Kanak-kanak kreatif cipta robot – Sinar Harian


Kanak-kanak kreatif cipta robot

ROSHLAWATY RAIEH
2 Disember 2012
Kanak-kanak kreatif cipta robot
Barisan pemenang untuk kategori cabaran sumo di samping hadiah kemenangan masing-masing.
Kanak-kanak kreatif cipta robot
Ryan (kanan) dan Chien Lucas (kiri) bersama robot ciptaan mereka.

Keinginan menghasilkan robot bukan perkara mudah. Selain memerlukan ketelitian dan kesabaran, daya kreatif yang sangat tinggi amat didambakan jika mahukan robot yang terbaik.

Dalam situasi ini, kanak-kanak dilihat cukup hebat menghasilkan robot. Ini kerana mereka memiliki daya kreativiti yang luar biasa, apatah lagi otak mereka yang kecil itu sentiasa cuba menggabungkan fikiran dan idea-idea sambil meneroka dunia di sekeliling.

Pengasas Creative Robotics Education Sdn Bhd (CR8), Esther Khong berkata, semua orang termasuk dewasa mempunyai potensi atau bakat kreatif yang semula jadi. Cuma, keberanian ada atau pun tidak untuk mencuba sesuatu bidang.

Berlainan dengan kanak-kanak, menurut Esther, mereka belajar melalui bermain.

“Pembelajaran berlaku terutama ketika bermain. Keseimbangan di antara belajar dan bermain menjadi rangka penting bagi memperkembangkan kebolehan dan keupayaan kanak-kanak dalam sesuatu bidang.

“Bermain sebenarnya proses pembelajaran yang melibatkan kanak-kanak memahami sesuatu konsep. Melalui permainan juga, ia dapat mengukuhkan kefahaman kanak-kanak terhadap konsep yang ingin diketahui oleh mereka,“ katanya.

Mengenai robot, beritahu Esther, ia merupakan satu mesin yang telah diprogram untuk melaksanakan sesuatu arahan yang tertentu.

“Robot terdiri daripada gabungan teknologi antara mekanikal dan elektronik.

“Setiap robot yang dicipta mempunyai controller yang tersendiri. Tujuan controller adalah untuk memproses input dan output bagi robot tersebut. Atau dalam bahasa mudahnya, controller ini berfungsi seperti otak kita yang bertujuan memproses input dan output bagi robot tersebut,“ katanya.

Lego paling diminati

Dalam macam-macam jenis permainan yang ada di negara ini, kanak-kanak gemarkan permainan lego yang dianggapnya mencabar dan berupaya meningkatkan daya fikir mereka.

Lego adalah sejenis alat permainan bongkah plastik yang terkenal di seluruh dunia bagi semua golongan kanak-kanak dan remaja. Ia berasal dari Denmark dan terus digunakan sehingga ke hari ini.

Permainan lego ini sebenarnya melibatkan kanak-kanak menyusun kepingan-kepingan atau bongkah-bongkah yang dipisahkan menjadi satu model yang lengkap dan sempurna. Contoh model yang biasa disiapkan ialah kapal terbang, kereta api, bangunan dan sebagainya.

Permainan lego ini menguji tahap pemikiran kanak-kanak terutamanya yang berumur 3-4 tahun kerana pada peringkat umur ini mereka mempunyai kuasa ingin tahu dan daya imaginasi yang tinggi, kuat meneroka dan mula memanipulasikan sesuatu benda yang menarik perhatian mereka.

Melalui permainan lego, kanak-kanak bukan sahaja dapat mencipta daya kreatif sendiri, tetapi juga dapat memperkembangkan lagi kemahiran kognitif mereka.

Cipta nama peringkat antarabangsa

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menghadiri pertandingan World Creative Robotics Challenge (WCRC) 2012 The Summit Subang USJ.

Pertandingan dua hari, 21 dan 22 November itu menyaksikan seramai 85 peserta berumur lima hingga 17 tahun, dari 10 cawangan CR8 mengambil bahagian.

Adik Tan Nik Ryan dan Goh V Chien Lucas, kedua-duanya berusia 12 tahun pemenang tempat ketiga bagi kategori cabaran sumo memberitahu, cabaran itu adalah ujian getir buat mereka kerana perlu menghasilkan robot yang kuat semata-mata untuk mengalahkan robot lain pada gelanggang sumo nanti.

Kata mereka, robot yang diberi nama Rycas itu sudah dimasukkan dengan pelbagai komponen, terutama bagi mengawal pergerakan.

“Walau hanya mendapat tempat ketiga, kami puas hati kerana sudah mencuba yang terbaik,“ kata mereka yang memenangi pelbagai anugerah robotik di Indonesia.

Selain cabaran sumo, turut diadakan pertandingan cabaran cipta (menggunakan permainan lego untuk hasil robot) dan pertandingan kreativiti kodu kup.

Sementara itu, Esther merangkap pengurus pertandingan berkata, tujuan diadakan WCRC 2012 itu untuk mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak dan pelajar melalui penghasilan robot.

Sepanjang tiga kali penganjuran WCRC 2012 itu, ratusan bakat-bakat muda dalam dunia penghasilan robotik dicungkil dan ada antara mereka memenangi anugerah tertinggi di negara luar.

“Kita tak terkejut kerana sebelum ini sudah maklum bahawa mereka yang mengikuti pembelajaran kreativiti di CR8 sememangnya bijak dan punyai potensi untuk pergi lebih jauh.

“Justeru, bila mereka sudah berjaya melangkau nama ke persada antarabangsa, itu satu bonus buat kanak-kanak mahupun remaja berkenaan. “Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu hala tuju bakat dan kemahiran yang dimiliki kerana tidak semua bakat kreativiti itu mampu diserlahkan semua orang jika tidak kena pada caranya,“ akhiri Easter.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s