PUTRAJAYA: “Saya nampak kereta itu terhuyung-hayang, kemudian terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan,” kata seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Rafi, 35, yang melihat kemalangan maut membabitkan sebuah Proton Perdana dipandu seorang remaja, Muhammad Azzeem Suhaimi Sulaiman, 17, di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian di Persiaran Timur arah ke Dengkil itu berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 5 petang dengan mangsa terpelanting keluar dan mati di tempat kejadian manakala kereta dipandu terputus dua.
“Sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu berkenaan kereta itu memotong motosikal yang saya tunggang dari belakang dengan laju. Saya sendiri terperanjat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, malah mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08