas akibat tanah runtuh seperti yang berlaku di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kuantan.

 

“Setakat ini, kami memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membuat penilaian mengenai tanah runtuh sama ada ia mengancam keselamatan guru dan pelajar atau tidak.
“Difahamkan, tiga blok terjejas dalam kejadian itu termasuk dewan makan dan asrama puteri, tetapi siasatan masih dilakukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas di sini, semalam.
Selain SK St Thomas, Dr Rosli turut meninjau beberapa sekolah di Kuantan termasuklah SK Galing, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Galing dan SMK St Thomas.

 

 

Hadir sama, Guru Besar SK St Thomas, Mohd Sabri Mohamed Arshad dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Thomas, Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad.
Dr Rosli berkata, kerosakan kritikal seperti sistem pendawaian dan peralatan penting turut diberi perhatian manakala kerosakan lain dibaiki berperingkat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Terlepas pegangan lepas dipukul arus – Metro


Terlepas pegangan lepas dipukul arus

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MERSING: “Saya berjaya mencapai tangan Mohamad Hafis namun ombak besar menyebabkan saya hilang keseimbangan lalu terlepas tangannya serta tertelan air laut.

“Nasib baik rakan sempat menyelamatkan saya, namun kesal tidak mampu menyelamatkan Mohamad Hafis,” kata Mohd Azizoy Aziman, 22, menceritakan detik dua rakannya hilang dikhuatiri lemas di Pantai Air Papan di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, dua daripada 42 ahli Kelab Kompang Kampung Rahmat Batu Pahat iaitu Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Mohd Azhari Suranto, 17, hilang dihanyut ombak besar.

 

Ketika kejadian, kebanyakan rakan mereka sudah berada di darat, namun dua mangsa terbabit yang berada di pantai dan dalam perjalanan ke darat, dipukul ombak besar.
Mohd Azizoy berkata, ketika kejadian mereka bermain air di pantai apabila diarah naik ke darat oleh ketua rombongan berikutan ombak bertambah ganas.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir semua peserta berada di darat, mereka dapati Mohamad Hafis dan Mohd Azhari masih berada dalam air.

 

 

“Dalam sekelip mata mereka berdua dipukul ombak besar sebelum nampak tangan terkapai-kapai meminta bantuan.
“Saya bersama tiga rakan berlari ke laut untuk membantu mereka dan saya sempat mencapai tangan Mohamad Hafis.

 

“Belum sempat menariknya ke darat tiba-tiba saya dipukul ombak kuat menyebabkan hilang keseimbangan dan hampir lemas,” katanya yang diusung ke pantai sebelum muntah beberapa kali berikutan terminum air laut. Sementara itu, ketua kelab berkenaan, Mohd Azhar Jelani, 37, berkata mereka ke pantai dengan menyewa bas dari Kampung Rahmat, Batu Pahat, sebelum tiba pada kira-kira jam 4 pagi semalam.
Katanya, sebaik tiba dia mengingatkan semua rakan supaya mandi di kawasan pantai dan segera ke darat apabila diberitahu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, katanya sebahagian peserta tidak sabar untuk mandi dan mereka pergi jauh dari pantai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, sebaik menerima laporan kehilangan dua remaja itu, pihaknya menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Pasukan Polis Marin, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Ghaib ditelan ombak – Metro


Ghaib ditelan ombak

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMATAN: Aktiviti perkelahan 30 ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pantai Pueh, Kampung Siru Melayu, di sini, semalam berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala seorang lagi dilaporkan hilang ditelan ombak besar.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, ketiga-tiga mangsa, Ling Chok Leong, 78, Ting Koo Leong, 63, dan Jasper Jong, 14, mandi kira-kira 50 meter dari pantai, tetapi ombak dan arus kuat menyebabkan mereka dihanyutkan ke tengah laut.

Kejadian itu disedari rakan mereka yang berada di tepi pantai dan sempat menarik Ling dan Ting yang terkapai-kapai meminta tolong manakala Jasper yang menggunakan pelampung terus dihanyutkan ombak.

Menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai John, 25, ketika bermain di tepi pantai, mereka ternampak dua mangsa terkapai-kapai di tengah laut kira-kira 500 meter dari pantai.

 
Katanya, sebaik melihat mangsa tenggelam-timbul seperti meminta pertolongan, beberapa rakan lain berenang ke lokasi berkenaan dan berjaya membawa dua mangsa ke pantai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Tiada lagi senyuman – Metro


Tiada lagi senyuman

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: “Sejak empat bulan lalu anak saya tidak mampu bergerak atau berbuat apa-apa termasuk tersenyum,” kata Norhakimah Ghazali, 45, ibu kepada Hakim Aizuddin Ismariza, 7, yang lumpuh seluruh badan akibat dilanggar lori 10 September lalu.

Hakim yang sepatutnya memasuki tahun dua di Sekolah Kebangsaan Islah di sini, Selasa ini, kini terlantar di atas katil dan perlu sentiasa diberi perhatian rapi.
Menurut Norhakimah, dia dan suaminya, Ismariza Dollah, 36 tetap positif anak ketiga daripada lima beradik itu pulih nanti.

 

“Kami kena kuat untuk menyakinkan anak lain Hakim pulih. Setiap kali mereka bertanya, saya beritahu Hakim perlu berehat secukupnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Lalat di sini, baru-baru ini.
Mengimbas kejadian 10 September itu, Norhakimah berkata, dia di dalam rumah menidurkan seorang anaknya manakala Hakim bermain di hadapan rumah.
Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada jiran memberitahu anaknya dilanggar lori ketika melintas jalan dan dibawa ke klinik Kedai Lalat untuk rawatan.

 

 

“Saya bergegas ke klinik dan sempat melihat Hakim diusung ke dalam ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan dirawat di hospital itu selama 18 hari,” katanya. Menurutnya, doktor memaklumkan anaknya kritikal dan memerlukan penjagaan rapi kerana saraf mengawal pergerakan tidak berfungsi akibat pelanggaran kuat.

 

“Alhamdulillah, beberapa hari kemudian Hakim menunjukkan perkembangan positif dengan membuka mata dan dimasukkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun, selepas itu dia sering demam panas diikuti beberapa bahagian badannya termasuk tangan dan kaki membengkok. Doktor memberitahu Hakim kemungkinan lumpuh seumur hidup,” katanya.
Norhakimah yang juga seorang guru berkata, anaknya itu diberi minum susu enam kali sehari menerusi tiub dan dimandikan dua kali sehari serta memakai lampin pakai buang.
“Kami perlu menggunakan mesin menyedut kahak jika dia batuk bagi mengelak dia sesak nafas,” katanya yang membelanjakan RM1,000 sebulan untuk kos penjagaan dan rawatan anaknya itu.
Katanya, Hakim juga perlu dibawa ke hospital untuk rawatan fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31