Maut tergelincir bumbung sekolah – Metro


Maut tergelincir bumbung sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Saya selalu berpesan kepadanya supaya berhati-hati ketika bekerja memandangkan hujan kebelakangan ini, tetapi sejak dua hari lalu, saya berasa berat mulut untuk berbuat demikian,” kata Sitah Che Omar, 66, ibu kepada buruh yang maut terjatuh dari tingkat empat ketika memasang bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Baharudin Shafie, 49, dari Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh, Kemaman, Terengganu, tergelincir ketika berada di atas bumbung setinggi 15.5 meter itu ketika menukar atap makmal sains sekolah berkenaan bersama dua lagi pekerja.
Ketika kejadian mangsa cuba mencari tempat berlindung kerana hujan, tetapi tergelincir menyebabkannya terjatuh dari bumbung dalam keadaan terduduk.

 

Sitah berkata, kali terakhir dia bertemu anak keduanya daripada enam beradik itu pagi semalam, ketika Baharudin hendak ke tempat kerja jam 7.30 pagi.
“Sebelum keluar rumah, dia minta wang untuk beli rokok dan saya memberinya RM3, tapi dia minta RM2 lagi,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Afzan (HTAA), di sini, semalam.
Menurut Sitah, Baharudin lurus dan pendiam serta masih bujang, tinggal bersamanya di Felda berkenaan.

 

 

“Entah mengapa sejak dua hari lalu, saya terlupa untuk berpesan kepadanya supaya berhati-hati ketika bekerja,” katanya.
Rakan mangsa, Mohd Zulkifli Jaafar, 32, berkata, dia terlebih dulu turun dari bumbung makmal sains itu, terkejut apabila mendengar bunyi benda jatuh.

 

“Ketika itu hujan lebat dan saya turun dulu, Baharudin dan seorang lagi rakan meneruskan kerja sebelum mereka mencari tempat berlindung.
“Beberapa minit selepas itu, saya terdengar bunyi benda jatuh. Saya sangka bunyi atap zink yang jatuh,” katanya yang kemudian terdengar jeritan rakannya memberitahu Baharudin jatuh.
“Saya meluru ke arahnya dan mendapati dia masih bernafas, tetapi tidak sedarkan diri dengan darah keluar dari mulut.
“Kami menghubungi polis sebelum dia dibawa ke HTAA,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat.
“Ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira 15 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s