Disengat ketika mandi – Metro


Disengat ketika mandi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Percutian sebuah keluarga ke Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, bertukar mimpi menakutkan apabila seorang daripada mereka menjadi mangsa sengatan obor-obor ketika mandi-manda di pantai berkenaan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Shafie Sulaiman, 16 tahun dari Bahau, Negeri Sembilan yang sedang mandi bersama keluarganya di pantai peranginan berkenaan, disengat obor-obor itu di bahagian belakang badannya.
Akibat sengatan itu, katanya, belakang badannya berasa seolah-olah terkena renjatan elektrik sebelum pedih dan gatal lalu berlari ke daratan serta menggelupur kesakitan.

 

“Saya dapat rasa seluruh badan mula gatal dan membengkak di beberapa bahagian sebelum sesak nafas hingga sukar menjerit mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, kejadian itu disedari anggota Penyelamat Pantai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), yang bertugas tidak jauh dari situ.
Menurutnya, anggota JPAM terus melumur seluruh badannya dengan cuka dan losyen khas membuatkan dirinya berasa sedikit lega.

 

 

Sementara itu, Ketua Menara Penyelamat Pantai JPAM, Mohd Hairil Md Nasir ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau bersama lima anggota mendapatkan mangsa yang hampir pitam dalam keadaan menggelupur sebelum merawat mangsa.
“Kami tenangkan mangsa yang kesakitan menahan kepedihan dan kegatalan akibat terkena sengatan obor-obor sebelum diberi bantuan.

 

“Anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk merawat sebahagian badan mangsa yang membengkak sehingga keadaan reda sebelum mangsa memberitahu dia mampu menggerakkan badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17

Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah – Utusan


Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Modul integriti dan pencegahan rasuah mungkin dimasukkan dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan bagi dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam, Sivik dan Kemanusiaan serta Pendidikan Moral.

“Kita telah menerima cadangan SPRM dan dalam proses mengkaji. Bagaimanapun kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM pada aspek kokurikulum melalui pameran dan ceramah di sekolah serta membawa murid-murid melawat SPRM,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman tentang sejauh mana pendidikan pencegahan rasuah dimuatkan dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik di sekolah rendah serta menengah bagi melahirkan warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur dan antirasuah.

Mohd. Puad menambah, pendekatan aspek integriti dari bangku sekolah dapat membantu individu daripada terlibat dengan perbuatan korup apabila memasuki alam pekerjaan.

Menurut beliau, kementerian juga sedang berbincang dengan SPRM untuk mewujudkan pusat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi melatih bakal guru tentang nilai-nilai murni yang boleh diaplikasi apabila mengajar kelak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121214/pa_04/Kaji-modul-integriti-antirasuah-di-sekolah#ixzz2FGJaOBfB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Semakan Keputusan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) Ambilan Khas Disember 2012


Semakan Keputusan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) Ambilan Khas Disember 2012

Sukacita dimaklumkan, semakan keputusan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) Ambilan Khas Disember 2012 boleh  dibuat  mulai 10 Disember 2012 (Isnin). Calon boleh menyemak keputusan tersebut dengan melayari laman sesawang : http://apps.moe.gov.my/abpg/tawarInterim

SURAT SIARAN DAN GARIS PANDUAN PELAKSANAAN BANTUAN KHAS AWAL PERSEKOLAHAN RM100 BAGI TAHUN 2013


SURAT SIARAN DAN GARIS PANDUAN PELAKSANAAN BANTUAN KHAS AWAL PERSEKOLAHAN RM100 BAGI TAHUN 2013

PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN PELAJARAN MELALUI AKAUN 2 KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA


PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN PELAJARAN MELALUI AKAUN 2 KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia telah diluluskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Institusi Pemberi Pinjaman (IPP) di bawah pengeluaran pendidikan KWSP. Kelulusan ini membolehkan peminjam (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan) yang merupakan ahli KWSP mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 KWSP untuk membayar balik pinjaman pelajaran yang telah diterima.
2.            Bersama-sama ini disertakan Surat Hebahan, Prosedur Permohonan, Risalah Pengeluaran Pendidikan, Senarai Semakan Dokumen dan Borang KWSP 9H (AHL) sebagai panduan dalam permohonan pembayaran balik pinjaman pelajaran melalui kaedah ini. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh diajukan kepada Bahagian Tajaan Pendidikan di talian 03-83217124 atau emel penguatkuasaan@moe.gov.my

Capaian Baru Laman Web Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK)


Capaian Baru Laman Web Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK)

Sukacita dimaklumkan bahawa Capaian baru bagi laman web Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK) boleh dicapai melalui alamat  berikut – http://www.moe.gov.my/bppk/   

Harap maklum.

Bakar bilik cikgu – Metro


Bakar bilik cikgu

Oleh ABD RAHMAN ADAM
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang guru wanita kini hidup dalam ketakutan apabila bilik tidurnya di kuarters sebuah sekolah menengah di Long Miri, di sini, dipecah masuk penjenayah sebelum membakar tilam dan menggunting beberapa helai pakaiannya, Khamis lalu.

Kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah terbabit ketika membuat rondaan sebelum ternampak kesan umpil pada pintu kuarters guru berkenaan, jam 5 petang.

Menurut sumber, terkejut dengan kejadian itu, pengawal keselamatan berusia 30-an membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati pintu bilik tidur mangsa terbuka sebelum ternampak kesan tilam dibakar, manakala beberapa helai bajunya digunting.

Bagaimanapun, katanya, beberapa barangan berharga milik mangsa dan dua bilik lain di rumah itu tidak diusik.

 
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan khianat itu pada awal pagi untuk mengelak kehadirannya disedari, ditambah dengan kawasan kuarters yang sunyi kerana kebanyakan guru pulang ke kampung halaman sempena cuti sekolah.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Padah tidak pantau anak – Metro


Padah tidak pantau anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Inilah padahnya membiarkan remaja berinteraksi di alam maya tanpa pemantauan orang tua,” kata pakar motivasi dan perunding cara keluarga, Zawiyah Hassan mengenai senario remaja perempuan melahirkan anak tidak sah taraf akibat terlanjur dengan pasangan masing-masing selepas berkenalan menerusi laman sosial.

Beliau berkata, apabila anak mula menunjukkan perubahan, peranan ibu bapa dalam membentuk remaja semakin besar, terutama di peringkat usia antara lapan hingga 15 tahun, di mana mereka seolah-olah terperangkap antara dua alam sama ada kanak-kanak atau remaja.
Merujuk kepada sistem pendidikan anak disarankan Saidina Ali RA, ada empat tahap mengajar cahaya mata iaitu peringkat pertama bagi anak berusia satu hari hingga tujuh tahun; kedua (lapan-15 tahun); ketiga (16-21 tahun) dan empat (21 tahun ke atas).

 

Zawiyah berkata, peringkat pertama bersifat kasih sayang, manakala kedua pula menekankan didikan penuh disiplin bagi membantu mereka membezakan perkara baik atau jahat.
“Peringkat ketiga pula, ibu bapa perlu menjadi kawan rapat kepada anak, bersedia mendengar masalah dan luahan perasaan mereka. Usah melenting terlebih dulu, nasihat anak secara berhemah, baru remaja selesa untuk berbicara.
“Ibu bapa cuba meletakkan diri di kedudukan anak remaja yang memerlukan seseorang bagi mendengar cerita mereka. Jika mereka tidak bersedia menjadi kawan kepada anak, anak mungkin memilih teman sebaya yang tidak berpengalaman sebagai rujukan.

 

 

“Bagi peringkat terakhir, bermaksud kebebasan kepada anak dengan kawalan dan pemantauan ibu bapa supaya mereka tidak tergelincir melakukan kesilapan dalam hidup. Seandainya sistem ini diterapkan, risiko anak mencari kasih sayang di luar berada di tahap rendah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak muda juga perlu sedar tanggungjawab utama menjaga diri terletak di bahu masing-masing, bukan pada orang lain, sama ada keluarga atau masyarakat.

 

“Andai mereka menggunakan alasan kurang menerima kasih sayang dan perhatian keluarga bagi melakukan aktiviti tidak sihat, selain kononnya tindakan itu mampu menyedarkan kewujudan mereka di mata ibu bapa, sebenarnya mereka tersilap percaturan.
“Setiap perkara mereka lakukan, sama ada baik atau buruk, memberi implikasi besar terhadap diri sendiri, terutama pada masa depan.
“Cinta adalah perasaan anugerah kurniaan Allah SWT dan setiap individu memerlukannya, cuma usia muda dan pemikiran tidak matang membuatkan remaja terjerumus dalam maksiat,” katanya.

Nafi diskriminasi terhadap murid India – Berita Harian


Nafi diskriminasi terhadap murid India

2012/12/16 – 03:14:37 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Persatuan Sivik India Malaysia (PSIM) menolak dakwaan berhubung berlaku diskriminasi terhadap murid India di negara ini, khususnya di Johor.

Pengerusi Biro Pendidikannya, A Reventharan, berkata dakwaan dibuat dua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) menerusi sebuah akhbar harian Tamil itu, bukan saja tidak berasas tetapi berniat jahat serta bermotifkan politik.

“Menerusi kenyataan disiarkan sebuah akhbar Tamil minggu lalu, dua pemimpin NGO itu membuat tohmahan mendakwa kerajaan melakukan diskriminasi terhadap murid India yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dua pemimpin NGO itu membuat tohmahan mendakwa kerajaan melakukan diskriminasi terhadap murid India yang cemerlang dalam UPSR,” A Reventharan, Pengerusi Biro Pendidikan PSIM

“Dakwa mereka, ia termasuklah menafikan hak murid itu berada dalam kelas terbaik atau memasuki aliran vokasional. Malah, mereka mendakwa murid India dikenakan syarat 5A untuk memasuki aliran vokasional, berbanding kaum lain.

“Mereka juga mendakwa setiap permohonan murid India yang cemerlang memasuki sekolah menengah dibuat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyebabkan ramai yang tidak berpeluang memasuki aliran itu atau ditempatkan di kelas terbaik,” katanya.

Dedah tohmahan

Beliau hadir ke pejabat NSTP Johor Bahru bersama Ahli Jawatankuasa PSIM, R J M Santhosa Singam, bagi mendedahkan tohmahan tidak berasas itu kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Reventharan berkata, curiga dengan dakwaan itu, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan PPD Johor Bahru dan JPN Johor bagi mendapatkan kepastian serta maklumat mengenai isu terbabit.

“Pertama sekali, kami curiga kerana kenyataan itu dibuat tanpa bukti, melainkan tuduhan melulu semata-mata,” katanya.

NUTP minta PBS dikaji, diteliti semula – Utusan


NUTP minta PBS dikaji, diteliti semula

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji dan meneliti semula sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) supaya tidak membebankan guru-guru sehingga mengganggu proses pembangunan akademik dan kokurikulum pelajar.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya tidak menghalang pelaksanaan PBS tetapi usaha penambahbaikan perlu dilakukan segera bagi memastikan keberkesanan sistem baharu itu.

Jelasnya, perkara itu memandangkan terlalu banyak pentaksiran perlu dilakukan terhadap sukatan mata pelajaran tanpa mengambil kira kecukupan masa yang diperuntukkan.

“Pentaksiran perlu dibuat dalam semua mata pelajaran yang mempunyai banyak topik, malah aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum turut dinilai dari segi penglibatan dan pencapaian pelajar.

“Masa yang terhad amat menyukarkan guru-guru menilai pelajar dalam kesemua topik menyebabkan sebahagian tajuk tidak dapat disampaikan kepada pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat NUTP di Hotel Vistana di sini hari ini.

Tambahnya, masalah itu wujud kerana tiada keseragaman antara sukatan mata pelajaran yang disediakan Bahagian Pembangunan Kurikulum dan pentaksiran berdasarkan skema pemarkahan Lembaga Peperiksaan.

Hashim berkata, situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada guru untuk membuat petaksiran malah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

“Sistem baharu yang diperkenalkan seharusnya membantu guru-guru meningkatkan tahap pengetahuan serta kebolehan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis.

“Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila guru-guru terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk memeriksa, merekod dan melaporkan pentaksiran berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan,” katanya.

Sehubungan itu, Hashim berkata, kajian dan perbincangan berterusan perlu dilakukan antara NUTP dengan Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pembangunan Kurikulum dalam memastikan keberkesanan sistem tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Jabatan Pelajaran Perak yang memohon semua sekolah mengadakan aktiviti gotong-royong hari ini.

Jelasnya, pemilihan tarikh aktiviti yang dijalankan pada pertengahan waktu cuti sekolah itu adalah tidak sesuai malah membebankan guru.

“Pada musim cuti sekolah, sudah tentu guru mempunyai program lain seperti bercuti dan mengadakan kenduri yang dirancang lebih awal.

“Namun, guru-guru diminta kembali ke sekolah semata-mata menjalankan aktiviti gotong-royong yang dilakukan hanya sehari,” katanya.

Beliau menambah, pihak jabatan seharusnya merancang lebih awal sebelum membuat sesuatu keputusan mengadakan program di samping memilih tarikh bersesuaian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_13/NUTP-minta-PBS-dikaji-diteliti-semula#ixzz2FEYa0Hsf
© Utusan Melayu (M) Bhd