Cetus semangat usahawan kanak-kanak – Kosmo


Cetus semangat usahawan kanak-kanak

PROGRAM Kids Marketplace mendapat sambutan dan sokongan daripada ibu bapa dan kanak-kanak berumur antara lapan hingga 18 tahun.

 

KEBERANIAN dan kreativiti kanak-kanak lingkungan usia lapan tahun dan ke atas dalam bidang perniagaan teruji ketika menyertai program Kids Marketplace yang diadakan pusat beli-belah Hartamas Shopping Centre (HSC).

Kepakaran mereka menyamai karakter sebenar seorang ahli perniagaan walaupun tidak pernah terlibat dalam industri itu.

Program yang dianjurkan bersama HSC dan konsultan latihan belia, Yuber itu memberi peluang kepada peserta seawal usia lapan tahun sehingga 18 tahun untuk menunjukkan kemahiran mereka dalam lapangan keusahawanan.

Sepanjang aktiviti dua hari itu, peserta berusaha tanpa penat dan lelah dalam menjual barangan rekaan dan ciptaan mereka sendiri seperti kek cawan dan gelang buatan tangan kepada ibubapa, pengunjung program tersebut dan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Make A Different (MAD), Patrick Wee berkata, tujuan utama program tersebut diadakan adalah untuk memberi galakan dan memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak dalam melihat kebolehan mereka dalam bidang keusahawanan.

“Di samping itu, mereka dapat mengasah bakat dalam aktiviti yang santai dan selamat selain memupuk semangat persaingan yang sihat,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Selain daripada memberi sokongan dan galakan kepada usahawan muda, Kids Marketplace juga diadakan bersempena dengan projek “MAD About Learning”. Ia merupakan kempen inovatif untuk meningkatkan sistem pembelajaran di Malaysia dan Singapura.

Walaupun bersaing antara satu sama lain, setiap peserta masih merasai keseronokan ketika program tersebut malah kesungguhan mereka turut diberi penghargaan melalui beberapa anugerah yang menjadi rebutan iaitu Usahawan Muda Kreatif, Usahawan Muda Harapan dan Pertunjukkan Terbaik.

Ternyata inisiatif melalui program itu mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada peserta dan para ibubapa.

“Saya berpendapat program Kids Marketplace ini sangat menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman kepada golongan kanak-kanak.

“Anak perempuan saya memperolehi pengalaman berharga dalam menjalankan perniagaan kelak,” ujar Yvonne yang menghantar anaknya, Nicole dari Sekolah Antarabangsa Sri Emas.

Keputusan keseluruhan bagi Anugerah Usahawan Muda Harapan diberikan kepada peserta junior, Jade Wong Wenn Li dan Wong Jo-Hann yang mengusahakan ‘syarikat’ E.Co. Usia muda tidak menghalang mereka untuk menewaskan peserta yang lebih berumur dengan menjual produk-produk seperti gelang untuk bekas minuman.

Turut menerima penghargaan bagi beberapa kategori lain adalah seperti Anugerah Pertunjukan Terbaik, Illyanaqah Fathonah Ismail dan Iqmilhaqeem Fakhrurazi Ismail (junior), Ng Jun Yang dan Lionel Ong Sue Beng (senior); Anugerah Usahawan Muda Kreatif, Amir Syafiq Azman Shah dan Keisan Artin Vaqari (junior), Ng Jun Yang dan Lionel Ong Sue Beng (senior); Anugerah Usahawan Muda Harapan, Jade Wong Wenn Li and Wong Jo-Hann (junior), Chan Rudii dan Kok Cheng Keith (senior).

Beberapa program sampingan turut diadakan selain pertandingan Kids Marketplace dan projek “MAD About Learning.” Antaranya aktiviti hiburan kreatif, persembahan tarian, Bengkel Topeng, Permainan Pembelajaran Yuber dan lain-lain.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz2E2YjWwZ9
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s