Dua pelajar mengaku bersalah – Sinar Harian


Dua pelajar mengaku bersalah

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012

KUALA PILAH – Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan motosikal curi dengan cara membuang rangkanya di kawasan paya, Johol.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Majistret Azura Alwi dan pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.

Suspek berusia 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah itu bersama menyembunyikan rangka motosikal milik Noor Faiz Abd Razak di ladang kelapa sawit Kampung Betong, Johol  tanpa izinnya pada, jam 2.10 petang, 1 Disember lalu.

Kemudian, kedua-dua suspek  melakukan kesalahan yang sama kepada pemilik motosikal Tok Yeok Ban, lebih kurang jam 2.20 petang pada 2 Disember lalu, di ladang kelapa sawit, Kampung Betong, Johol.

Difahamkan, kedua-dua pemilik motosikal membuat laporan polis pada 21 September lalu.

Salah seorang suspek yang berusia 15 itu turut melakukan kesalahan lain iaitu melupuskan barang curi dengan menjual sebuah enjin milik Tok Yeok Ban tanpa izinnya.

Kesalahan dilakukan di rumah tidak bernombor di Kampung Gemencheh Ulu Air Mawang, Johol pada pada jam 12.10 tengah hari, 4 Disember lalu.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Tanggai, Air Mawang, didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan membawa hukuman tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Bagaimanapun, mahkamah akan menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum disabitkan kesalahan berikutan kedua-dua suspek bawah umur.

Kedua-dua suspek ditemani ibu dan bapa masing-masing memohon wang denda jaminan dikurangkan dan mendapat persetujuan Hakim Azura, iaitu seorang perlu membayar wang bernilai RM1,000 dan seorang lagi RM1,500 berikutan setiap pertuduhan dikenakan RM500.

Kes akan disebut semula pada 29 Januari 2013 selepas JKM menyediakan laporan akhlak.

Lelaki 24 tahun peserta khatan – Sinar Harian


Lelaki 24 tahun peserta khatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012
Lelaki 24 tahun peserta khatan
Ismail dan Syarifuddin menyempurnakan majlis berkhatan beramai-ramai di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 55.

MARAN – Enam remaja Orang Asli bukan Islam antara 10 peserta yang dikhatankan beramai-ramai termasuk seorang saudara baru berusia 24 tahun di Kampung Orang Asli Batu 55, di sini.

Seorang daripada remaja berkenaan, Yusmanizam Yusairi, 16, berkata, walaupun tidak menganut agama Islam, dia mahu berkhatan atas faktor kesihatan.

Menurutnya, banyak kebaikan berkhatan yang diketahui melalui pembacaan dan daripada mereka yang lebih dewasa.

“Saya tidak takut atau malu kerana berkhatan ini baik untuk kesihatan malah digalakkan untuk bukan Islam.

“Keluarga saya sendiri tidak menghalang dan berkhatan beramai-ramai sebegini lebih meriah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Daerah Maran, Syarifuddin Mohamed Sa’ad.

Saudara baru, Azman Raju, 24, berkata, dia berkhatan bagi memenuhi tuntutan agama selepas memeluk Islam tahun lalu atas faktor perkahwinan.

Menurutnya, isterinya yang juga Orang Asli dari Kampung Bot Bot, dekat Chenor, sudah pun memeluk Islam sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Mulanya memang segan mahu berkhatan kerana usia saya ini tetapi demi Islam, saya bersyukur selain dapat menjaga kesihatan,” katanya.

Terengganu bantu pelajar cicir – Bernama


Terengganu bantu pelajar cicir

11 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan pelbagai program kemahiran bagi membantu pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk mereka terlibat dalam bidang kemahiran tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program yang telah diwujudkan itu antaranya seperti Program Titian Bestari dengan menyediakan 3,000 tempat untuk pelajar Tingkatan Lima melajutkan pengajian mereka dalam bidang kemahiran tinggi.

“Kita wujudkan program latihan kemahiran dan dengan adanya kolej dan pusat latihan kemahiran itu, pelajar yang kurang cemerlang dalam akedemik juga mempunyai masa depan yang cerah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika menjawab soalan Ramlan Ali (BN-Setiu) yang ingin tahu jumlah murid yang tercicir di negeri ini berikutan pada setiap ceramah parti Pas, ia mendakwa keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri itu sebanyak 8.63 peratus.

Katanya, jumlah pelajar yang tercicir di negeri ini hanya 62 pelajar daripada 126,027 pelajar sekolah rendah yang tercicir iaitu 0.049 peratus manakala seramai 257 pelajar tingkatan satu hingga enam pula bagi sekolah menengah yang kebanyakannya murid Orang Asli.

Beliau berkata, kebanyakan murid yang tercicir kerana masalah kehadiran ke sekolah dan Jabatan Pelajaran Terengganu bersama kerajaan negeri dan beberapa pihak lain sentiasa memantau murid berkenaan agar sebarang tindakan perlu diambil bagi membantu mereka meneruskan pengajian.

“Pelajar yang tercicir dan kurang cemerlang dalam akademik,  kita akan bantu mereka kerana Yayasan Terengganu banyak menyediakan pusat-pusat kemahiran agar mereka dapat melanjutkan dalam bidang kemahiran,” katanya.

Ahmad Razif berkata, mengenai pencapaian pelajar luar bandar pula,  keputusan peperiksaaan Ujian Pencapian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini menunjukkan Terengganu telah mencipta sejarah apabila dapat  merapatkan jurang antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar.

“Siapa sangka Sekolah Kebangsaan Tapu terletak di Hulu Terengganu daripada 20 pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR, 16 daripada mereka telah memperolehi 5A.

“Ini sudah berlaku kecemerlangan dan kegemilangan kepada pelajar luar bandar di Terengganu,” katanya. – Bernama

Dr Puad: Kurikulum Dini, Tahfiz dinaik taraf – Bernama


Dr Puad: Kurikulum Dini, Tahfiz dinaik taraf

11 Disember 2012
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mengiktiraf kurikulum Dini dan kurikulum Tahfiz yang digunapakai di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai kurikulum kebangsaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat perundangan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu.

“Sekiranya selesai dari segi perundangan, maka kita (kerajaan) dapat mengiktiraf kurikulum Dini dan Tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan dan barang kali akan memudahkan lebih banyak SAN dan SAR dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Rakyat (SABK),” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Arifin SM Omar berkenaan langkah kerajaan dalam memartabat SAN dan SAR, di Dewan Negara hari ini.

Katanya, sebaik SAN dan SAR berdaftar sebagai SABK, pelbagai insentif dan bantuan yang diperuntuk kerajaan, boleh dinikmati mereka.

“Ini membolehkan pula kementerian untuk memperuntuk guru yang berkelayakan, menyediakan bantuan geran per kapita, buku teks, pentaksiran bersistematik, penaziran berkualiti serta pengurusan yang cekap di SAN dan SAR.

“Selain itu, kementerian juga boleh menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah itu, dapat membantu dalam membiayai pengurusan, elaun tambahan gaji guru, pembaikan kecil serta prasarana pendidikan yang diperlukan SAR  mahupun SAN,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya 105 SAR dan 90 SAN telah mendaftar sebagai SABK.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Chiw Tiang Chai mengenai mekanisme yang bakal digunapakai kementerian dalam memperkasa sekolah kebangsaan (SK), Mohd Puad berkata sasaran jangka panjang dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 menggariskan untuk menjadikan SK sebagai sebuah institusi yang cemerlang dalam semua aspek.

“Untuk menjadikan SK sebagai sekolah pilihan dan institusi utama perpaduan melalui pendidikan, adalah wajar kualiti pendidikan sekolah itu diberi keutamaan di samping tidak mengenepikan sekolah aliran lain,” katanya. – Bernama