2 kanak-kanak maut dihanyut arus deras – Sinar Harian


2 kanak-kanak maut dihanyut arus deras

AZMAN CHE MAN
1 Disember 2012

KUALA KRAI – Dua kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) di sini selepas lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Durian dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Abdul Latif Alias, 6, menghembuskan nafas terakhir di hospital itu kira-kira jam 7 petang, diikuti Muhammad Zarrin Mohd Amin, 8, tiga minit kemudian.

Kedua-duanya ditemui berdekatan di dasar sungai cetek kira-kira 30 meter dari tempat mereka dikatakan terjatuh.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu disaksikan oleh adik Muhammad Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, yang turut berada di tebing sungai.

Laporan akhir pelan pendidikan dalam beberapa minggu, kata Muhyiddin – Bernama


Laporan akhir pelan pendidikan dalam beberapa minggu, kata Muhyiddin

1 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dijangka siap dalam beberapa minggu lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, berkata pelan itu adalah dokumen yang amat penting yang menunjukkan kesungguhan kepimpinan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) untuk mengangkat darjat pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti.

“Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada presiden parti selaku perdana menteri yang memberi sokongan penuh kepada PPPM termasuk di peringkat awal ini dengan menyediakan peruntukan setengah bilion ringgit dalam Bajet 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Muhyiddin berkata peruntukan itu bagi menjayakan pelaksanaan pelan tersebut mulai tahun hadapan.

Selaku timbalan presiden Umno, beliau mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan perhimpunan itu yang memberi sokongan terhadap pelaksanaan PPPM. – Bernama

IAM dan Etiqa Takaful Berhad agih bantuan persekolahan kepada 1,000 pelajar – Bernama


IAM dan Etiqa Takaful Berhad agih bantuan persekolahan kepada 1,000 pelajar

1 Disember 2012

JITRA – Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad hari ini menyampaikan bantuan persekolahan dalam bentuk dua set pakaian sekolah, dua pasang kasut, beg dan buku latihan kepada 200 pelajar di Sekolah Kebangsaan Padang Perahu dekat sini.

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata bantuan tersebut adalah di bawah program Kembali Ke Sekolah 2013 yang melibatkan 1,000 pelajar miskin terpilih.

Sumbangan tersebut adalah dari zakat syarikat Etiqa Takaful sebanyak RM250,000, dan melibatkan lima negeri – Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor dengan masing-masing 200 pelajar menerima bantuan.

“Kita telah menyerahkan bantuan tersebut kepada tiga sekolah di Pahang dan Perak baru-baru ini serta di Kedah hari ini. Misi sumbangan ini akan ke Kelantan dan Johor sebelum menjelang tahun depan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan tersebut.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa Insurans & Takaful Sham Shuhaimi Mohamad kepada 200 pelajar miskin dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaaan Padang Perahu, SK Permatang Buloh, SK Datuk wan Mohammad Saman, SK Sri Mahawangsa dan SK Bukit Hijau.- Bernama