Jawab kertas periksa tak habis
5 Disember 2012

Karthi Keyan menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
SUNGAI PETANI – Waris kepada pelajar sebuah sekolah di sini mendakwa anaknya tidak dibenarkan terus menjawab kertas Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 20 November lalu selepas dibawa menerima rawatan ke klinik akibat sakit.
Karthi Keyan, 52, mendakwa, anaknya, Yunishaa, 17, tidak diberi kebenaran meneruskan peperiksaan selepas dirawat kerana dikatakan tidak membawa pengawas pengiring ketika keluar dari dewan.
Menurutnya, dalam kejadian 20 November lalu, dia menerima panggilan daripada seorang guru memaklumkan anaknya yang sedang mengambil peperiksaan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.
“Mereka memaklumkan ambulans akan membawanya ke hospital dan saya diminta ke hospital. Bagaimanapun, selepas itu saya menerima panggilan sekali lagi menyatakan anak saya sudah sembuh dan sedang meneruskan peperiksaan,” katanya.
Kerana bimbang kesihatan anak, dia terus ke sekolah. Namun 15 minit kemudian, dia dimaklumkan sekali lagi anaknya muntah dan diminta membawa anak ke klinik swasta, kerana diberi masa sejam untuk meneruskan peperiksaan Matematik Tambahan Kertas 1.
“Namun, sebaik selesai rawatan, saya terus bawa Yunishaa ke sekolah tetapi ketika itu kertas peperiksaan sudah dikemas dan anak saya tidak dibenarkan menyambung kertas peperiksaan walaupun guru sekolah beberapa kali menghubungi pengawas peperiksaan untuk kebenaran.
“Pada jam 2 petang, saya terus berjumpa dengan ketua pengawas tetapi dimaklumkan tidak dapat meneruskan peperiksaan dengan alasan keluar dari dewan peperiksaan tanpa diiringi pengawas peperiksaan,” katanya.
Karthi Keyan berkata, perkara itu tidak dimaklumkan sebelum membawa anak ke klinik dan kecewa dengan tindakan itu.
Katanya, dia merujuk kepada beberapa pihak berhubung masalah itu.
Laporan juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berhubung kejadian.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, pihaknya akan meneliti kes berkenaan dan siasatan akan dijalankan berhubung perkara berkenaan.