Budak istimewa punyai 12 jari kaki – Metro


Budak istimewa punyai 12 jari kaki

AZMAN CHE MAN
10 Disember 2012
Budak istimewa punyai 12 jari kaki
Osamah Laden menunjukkan kakinya yang mempunyai dua jari sementara menunggu giliran dikhatankan pada majlis berkhatan anjuran Puteri, Biro Penerangan Umno Bahagian Kuala Krai

KUALA KRAI – Biar pun dinamakan sempena nama Osama bin Laden, seorang kanak-kanak dari Kampung Slow Machang, di sini, tidak kenal siapa pemilik nama itu yang pernah dianggap sebagai wira umat Islam kerana berani menentang Amerika Syarikat (AS).

Osamah Laden Maliki, 10, berkata, dia hanya pernah beberapa kali melihat gambar Osama di dada akhbar, malah sekali sekala disindir rakan kerana nama itu namun tidak kenal siapa individu terbabit.

“Kadang-kadang saya tengok gambar dia (Osama) keluar di televisyen dan ada berita pasal perang tetapi tak tahu siapa dia sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chin Chui, Tangkak, Johor kerana mengikut bapanya bekerja di negeri itu, ditemui pada majlis berkhatan anjuran Puteri dan Biro Penerangan Umno Bahagian Kuala Krai yang disertainya.

Osamah Laden berkata, walaupun tidak kenal Osama, dia suka dengan nama itu kerana berbeza dengan orang lain dan percaya ayahnya ada sebab sendiri untuk menamakannya dengan nama lelaki terbabit.

“Saya pun berbeza dengan orang lain dan ada keistimewaan juga,” katanya sambil menunjukkan kedua-dua kakinya yang mempunyai dua ibu jari, menjadikan kakinya ada 12 jari.

Datuk kanak-kanak itu, Daud Mat San, 63, pula berkata, selain Osamah Laden, seorang lagi cucunya dinamakan seiras nama bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

“Dulu cucu saya dinamakan Osamah Laden sebab masa dia lahir, dunia kecoh dengan berita Osama dan adik dia pula dinamakan Muhammad Ghadafi seiras nama bekas pemimpin Libya,” katanya.

Menurutnya, dua lagi adik beradik Osamah Laden dan Muhammad Ghadafi bagaimana pun mempunyai nama biasa iaitu Muhammad Aidil Putra dan Sofea, 11.

“Sekarang Osamah Laden dan Muhammad Ghadafi masih kecil dan tak tahu apa-apa tetapi bila besar nanti, saya percaya mereka akan kenal siapa di sebalik nama mereka,” katanya.

Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef – Bernama


Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef

10 Disember 2012
Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef
Sebahagian anak-anak angkatan tentera yang akan dikhatankan gembira ketika disembur dengan air pada Majlis Berkhatan 1Mindef, hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Lima kanak-kanak bukan Islam, tiga Iban dan masing-masing seorang kanak-kanak Bidayah dan Dayak adalah antara 103 kanak-kanak berumur antara tiga hingga 14 tahun yang menyertai ‘Program Khatan 1Mindef’ hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan di sini.

Bapa salah seorang kanak-kanak bukan Islam itu Sarjan Mancha Luyuh, 38, berkata, amalan berkhatan terhadap anak sulungnya itu, Hernandez, 14, akan dilakukan juga terhadap anak lelakinya yang lain.

“Saya tahu amalan berkhatan ini baik untuk kesihatan melalui rakan-rakan Islam yang lain dan ini mendorong saya untuk mengkhatankan anak saya,” katanya kepada pemberita pada program itu.

Terdahulu dalam ucapan Zulkifeli berkata program itu mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk dari kaum lain.

Beliau berkata, program ini turut berfungsi sebagai salah satu pemangkin untuk memantapkan lagi semangat setiakawan sesama anggota tentera tidak kira apa agama dan bangsa sesuai dengan konsep 1Malaysia.

“Kini amalan berkhatan telah merentasi fahaman agama dan bangsa… untuk tujuan kesihatan,” katanya. – Bernama

Luluh hati ibu – Metro


Luluh hati ibu

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Keseronokan tujuh sekeluarga mandi-manda di sebuah taman tema di Rembau, berakhir tragedi menyayat hati apabila seorang daripada mereka ditemui lemas dipercayai tergelincir di dalam terusan yang mengelilingi kolam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Putra Syakirin Ahmad Syahir, 6, maut dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.
Ibunya, Mushitah Zahari, 26, berkata, dia bersama suami, ibu serta adik-beradik lain pergi ke taman tema itu untuk mandi.

 

“Tiba-tiba, kami menyedari ‘Bobob’ (Mohd Putra) hilang sebelum dikejutkan dengan teriakan budak lemas oleh orang ramai. “Namun, saya tidak menjangkakan yang lemas itu anak sulung sehinggalah saya melihat petugas taman tema itu mengangkat seorang budak yang memakai seluar sama seperti anak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJS, di sini, semalam. Mushitah yang bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berkata, itu kali pertama dia dan suami, Ahmad Syahir Abd Aziz, 26, membawa anak mereka ke situ dan tidak menyangka percutian itu berakhir dengan tragedi.
“Hancur luluh hati sebaik melihat itu adalah anak lelaki saya dan bergegas meminta bantuan daripada pihak pengurusan taman tema itu. “Ketika itu anak saya masih bernyawa berikutan ada air terkeluar daripada mulutnya dan kedengaran nafasnya, saya terus meminta penyelamat yang berada di situ untuk membuat pernafasan mulut ke mulut, tetapi tiada siapa pun tahu melakukannya,” katanya. Menurutnya, dia percaya, anaknya berkemungkinan tergelincir ke dalam terusan kolam itu dan jarak antara tempat kejadian dengannya hanya 50 meter. “Sebaik sedar tiada bantuan dapat diberikan, saya dan suami kemudian membawa anak ke sebuah klinik, tetapi mereka tidak berani untuk merawatnya sebelum suami bergegas memecut kereta menghala ke HTJS,” katanya. Mushitah berkata, bagaimanapun, dalam perjalanan ke HTJS, anaknya sudah tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia kira-kira 3.30 petang.
“Saya kesal dengan pihak pengurusan taman tema itu, sepatutnya mereka menyediakan penyelamat yang tahu asas menyelamatkan orang lemas. “Malah, sekiranya rawatan awal diberikan, berkemungkinan anak saya masih dapat diselamatkan, bagaimanapun saya reda dengan kehilangannya dan menganggap ajalnya sudah tiba,” katanya. Jenazah Mohd Putra dijangka akan dikebumikan di kampung halaman Mushitah di Kedah, hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian kes itu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10

Budak main mancis melecur kedua-dua kaki – Metro


Budak main mancis melecur kedua-dua kaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Gara-gara bermain mancis, seorang kanak-kanak sembilan tahun melecur kedua-dua kaki selepas tidak sengaja menyalakan api yang menyambar tong minyak petrol di sebuah kedai runcit di Kampung Rambungan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 3 petang ketika kanak-kanak itu mengikut bapanya membeli barang di kedai runcit yang tidak jauh dari rumahnya.
Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, sebaik tiba di kedai itu anaknya mengambil sekotak mancis, tetapi tidak menyangka akan menghidupkannya sehingga dia terdengar jeritan apabila kaki mangsa disambar api.

 

“Terdapat satu tong berisi petrol diletakkan berdekatan tempat anak saya bermain mancis menyebabkan api menyambar dan terkena kedua-dua kakinya,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
Katanya, dia bergegas membawa anak lelakinya ke sebuah klinik di Matang sebelum diarahkan merujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.
“Saya bersyukur kerana dia tidak cedera serius walaupun kedua-dua kaki melecur. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi.

 

 

“Setakat ini, saya lega apabila doktor memberitahu keadaan sudah stabil. Mudah-mudahan dia pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10

Tak tahan sakit bongkar hamil – Metro


Tak tahan sakit bongkar hamil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERIAN: Selepas sembilan bulan menyembunyikan kehamilannya, seorang remaja bawah umur terpaksa membiarkan rahsianya terbongkar apabila meminta bapanya menghantar ke hospital kerana tidak tahan lagi sakit untuk bersalin, kelmarin.

Difahamkan, gadis berusia 16 tahun yang keciciran sekolah dari Batu 34, Jalan Kuching-Serian itu tahu dia mengandung, tetapi menyorokkan daripada pengetahuan keluarga kerana takut.
Bapa gadis terbabit yang berusia 52 tahun terkejut apabila anaknya meminta tolong membawanya ke Hospital Serian (HS) kerana tiba masa untuk bersalin.

 

Keluarga terbabit membawanya ke hospital sebelum membuat laporan di Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian berlaku Mac lalu jam 3.14 petang di sebuah asrama pekerja di Pekan Serian.
Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya di sini, berkenalan dengan lelaki berusia awal 20-an yang baru bekerja di tempat sama.

 

 

“Pada hari kejadian, lelaki itu mengajak gadis terbabit minum minuman keras di asrama mereka hingga mangsa tidak sedarkan diri. Apabila sedar, mangsa mendapati dia tidak berpakaian dan dipercayai dirogol,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, gadis itu bersemuka dengan lelaki terbabit meminta dia bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan, sebaliknya lelaki itu kini menghilangkan diri.

 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan polis kini memburu lelaki terbabit yang dipercayai berasal dari Lubok Antu untuk didakwa kerana merogol gadis bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10

Jumpa Dayah tapi bapa musykil – Kosmo


Jumpa Dayah tapi bapa musykil

 

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my

 

RAJA ROSLAN (kanan) dan Zarina gembira selepas Dayah (tengah) ditemui dalam keadaan selamat kelmarin.

 

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri lega apabila anak dara mereka yang dikatakan hilang dilarikan pelesit rempit sejak 1 Disember lalu ditemui di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Razak di sini namun pada masa sama terdapat persoalan yang belum dijawab berhubung penemuan tersebut.

Ketika Raja Nor Hidayah Raja Roslan, 16, atau Dayah diam seribu bahasa ekoran masih trauma dengan kejadian tersebut, bapanya, Raja Roslan Raja Ahmad Hadzrawi, 39, pula tertanya-tanya mengenai penemuan anaknya itu.

Selain Raja Nor Hidayah, turut ditemui di situ ialah dua lagi remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun serta tiga remaja lelaki berumur antara 16 hingga 19 tahun.

Polis menahan tiga remaja lelaki itu bagi membantu siasatan kes berkaitan gangguan seksual manakala dua remaja perempuan itu dihantar pulang.

Mengimbau semula hari yang paling mengembirakan buat dia dan isterinya, Zarina Zubir, 37, Raja Roslan memberitahu, dia mengetahui mengenai penemuan itu selepas dimaklumkan oleh polis supaya hadir ke Balai Polis Dang Wangi di sini untuk mengambil anaknya pada pukul 6.30 pagi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2EbawkdoV
Hakcipta terpelihara

Gadis hilang dijumpai semula – Utusan


Gadis hilang dijumpai semula

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my

RAJA Roslan dan isteri, Zarina Zubir menunjukkan gambar Nur Hidayah dalam sidang akhbar di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 9 Dis – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang bersama teman lelaki yang dikenali melalui laman sosial Facebook pada Isnin lalu, ditemui selamat di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Raja Nor Hidayah Raja Roslan atau mesra dipanggil Dayah oleh keluarganya ditemui oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas menyerbu hotel berkenaan pada pukul 6 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketika serbuan, terdapat tiga remaja lelaki dan seorang remaja perempuan lain berada dalam bilik hotel tersebut.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121210/je_01/Gadis-hilang-dijumpai-semula#ixzz2EbZu8DtF
© Utusan Melayu (M) Bhd