6,249 guru Kelantan naik pangkat, gred – Bernama


6,249 guru Kelantan naik pangkat, gred

4 Disember 2012

KOTA BAHRU – Seramai 6,249 guru cemerlang lepasan ijazah dan diploma dari seluruh Kelantan menerima kenaikan pangkat sempena pengumuman kerajaan ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan pendidikan di kalangan warga pendidik di seluruh negara dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Hussain Awang berkata guru di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Baharu, merupakan jumlah paling ramai menerima kenaikan pangkat itu iaitu 885 orang.

Peringkat kedua membabitkan seramai 387 guru yang menerima kenaikan pangkat itu diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Chat, Wakaf Mek Zainab, di sini hari ini.

Sebelum ini seramai 498 guru menerima memo kenaikan pangkat itu pada majlis dan tempat yang sama.

“Mereka yang menerima memo itu terdiri daripada guru cemerlang daripada beberapa kategori gred DG32 kepada DG48 dari seluruh sekolah menengah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan memo kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPS) itu.

Hussain berkata langkah Kementerian Pelajaran menaikkan pangkat dan tangga gaji ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah guru sebagaimana pembentangan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ini adalah suatu penganugerahan kepada warga pendidik berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam perkhidmatan masing-masing,” katanya.- Bernama

Keputusan Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia – Sinar Harian


Keputusan Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia

4 Disember 2012

BERIKUT keputusan pusingan pertama Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia Malaysia diadakan di Saujana Golf and Country Club, Subang dan di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam:

TIGA TERATAS PUSINGAN PERTAMA:
——————————

Budak Lelaki 12 tahun
——————
67-Jose Emmanuel Sadulga (PHI)
69-Bryan Teoh Wiyang (MAS)
72-Kavish Varman Varadan (MAS)

Budak Lelaki 15-16 tahun
————————
70-Low Khai Jei (MAS)
71-Alvin Hiew (MAS)
74-Mohamed Asyraaf Rosli (MAS)

AKAN MENYUSUL

Kes pecah rumah: Remaja baru habis SPM ditahan – Bernama


Kes pecah rumah: Remaja baru habis SPM ditahan

4 Disember 2012

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja lelaki yang baharu habis menduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditahan berhubung kejadian pecah masuk rumah Ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pasir di sini dua hari lalu yang mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata remaja itu ditahan semalam di Permatang Pasir.

“Pelajar itu tinggal di kawasan yang sama dengan rumah Ketua Pemuda Umno berkenaan. Dia kini direman bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian tersebut dilakukan lebih  daripada seorang kerana peti besi yang mengandungi barangan berharga yang  dilarikan dari rumah Mohd Zaidi Mohd said, 43, agak berat untuk diangkat hanya seorang individu.

Antara barangan yang dilapor dilarikan ialah barang kemas, jongkong emas, komputer riba, geran tanah dan pelbagai dokumen lain serta sebuah  motosikal. – Bernama

Padah tidak pakai topi keledar – Sinar Harian


Padah tidak pakai topi keledar

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Padah tidak pakai topi keledar
Anggota polis memeriksa mayat remaja yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, semalam.

PETALING JAYA – Padah menunggang motosikal tanpa topi keledar, seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang  sebuah  lori 11 tan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa Ravind Raj, 16, tercampak selepas  gagal mengelak lori yang mahu membelok ke  kiri  untuk ke Sri  Damansara.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal  Honda EX 5 cedera parah bahagian kepala mati serta merta di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari rumahnya di Damansara Damai menggunakan lebuh raya untuk ke Kepong.

“Ketika kejadian sebuah kereta Proton  Wira dari arah yang sama cuba mengelak melanggar mangsa turut dilanggar sebuah lagi lori menyebabkan pemandunya gagal mengawal lalu terbabas melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah dapat mengenal pasti lori yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita masih menyiasat lagi punca kejadian dan beberapa keterangan dari saksi  sudah diambil,” katanya

Katanya, kes di siasat dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian sayu apabila ahli keluarga yang hadir meratapi kematian mangsa.

Kemalangan juga menyebabkan laluan itu sesak sepanjang dua kilometer berikutan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan ketika melalui tempat kejadian dan  keadaan itu terpaksa dikawal oleh anggota polis trafik bertugas.

Guru-Guru yang mempunyai opsyen Bahasa Cina – NUTP


Guru-Guru yang mempunyai opsyen Bahasa Cina

 

Untuk Makluman Saudara/ Saudari,

Guru-Guru yang mempunyai opsyen Bahasa Cina mengajar di SMK dan ingin mengajar di SJK(C) tetapi permohonan tidak berjaya. Sila kemukakan surat rayuan ke NUTP dengan kadar segera.

Sekian, harap maklum.

 

Pn Lok Yim Pheng

Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date:
03/12/2012

KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Muat turun
KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Pada tahun ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menerima sebanyak 105,357 permohonan untuk kemasukan ke
Tingkatan Satu (1) di 66 buah SBP bagi tahun kemasukan 2013.

Sebanyak 62,338 pemohon adalah murid perempuan dan selebihnya iaitu 43,019 pemohon adalah murid lelaki.

Seramai 7710 murid akan dipilih dan akan ditempatkan di Tingkatan Satu (1) SBP tahun 2013. Dari jumlah tersebut, sebanyak
3645 tempat adalah untuk murid perempuan dan 4065 tempat disediakan untuk murid lelaki.

Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru
itu KPM akan menawarkan sekurang-kurangnya 5397 (70%) tempat kepada murid-murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar.

Bagi membolehkan murid-murid dipertimbangkan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu (1) Sekolah Berasrama Penuh, mereka mesti memenuhi syarat-syarat seperti warganegara Malaysia dan mencapai 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012. Walau bagaimanapun, murid dari keluarga miskin berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (Kumpulan Miskin Tegar) yang mendapat keputusan UPSR sekurangkurangnya 3A dan 2B boleh juga dipertimbangkan untuk ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh.

Seramai 2313 (30%) murid miskin akan ditawarkan ke SBP dengan status `Projek Khas` yang akan diberikan bantuan oleh KPM. Dari jumlah tersebut seramai 925 orang adalah murid dari keluarga miskin tegar yang memperolehi pencapaian UPSR 2012 sekurang-kurangnya 3A 2B.

Keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu (1) SBP akan diumumkan selewat-lewatnya pada 16 Disember 2012.

Semakan dan keterangan lanjut boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia
http://www.moe.gov.my. Murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan
Kementerian Pelajaran Malaysia
20 November 2012

Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki – Sinar Harian


Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki
Mangsa ditemani anggota polis ketika menyenaraikan nama suspek yang pernah merogolnya.

KULIM – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun bersama rakannya ditahan berikutan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di sini, jam 2 pagi baru-baru ini.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Ima mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine ketika berusia 13 tahun.

Dari siasatan awal, Ima membuat pengakuan pernah dirogol lebih 20 remaja lelaki dan lima daripadanya merupakan murid sekolah berusia di antara 14 hingga 17 tahun.

Mangsa turut memberikan kerjasama dengan mencatat nama suspek yang pernah merogolnya.

Ima berkata, lebih malang, ada dalam kalangan mereka yang pernah cuba meliwatnya.

“Saya berkawan dengan mat rempit. Mereka membawa saya ke sebuah rumah dan saya dirogol beramai-ramai. Lama kelamaan perlakuan itu berlanjutan,” katanya.

Menurutnya, kejadian terkini berlaku dua minggu lalu apabila dia dirogol lima remaja di sebuah rumah di jalan Kilang Lama. Suspek mengugut untuk mencederakannya sekiranya enggan melayani nafsu mereka.

“Selain rumah tinggal dan bengkel, saya pernah dirogol bergilir-gilir oleh beberapa remaja di tengah padang permainan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis akan menyiasat aduan dibuat oleh mangsa dan mencadangkan supaya mangsa dapat diletakkan di bawah penyeliaan rumah perlindungan.

“Melakukan hubungan seks dengan mana-mana remaja perempuan bawah umur diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakan perlakuan itu dilakukan terhadap dirinya.

“Mangsa juga memaklumkan bahawa dia mengenali kesemua suspek yang merogolnya. Dengan senarai nama suspek yang ditulis oleh mangsa sendiri ini memudahkan polis mengesan kesemua suspek terlibat,” katanya.

Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu – Bernama


Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu

KUALA LUMPUR: Tarikh akhir permohonan online kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2013 dilanjutkan sehingga Rabu ini.

MARA dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pemohon atau pelajar yang telah mendapat kata laluan di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau MRSM, boleh mengisi borang permohonan online pada alamat URL http://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp.

“Log masuk menggunakan nombor surat beranak atau nombor kad pengenalan sebagai id pengguna dan gunakan kata laluan yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

Para pelajar diminta menghantar permohonan secara online pada atau sebelum Rabu ini bagi memasuki MRSM, selain menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tingkat 19 Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang maklumat mereka boleh menghubungi 03-26132000, 26134541, 26134542, 2613 4543, 2613 9070, 2613 9071 atau faks ke 03-2691 1658. – BERNAMA

Cetus semangat usahawan kanak-kanak – Kosmo


Cetus semangat usahawan kanak-kanak

PROGRAM Kids Marketplace mendapat sambutan dan sokongan daripada ibu bapa dan kanak-kanak berumur antara lapan hingga 18 tahun.

 

KEBERANIAN dan kreativiti kanak-kanak lingkungan usia lapan tahun dan ke atas dalam bidang perniagaan teruji ketika menyertai program Kids Marketplace yang diadakan pusat beli-belah Hartamas Shopping Centre (HSC).

Kepakaran mereka menyamai karakter sebenar seorang ahli perniagaan walaupun tidak pernah terlibat dalam industri itu.

Program yang dianjurkan bersama HSC dan konsultan latihan belia, Yuber itu memberi peluang kepada peserta seawal usia lapan tahun sehingga 18 tahun untuk menunjukkan kemahiran mereka dalam lapangan keusahawanan.

Sepanjang aktiviti dua hari itu, peserta berusaha tanpa penat dan lelah dalam menjual barangan rekaan dan ciptaan mereka sendiri seperti kek cawan dan gelang buatan tangan kepada ibubapa, pengunjung program tersebut dan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Make A Different (MAD), Patrick Wee berkata, tujuan utama program tersebut diadakan adalah untuk memberi galakan dan memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak dalam melihat kebolehan mereka dalam bidang keusahawanan.

“Di samping itu, mereka dapat mengasah bakat dalam aktiviti yang santai dan selamat selain memupuk semangat persaingan yang sihat,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Selain daripada memberi sokongan dan galakan kepada usahawan muda, Kids Marketplace juga diadakan bersempena dengan projek “MAD About Learning”. Ia merupakan kempen inovatif untuk meningkatkan sistem pembelajaran di Malaysia dan Singapura.

Walaupun bersaing antara satu sama lain, setiap peserta masih merasai keseronokan ketika program tersebut malah kesungguhan mereka turut diberi penghargaan melalui beberapa anugerah yang menjadi rebutan iaitu Usahawan Muda Kreatif, Usahawan Muda Harapan dan Pertunjukkan Terbaik.

Ternyata inisiatif melalui program itu mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada peserta dan para ibubapa.

“Saya berpendapat program Kids Marketplace ini sangat menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman kepada golongan kanak-kanak.

“Anak perempuan saya memperolehi pengalaman berharga dalam menjalankan perniagaan kelak,” ujar Yvonne yang menghantar anaknya, Nicole dari Sekolah Antarabangsa Sri Emas.

Keputusan keseluruhan bagi Anugerah Usahawan Muda Harapan diberikan kepada peserta junior, Jade Wong Wenn Li dan Wong Jo-Hann yang mengusahakan ‘syarikat’ E.Co. Usia muda tidak menghalang mereka untuk menewaskan peserta yang lebih berumur dengan menjual produk-produk seperti gelang untuk bekas minuman.

Turut menerima penghargaan bagi beberapa kategori lain adalah seperti Anugerah Pertunjukan Terbaik, Illyanaqah Fathonah Ismail dan Iqmilhaqeem Fakhrurazi Ismail (junior), Ng Jun Yang dan Lionel Ong Sue Beng (senior); Anugerah Usahawan Muda Kreatif, Amir Syafiq Azman Shah dan Keisan Artin Vaqari (junior), Ng Jun Yang dan Lionel Ong Sue Beng (senior); Anugerah Usahawan Muda Harapan, Jade Wong Wenn Li and Wong Jo-Hann (junior), Chan Rudii dan Kok Cheng Keith (senior).

Beberapa program sampingan turut diadakan selain pertandingan Kids Marketplace dan projek “MAD About Learning.” Antaranya aktiviti hiburan kreatif, persembahan tarian, Bengkel Topeng, Permainan Pembelajaran Yuber dan lain-lain.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz2E2YjWwZ9
Hakcipta terpelihara

Semangat luar biasa pelajar SDH – Kosmo


Semangat luar biasa pelajar SDH

KEAKRABAN Norashikin (kiri) sebagai guru dan Adam dapat dilihat pada sesi pembelajaran yang dijalankan di wad pediatrik Hospital Serdang ini.

 

MENJADI Tan Hong Sheng, 10, tidak mudah. Saat kanak-kanak lain berseronok bersama rakan-rakan di sekolah, dia hanya bertemankan topeng oksigen yang perlu dipakai 24 jam dan berbumbungkan hospital.

Sejak disahkan menghidap jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan dilahirkan, Hong Sheng kerap keluar masuk hospital. Namun, sejak bulan Jun tahun lalu, Hospital Serdang, Selangor menjadi kediaman tetapnya sehingga kini.

Siapa sahaja pasti tersentuh melihat keadaan anak kecil yang berasal dari Selayang, Selangor itu. Tambah meruntun perasaan, dia tidak gemar dipanggil Hong Sheng malah mahu orang sekeliling menggelarnya Adam. Di kepala katilnya tertera nama ‘Melayu’nya, Adam Mohd. Hashim.

“Saya lagi suka duduk hospital sebab cikgu selalu datang mengajar saya di wad. Papa juga selalu datang dengan kakak dan nenek. Hujung minggu pula saya suka melayari internet dan menonton televisyen,” kepetahan Adam berbual membuatkan individu di sekelilingnya kagum dengan semangat berjuang melawan sakit yang dialaminya.

Selama menjadi penghuni hospital tersebut untuk tempoh setahun setengah, Adam tidak pernah tercicir dalam pelajaran. Pada awalnya, guru yang sering mengajarnya, Siti Norashikin Mohamed Said, 47, mengakui kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk memahami apa yang diajar.

“Peringkat awal, asas matematik seperti darab dan bahagi pun Adam tidak boleh buat. Kini, prestasinya selari dengan pelajar darjah empat di sekolah biasa. Mengajar Adam tidak sukar kerana dia sentiasa bersemangat.

“Kadang-kadang kalau kita bercuti atau ada urusan, dia akan telefon bertanya kenapa tidak datang. Waktu mengajar pula dia akan fokus untuk setengah jam sahaja, lepas itu bagi dia waktu sekejap untuk bermain atau berehat. Kemudian, saya sambung semula hingga cukup dua jam,” jelas Norashikin yang datang ke wad Adam hampir setiap hari yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru Sekolah Dalam Hospital (SDH).

Bagi Wan Nur Anis Aina, 12, pelajaran yang dikutip selama berada di SDH Hospital Kuala Lumpur (HKL) amat berharga. Meskipun disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Anis mengejar cita-citanya bergelar doktor pakar.

Selepas menjalani pembedahan pada bulan Januari lalu, Anis berulang-alik bersama ibu bapanya dari Segamat, Johor ke HKL setiap tiga minggu bagi menjalani rawatan kemoterapi. Sebanyak 14 sesi kemoterapi perlu dijalani Anis dan diikuti rawatan susulan.

Ulang kaji pelajaran

“Tahun lepas saya tidak bersekolah selama setahun dan banyak mendapat bimbingan guru-guru SDH di HKL dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Memang rindu untuk ke sekolah dan belajar bersama kawan-kawan tetapi saya mudah terkena jangkitan kalau keluar rumah.

ANIS (kiri) dibantu Aswaniza menyiapkan latihan yang diberikan guru di Hospital Kuala Lumpur.

 

“Namun, saya berkeras untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah pada bulan September lepas kerana ingin merasai suasana seperti pelajar biasa walaupun diasingkan daripada kawan-kawan,” kongsi Anis yang pernah mengimpikan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut ekoran sakit yang dihidapi.

Ibu Anis, Siti Noor Mohd. Zaid, 44, memberitahu dia dan suami, Wan Abdullah Wan Mohd. Noor, 40, tidak berfikir panjang untuk meletakkan anak mereka di bawah penyeliaan SDH. Kata Siti: “Sekurang-kurangnya waktu Anis terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan tidak ketinggalan pelajaran.

“Pada awalnya memang dia agak perlahan untuk menerima sesi pembelajaran yang dijalankan di wad tetapi lama-kelamaan, dia dapat menyesuaikan diri dan mampu menyiapkan latihan-latihan yang diberikan guru dengan cekap.”

Sementara itu, bergelar pendidik SDH, seseorang itu perlu memiliki pengalaman sebagai guru sekurang-kurangnya empat tahun. Mereka yang memohon kemudiannya dipanggil bagi menjalani sesi orientasi di wad bagi melihat sendiri suasana yang bakal ditempuhi.

Tiada paksaan

Cabaran utama sudah tentu terletak pada cara guru SDH mendekati pesakit. Aswaniza Shamsudin, yang mula berkhidmat di SDH HKL sejak ia dibuka menyatakan, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah penguasaan sesi hati ke hati antara guru dan pelajar.

“Tiada paksaan belajar di SDH kerana semuanya memerlukan kebenaran ibu bapa dan kesediaan pesakit untuk belajar. Apabila mereka disahkan doktor cukup kuat untuk menerima pelajaran, guru-guru perlu bijak membentuk minat mereka dan mengawal emosi agar suasana pembelajaran dapat dijalankan secara tenang.

“Saya masih ingat waktu mula-mula mengajar di SDH HKL, saya diarahkan mengajar dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid. Disebabkan itu, saya perlu ke unit kebakaran dan memakai pakaian khas yang disediakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

GURU-GURU di SDH perlu menguasai emosi, mengenal pasti penyakit setiap pesakit dan cara-cara mendekati mereka agar proses pembelajaran berjalan lancar.

 

“Bayangkan, selalunya di sekolah saya tengok pelajar yang lengkap fizikalnya, tetapi mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Kali pertama berdepan dengan mereka, saya terpaksa keluar bilik tersebut dan menangis kerana tidak sanggup melihat kesakitan yang mereka alami.

“Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai emosi supaya dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa. Begitu juga dengan situasi apabila ada dalam kalangan pelajar kami yang meninggal dunia.

“Kes kematian seorang pelajar perempuan akibat kanser masih berbekas dalam ingatan saya. Semua guru SDH tidak dapat melupakan wajahnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman sehingga kami semua tidak tahu bagaimana dia menanggung kesakitan tersebut,” terpapar kesedihan pada wajah Aswaniza saat menceritakan pengalaman tersebut.

Sharifah Haslina Syed Abd. Hamid, 33, pula menjelaskan, pendekatan menerusi alat bantuan mengajar seperti komputer, televisyen dan buku cerita menjadikan sesi pengajaran lebih seronok dan mencabar kreativiti guru.

“Memujuk pelajar di hospital untuk belajar memerlukan kesabaran tinggi. Namun, secara jujurnya, saya akui semangat pelajar-pelajar SDH lebih tinggi berbanding pelajar di sekolah biasa.

“Cabaran yang dilalui guru SDH memang perit tetapi selepas seminggu berkhidmat, saya mula menghargai kehidupan dan melihat segala perkara di sekeliling sebagai satu kitaran perjalanan yang indah,” luah Haslina yang mengajar bahasa Inggeris di SDH HKL.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2E2YZOPaB
Hakcipta terpelihara