Minta izin tidur bersama ayah, ibu – Metro


Minta izin tidur bersama ayah, ibu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: “Kebiasaannya, Emy akan memaklumkan kepada kami ke mana dia mahu pergi. Bagaimanapun, pada hari kejadian (Jumaat), dia langsung tidak memberitahu kami,” kata Setiausaha Agung Persatuan Superbikers Malaysia (Sam), Sulaiman Samia’an, 43, iaitu bapa Muhammad Azzeem Suhaimi, 17, mangsa kemalangan maut di Persiaran Timur arah ke Dengkil di Putrajaya, kelmarin.

Menurutnya, dia hanya mengetahui anak kedua daripada empat beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas anggota polis datang ke rumahnya kira-kira jam 8 malam. “Saya menggigil sebaik polis datang dan terus melihat sekeliling rupanya kereta Proton Perdana tiada di rumah. Pada waktu itu, fikiran saya terus teringatkan anak saya, Emy. “Kemudian, saya dan isteri, Siti Zaidah Mat Nawi, 43, bergegas ke Hospital Putrajaya untuk melihat jenazah anak saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Desa Sentosa, Teras Jernang, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu, Muhammad Azzeem Suhaimi, 17, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang maut selepas kereta dipandunya melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan di Persiaran Timur arah ke Dengkil, Putrajaya ketika hujan lebat. Muhammad Azzeem Suhaimi terpelanting keluar daripada kenderaannya dan mati di tempat kejadian manakala kereta dipandu terputus dua. Sulaiman berkata, dia sepatutnya menyertai konvoi bermotor ke Pendang, Kedah, Jumaat lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Laos, namun membatalkan hasrat berkenaan. “Pada hari kejadian, saya berasa tidak sedap hati dan menukar fikiran tidak mahu mengikuti konvoi berkenaan. Malah, saya juga pulang awal dari tempat kerja. “Rupanya, rasa tidak sedap hati itu adalah antara tanda anak kedua saya ‘pergi’ dijemput Ilahi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perubahan diri anaknya, Sulaiman berkata, dua hari sebelum kejadian, Emy meminta kebenaran mahu tidur bersamanya dan isteri. “Malam itu, dia mengetuk pintu bilik dan mahu tidur bersama kami. Saya kata padanya ‘sudah besar panjang pun nak tidur sama-sama’. “Bagaimanapun, saya dan isteri layankan saja permintaannya mahu bermanja bersama kami. Saya tak sangka rupanya itu juga petanda dia mahu meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

 

Jenazah Muhammad Azzeem kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab, di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s