Terkejut bapa jerit ‘gol’, anak terjirus air panas – Sinar Harian


Terkejut bapa jerit ‘gol’, anak terjirus air panas

ALMASWA HAJI CHE ROS
6 Disember 2012
Terkejut bapa jerit ‘gol’, anak terjirus air panas
Norrabaiyah bersama anaknya ketika ditemui majalah Mingguan Wanita. – Foto oleh keluarga Keluarga
Terkejut bapa jerit ‘gol’, anak terjirus air panas
Norrabaiyah bersama anaknya ketika ditemui majalah Mingguan Wanita. – Foto oleh keluarga Keluarga

“Adik nak masak Maggi tapi adik terperanjat bila ayah jerit kuat sangat, terus cerek tu terlepas,” tuturnya dalam nada suara perlahan.

“Ohh, farhan terperanjat la nie. Acik dah agak dah, mesti Farhan terperanjat,” demikian balas penulis.

“Farhan nak makan apa hari nie. Biar Acik belanja,” tanya penulis lagi padanya.

“Tak apa, tadi ada orang bagi makanan dah,” katanya lagi.

“Tu lauk hospital, kut-kut la kalau Farhan nak makan burger ke,” aju penulis lagi sambil memandang seraut wajah bersihnya.

“Adik nak makan nasi lauk ayam,” bibir mungilnya bersuara lagi.

Serentak itu, ibunya, Norrabaiyah Ibrahim, 43, terus bangun dan mengambil nasi diberikan pihak hospital. Kebetulan makanan dipilihnya adalah mi goreng yang kelihatan agak pedas.

“Adik nak makan nasi lauk ayam,” rengeknya. Pantas penulis mencapai beg dan turun membeli apa dihajatinya. Nasi ayam dan sedikit coklat sebagai buah tangan.

Usia Wan Mohd Farhan, enam tahun lebih kurang sebaya dengan anak bongsu penulis yang muda setahun. Namun tatkala melihat tubuhnya berbungkus daripada paras dada ke kaki, penulis faham dengan penderitaan dialaminya.

Kulit  melekat pada pakaian

Berkongsi kisah anak kecil ini, cerita Norrabaiyah  segalanya bermula pada malam pertandingan akhir Piala Malaysia membabitkan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia tanggal 21 Oktober lalu. Malam itu saat bapanya, Wan Azhar Wan Mahmood, 48, leka menonton bola, Farhan meminta dimasakkan maggi mi.

“Mulanya Farhan beritahu ayahnya. Kemudian dua kakaknya pula tapi masing-masing enggan buat kerana mahu melayan cerita Korea dan seorang lagi sedang bercakap di telefon. Saya pula di dalam bilik untuk berehat dan hanya tinggal Farhan dan bapanya di ruang rumah.

“Masa abang menjerit gol bila Kelantan jaringkan gol pertamanya, kedengaran suaran Farhan meraung kuat di dapur. Ayahnya terus menerpa ke dapur untuk melihat apa terjadi.

Saya pula terus keluar dari bilik dan nampak tubuhnya seperti sedang menggeletik dalam keadaan sedang berdiri.

“Mulanya kami tak sangka sesuatu yang serius menimpanya kecuali mendengar tangisannya yang terlalu kuat. Kemudian saya tengok ada sesuatu berasap di dapur. Saya sangka Farhan main api tapi bila saya sentuh bajunya, saya dapati ia  terlalu panas. Saya tengok kulitnya merah seperti direbus.

“Saya terpaksa menggunakan hujung jari menarik baju dipakainya dan apabila dibuka, kulitnya turut sama tertarik kerana sudah melekat di pakaian. Farhan terus meraung dan kami bergegas membawanya ke bahagian kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),”imbasnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, kata Norrabaiyah keadaan anaknya ketika awalnya tersiram air panas itu diibaratkan seperti kacang soya direndam air  yang mana kulitnya akan terkeluar. Seperti itulah  situasi anaknya.

“Di bahagian kecemasan kanak-kanak, doktor memberi rawatan awal dengan meletakkan ubat dan disebabkan kecederaannya agak serius, Farhan ditahan di hospital,” katanya menjelaskan sehingga kini sudah lebih 20 hari anaknya mendapat rawatan di hospital.

8 November lalu, katanya anaknya menjalani satu pembedahan mengambil kulit di bahagian punggungnya dan ditampal di lima bahagian tubuhnya iaitu kedua belah tapak tangan, kedua belah pahanya dan bahagian dada yang mana bahagian berkenaan, sel kulitnya sudah mati. Kini dia mengharapkan kulit anaknya akan tumbuh semula dengan baik.

Meraung bila luka dicuci

Melihat keseluruhan tubuhnya yang berbalut dan keras seakan Robocop, penulis dapat merasakan anak kecil ini menanggung kesakitan meskipun peristiwa terjirus air panas itu telah sebulan berlalu.

Ini diakui Norrabaiyah, katanya selepas kejadian itu keadaan anaknya itu cukup menyakitkan. Jelasnya setiap dua hari sekali luka Farhan akan dicuci sehingga hari ke sembilan. Selepas itu, setiap hari Farhan akan memasuki bilik pembedahan untuk tujuan yang sama.

“Setiap kali rawatan cuci luka dilakukan, Farhan perlu dibius kerana kalau dia akan meraung kesakitan. Buat masa ini, sudah tiga beg darah dimasukkan kerana tubuhnya kehilangan darah yang agak banyak.

“Terus-terang saya tak sanggup melihat keadaan tubuhnya tetapi doktor ada menunjukkan beberapa bahagian tubuhnya yang sudah mula kering selepas beberapa kali dicuci,’ jelasnya lagi.

Cerita Norrabaiyah lagi, dia sendiri terkejut dengan kejadian menimpa anaknya kerana katanya cerek elektrik itu diletakkan di tempat tinggi.

“Farhan memang lasak tapi biasanya kalau dia panjat peti ais adalah untuk ambil ais krim sahaja. Tapi tak sangka pula kerana terperanjat, dia boleh terjirus air panas malam itu. Ikutkan tempat saya meletak cerek tersebut sangat tinggi dan dia tak boleh tercapai dengan tangan.

“Mungkin  perkara dah nak jadi. Saya memang sedih dengan keadaannya. Saya ada juga bercakap hal ini dengan anak-anak yang lain. Kata saya, inilah yang terjadi bila kita bersikap sambil lewa sesuatu perkara. Kakak-kakaknya memang menyesal. Elok kulit adik cantik-cantik, dah rosak. Mujur tak kena pada mukanya,” katanya lagi.

Tidur malam tidak lena

Ujar Norrabaiyah, kesakitan yang alami oleh anaknya itu menyebabkan tidur malamnya sehingga kini tidak lena.

“Bila rasa sakitnya menyerang, dia akan merengek-rengek kesakitan. Kadang-kadang di bahagian perutnya, kaki dan sebagainya. Saya akan melayan saja setiap permintaannya kalau dia menangis kesakitan,” katanya mendoakan agar anaknya cepat sembuh.

Mengakui suaminya, Wan Azhar hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur di atas van di Pantai Dalam, Norrabaaiyah berkata, dalam cuaca tidak menentu dan kekerapan menjenguk anaknya di hospital, sedikit sebanyak pendapatan keluarga sedikit terjejas.

“Tahu sajalah hujan lebat sekarang. Tapi saya cakap pada abang untuk terus juga berniaga kerana itulah punca pendapatan kami semua,” katanya yang tinggal di Flat PPR Pantai Ria, Pantai Dalam. Dalam pada itu, ibu enam anak ini menasihati ibu bapa agar lebih berhati-hati dengan keselamatan anak-anak di rumah terutama sekali yang lasak lakunya.

Jelas Norrabaiyah, setakat sembilan hari anaknya di hospital, bilnya sudah mencecah lebih RM400 lebih dan kemungkinan tinggal di hospital dalam tempoh lebih dari sebulan, sudah tentu kosnya jauh lebih tinggi. Sebagai suri rumah sepenuh masa, kedudukan kewangan yang tidak menentu, sedikit sebanyak menggusarkan dirinya.

Bagi anda yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian melalui Akaun bank (RHB) 16416000013755 atau menghubungi Azhar di talian 0192900446.

•    Dapatkan majalah Mingguan Wanita edisi terbaru untuk rencana-rencana menarik

Pasukan MyKids Terengganu ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun – Bernama


Pasukan MyKids Terengganu ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun

6 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Pasukan MyKids Terengganu berjaya mengiringi CIMB YFA untuk mara ke saingan suku akhir Kejohanan Juara antara Juara Bola Sepak bawah 12 tahun 2012 selepas muncul naib juara Kumpulan B.

Turut melangkah ke suku akhir kejohanan, MyKids Perlis (juara kumpulan A), Sabah (naib juara kumpulan A), Kedah (juara kumpulan C) dan Negeri Sembilan (naib juara kumpulan C).

MyKids Terengganu juga merupakan tuan rumah sekadar berpuas hati di tangga kedua kumpulan setelah tewas tipis 0-1 ke atas CIMB YFA pada perlawanan ketiga selepas mencatatkan kemenangan berganda ketika menumbangkan Mykids Kuala Lumpur (3-0) dan First Touch Pahang (4-0).

Namun pasukan yang dikendalikan Mat Noor Bidin itu bernasib baik apabila terlepas untuk bertemu juara bertahan musim lalu MyKids Perlis pada saingan suku akhir dan akan menentang juara Kumpulan C, MyKids Kedah esok pada 9.15 pagi di padang B, Kompleks Sukan, Gong Badak.

Aksi separuh akhir pula dijadual berlansung esok (Sabtu) di padang A Kompleks Sukan, Gong Badak manakala perlawanan akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Ahad ini, 3.30 petang – Bernama

48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran – Bernama


48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran

6 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 48,520 orang murid di negara ini mempunyai masalah pembelajaran termasuk penghidap Sindrom Down, Autism dan ‘Attention Deficit-Hyperactivity Disorder’ (ADHD), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, seramai 29,169 orang adalah murid sekolah rendah dan selebihnya murid sekolah menengah.

“Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membuka sebanyak 2,050 Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid bermasalah pembelajaran di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata sehingga Oktober lepas, seramai 3,657 banduan dan tahanan didaftarkan sebagai perantis dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu.

Sebanyak 48 bidang latihan boleh diikuti seperti pembuat pakaian, jurukimpal dan pramusaji selama tempoh enam bulan iaitu dua bulan untuk latihan teori dan selebihnya latihan praktikal, katanya.

“Setakat ini, seramai 94 banduan telah menamatkan latihan dan berjaya ditempatkan dalam alam pekerjaan. Selain itu, ia turut dapat meningkat kemahiran diri dan taraf hidup mereka,” katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin. – Bernama

Pendam rahsia dirogol selama 2 tahun – Sinar Harian


Pendam rahsia dirogol selama 2 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2012

JEMPOL – Rahsia perbua-tan keji seorang bomoh yang dipercayai merogol dua beradik di Felda Pasoh di sini akhirnya terbongkar setelah mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada 2 Disember lalu.

Kejadian yang dipendam mangsa selama dua tahun itu dipercayai berlaku ketika mereka mendapatkan rawatan daripada bomoh itu di lokasi berbeza sekitar Felda Pasoh.

Sumber berkata, mangsa yang kini berumur 18 dan 16 tahun  bagaimanapun mendakwa bagaikan dipukau oleh bomoh licik itu sebelum menyedari kejadian itu pada 2011.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 2010 dalam bilik di rumah mangsa yang sebelum itu bomoh berkenaan dipercayai baru selesai merawat kakak mangsa.

“Bagaimanapun perbuatan bomoh itu dilakukan secara berulang dan berlarutan sehingga 2011 tanpa disedari ibu mangsa.

“Ibu mangsa, 55, menyangka mangsa hanya mendapatkan rawatan dalam bilik  susulan bomoh itu sememangnya dikenalinya.

“Dua beradik ini kemudian nekad membuat laporan polis pada 2 Disember lalu di Balai Polis Simpang Pertang, Jelebu,” katanya.

Manakala suspek berumur 38 tahun ditahan reman pada keesokan harinya di Simpang Pertang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan berlainan, seorang penganggur ditahan reman tujuh hari bermula semalam   dipercayai mendera anak saudaranya berumur empat tahun di kediamannya di Felda Lui Selatan.

Sumber berkata, ibu mangsa yang kini dalam proses penceraian dengan adik suspek dikatakan terpaksa meninggalkan mangsa di bawah jagaan keluarga mentua akibat masalah kewangan.

Kejadian itu disedari ibu mangsa, 23, merupakan adik ipar suspek, 32 , apabila ingin membawa anaknya pulang ke Felda Pasoh pada 30 November lalu.

“Ibu mangsa mendapati pipi sebelah kiri anaknya luka dan lebam namun hanya menyangka anaknya itu jatuh. Akibat rasa tidak puas hati, ibu mangsa bertindak bertanya kepada mangsa lalu mangsa memberitahu dia dipukul oleh bapa saudaranya,” katanya.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Lui, kira-kira jam 1.45 petang pada 4 Disember lalu.

Suspek   ditahan reman bermula semalam sehingga 7 Disember ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Ketua polis daerah, Superitenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes rogol remaja dan dera kanak-kanak berkenaan.

‘Akhirnya bapa pulang jua’ – Sinar Harian


‘Akhirnya bapa pulang jua’

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2012
Datanglah jenguk saya, ayah
Nursyuzana sangat berharap ayahnya dapat datang memberi semangat sebelum dia menjalani pembedahan di Hopsital Bukit Mertajam Khamis ini.

BAGAN AJAM – “Rasanya hilang kesakitan yang ditanggung apabila bapa muncul malam semalam,” luah Nursyuzana, 11, apabila rayuannya untuk bertemu dengan bapanya, Mohd Huzairi Md Isa, 36, yang lama terpisah dimakbulkan semalam.

Kemunculan Mohd Huzairi di Hospital Bukit Mertajam (HBM) pada jam 10 malam itu dinantikan Nursyuzana kerana selepas tiga tahun ditinggalkan, inilah kali pertama dia dapat menatap wajah bapa kesayangan.

Mohd Huzairi berpisah dengan ibu Nursyuzana, Nurshila Suid, 35, sekitar 2010 yang lalu dan sejak itu bapanya menghilangkan diri dan gagal dikesan sebelum muncul malam semalam.

Nursyuzana kini tinggal bersama abangnya, Hafiz Ikhmal, 14, dijaga Nurshila yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Bagan Lebai Tahir di sini.

“Kemunculan bapa bukan sahaja membuktikan dia masih menyayangi saya sebagai anaknya tetapi turut prihatin dengan keadaan kesihatan saya.

“Malah kata-kata perangsangnya memberi kekuatan untuk saya tabah dan tidak takut menghadapi pembedahan yang dijadualkan hari ini,” katanya.

Kelmarin anak bongsu bekas pasangan Mohd Huzairi dan Nurshila terpaksa membuat rayuan supaya bapanya yang lama menghilangkan diri muncul bertemu dengannya.

Rayuan ini dilakukan dalam usahanya untuk mendapat sokongan moral dan kekuatan semangat bagi menghadapi pembedahan hidung yang akan dijalaninya di HBM.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk merakam pertemuan dua beranak itu tidak dibenarkan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, Nurshila yang ditemui berkata, kemunculan bekas suaminya itu memang dinanti bukan sahaja sebagai pendorong semangat untuk anaknya menghadapi pembedahan itu semata-mata tetapi lebih dari itu.

“Kemunculan ini akan memberi peluang kepada saya untuk  berbincang dengannya pelbagai perkara yang perlu diselesaikan berkaitan masalah dihadapi.

“Tapi saya akan memberi ruang kepadanya untuk melepaskan rindu dan bertemu Nursyuzana serta berada di sisinya sehingga selesai pembedahan terlebih dahulu sebelum kami bersemuka membincangkan kebajikan anak-anak,” katanya.

Dua maut, lima parah kemalangan – Kosmo


Dua maut, lima parah kemalangan

 

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

 

KEADAAN kereta Honda Civic yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau, Dungun semalam.

 

DUNGUN – Dua wanita maut manakala lima orang termasuk seorang kanak-kanak yang dalam perjalanan untuk berkhatan cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau di sini semalam.

Kemalangan pada pukul 9 pagi berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki empat orang termasuk kanak-kanak yang mahu berkhatan, Tarmizi Ismail, 11, dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kampung Jerangau Sungai menghala ke bandar Dungun untuk berkhatan.

Rempuhan itu menyebabkan ibu saudara Tarmizi, Zainun Awang, 50, maut di tempat kejadian manakala suami Zainun, Zulkifli Mamat, 53, dan ibu Zainun, Gayah Awang, 45, pula cedera parah.

Seorang lagi yang terbunuh dalam kejadian itu ialah penumpang kereta Honda Civic, Suzlina Ahmad, 40, manakala anak Suzlina, Mohd. Ridwan Badiozaman, 21, (pemandu) dan anak saudaranya, Norfatikah Samsudin, 17, mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2EEIhmzr0
Hakcipta terpelihara

Dua maut, lima parah ketika ke tempat berkhatan – Utusan


Dua maut, lima parah ketika ke tempat berkhatan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

SALAH sebuah kereta yang remuk setelah terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan dua maut di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau, Dungun, Terengganu, semalam.

DUNGUN 5 Dis. – Seorang kanak-kanak lelaki yang bakal berkhatan, parah apabila kenderaan yang dinaiki bersama ahli keluarganya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau, di sini hari ini.

Nahas berlaku pukul 9 pagi apabila kereta Proton Wira dinaiki kanak-kanak itu, Tarmizi Ismail, 11, dirempuh sebuah kereta Honda Civic yang terbabas.

Pertembungan itu menyebabkan ibu saudaranya, Zainun Awang, 50, maut di tempat kejadian. Seorang lagi yang maut ialah penumpang kereta Honda Civic, Suzlina Ahmad, 40.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121206/dn_13/Dua-maut-lima-parah-ketika-ke-tempat-berkhatan#ixzz2EEHfetO5
© Utusan Melayu (M) Bhd