Pelajar perempuan mengaku salah mencuri dalam surau – Sinar Harian


Pelajar perempuan mengaku salah mencuri dalam surau

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Disember 2012
Perempuan mencuri
Dua pelajar perempuan ini mengaku bersalah mencuri beg galas di dalam surau Mydin Mall di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

KUALA TERENGGANU – Dua pelajar perempuan dari salah sebuah sekolah menengah di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam mencuri beg galas milik seorang peniaga di dalam surau di sebuah pasar raya terkemuka di sini, 24 November lalu.

Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua mereka baru berusia 13 dan 16 tahun, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 2 Januari tahun depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman, sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, kedua-dua pelajar ini, masing-masing berasal dari Kampung Makam Lama, Chabang Tiga dan Kampung Tok Ku Chabang Tiga, di sini, mengaku bersalah mencuri sebuah beg jenama Christian Audigier yang mengandungi wang tunai RM1,100; sebuah telefon bimbit jenis Nokia dan kad perakuan nikah milik Miss Pharaat Walong.

Kedua-dua mereka mengaku melakukan kesalahan itu pada 24 November lalu antara jam 1 tengah hari hingga 1.20 tengah hari di dalam surau Mydin Mall, di sini.

Dengan itu, mereka mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Abdul Hayyi membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang juga warga Thailand ke surau berkenaan untuk menunaikan solat Zuhur, sebelum meletakkan beg galasnya itu di tepi dinding tempat solat.

Bagaimanapun, selepas selesai solat, mangsa mendapati beg galasnya berwarna coklat sudah tiada dan yakin beg itu dicuri, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Susulan laporan diterima, pada hari sama kira-kira jam 9.40 malam, polis telah menahan dua remaja ini di sebuah rumah di Kampung Makam

Lama, di sini, dan hasil pemeriksaan menjumpai wang RM400 di dalam poket seluar salah seorang daripada mereka.

Hasil siasatan, mereka mengaku mencuri beg galas mangsa dan salah seorang daripadanya membawa polis ke dalam tandas perempuan di Mydin Mall kira-kira jam 11.45 malam, hari sama dan menunjukkan beg galas yang disorokkan itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s