Perjalanan terakhir lima beranak – Kosmo


Perjalanan terakhir lima beranak

 

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

 

ABDULLAH bersama Muhammad Aiman (kiri), ibunya, Ramlah Omar (tengah), Samsiah dan Maisarah(atas pangkuan) dalam
gambar yang dirakamkan ketika Hari Raya Aidilfitri lalu di Felda Air Tawar, 5, Kota Tinggi.

 

MERSING – Lima sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna jenis Grand Livina yang mereka naiki hilang kawalan dan berpusing sebelum dirempuh sebuah lori tangki di Jalan Mersing-Endau dekat sini pukul 7.30 pagi semalam.

Mereka yang maut ialah juruteknik, Abdullah M. Yusof, 43; isterinya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, Kota Tinggi, Samsiah Maidin, 37; anak mereka, Muhammad Aiman Syakirin Abdullah, 8, dan Maisarah, 4, serta adik kepada Samsiah, Noraini Maidin, 30-an.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Ammar, 3, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Kosmo! Ahad difahamkan, Abdullah sekeluarga bersama sebuah kereta lain dalam perjalanan untuk menghantar adik iparnya, Muhammad Hafiz Maidin, 18, ke tempat belajarnya di Universiti Teknologi Mara, Jengka , Pahang.

Muhammad Hafiz menaiki sebuah kereta lain yang dipandu oleh datuknya, Maidin Mohamad, 66.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Mohd. Nor Rasid berkata, dalam kejadian ngeri itu, kenderaan yang dipandu oleh Abdullah dipercayai hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali di tengah jalan.

“Pada waktu yang sama, sebuah lori tangki dari arah belakang terus melanggar kereta tersebut hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu melekat,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan empat dari lima mangsa maut pada tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2DssIi08Q
Hakcipta terpelihara

Leave a comment