Pelajar ditemui mati lemas di kolam ikan – Bernama


Pelajar ditemui mati lemas di kolam ikan

19 Disember 2012

IPOH – Seorang pelajar ditemui mati lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Kurnia, Bakar Bata, Sitiawan, dipercayai tergelincir ketika memotong rumput berhampiran kolam itu hari ini.

Mayat G. Sigarajan, 14 yang tinggal di Batu 19, Ayer Tawar ditemui di dasar kolam itu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 12 tengahari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Ahmad Mohamad Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Mangsa yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ambrose, Ayer Tawar dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam kolam itu pada pukul 9 pagi ketika membantu ayahnya memotong rumput di tepi kolam berkenaan.

Menurut Ahmad, ayah dan rakan mangsa yang berada di situ bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan remaja itu lalu menghubungi pihak berkuasa yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat. – Bernama

Kolej Tunku Kurshiah terus cemerlang sebagai sekolah terbaik – Bernama


Kolej Tunku Kurshiah terus cemerlang sebagai sekolah terbaik

19 Disember 2012

SEREMBAN – Kerjasama erat antara pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta persatuan bekas pelajar adalah antara faktor Kolej Tunku Kurshiah (TKC) terus cemerlang, menjadi antara sekolah terbaik di negara ini.

Pengetua TKC Che Kamaliah Endud berkata ketiga-tiga pihak ini bekerja sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan setiap pelajar kolej ini sentiasa diberi bantuan dan semangat untuk fokus dan menjadi yang terbaik.

“Kami bekerjasama rapat di mana semuanya memainkan peranan memandangkan ketiga-tiga komponen utama ini memahami tanggungjawab dan skop masing-masing untuk mencapai matlamat yang dituju. Saya berharap jalinan kerjasama ini akan terus diamalkan setiap masa bukan saja dari segi akademik, malah pelbagai bidang lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

TKC muncul senarai teratas 15 buah sekolah terbaik di Negeri Sembilan dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Daripada 108 orang pelajarnya, seramai 93 orang mendapat 8A dalam semua mata pelajaran.

Sementara itu, katanya, TKC akan berpindah ke Bandar Enstek, Nilai pada 1 Januari 2013. Di samping program aliran perdana, TKC akan memulakan dua program baharu — program International Bacalaurette Diploma untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Middle Year Programme International Bacalaurette untuk pelajar tingkat satu dan lima.- Bernama

Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot – mStar


Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot

Oleh PRIYA KULASAGARAN

PUTRAJAYA: Jumlah pelajar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini merosot berbanding tahun lalu.

Seramai 30,474 daripada 440,643 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat gred A bagi semua matapelajaran, menunjukkan penurunan sebanyak 0.85% berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin berkata keputusan itu perlu dianalisis dengan lebih lanjut untuk menjelaskan mengenai kemerosotan tersebut.

“Sama ada ia adalah prestasi keseluruhan atau pelajar cemerlang dalam mata pelajaran individu, kita perlu melakukan kajian secara menyeluruh untuk menerangkan pencapaian para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu disini pada Rabu.

Sementara itu, hanya 241 calon memperoleh keputusan gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 346 calon tahun lalu.

30,474 calon dapat A keseluruhan mata pelajaran – Utusan


30,474 calon dapat A keseluruhan mata pelajaran

PUTRAJAYA 19 Dis. _ Seramai 30,474 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat gred A bagi keseluruhan mata pelajaran, berkurangan sebanyak 3,797 atau 0.85 peratus berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, secara keseluruhannya, keputusan PMR kali ini dalam 17 mata pelajaran kekal seperti tahun sebelumnya iaitu dengan Gred Purata Nasional (GPN) 2.71.

“Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran berkurang daripada 346 orang (0.08 peratus) pada tahun lalu kepada 241 orang (0.05 peratus) pada tahun ini.

“Manakala berdasarkan mata pelajaran, empat subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam mencatatkan penurunan prestasi,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PMR di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121219/dn_22/30474-calon-dapat-A-keseluruhan-mata-pelajaran#ixzz2FTqfBqdP
© Utusan Melayu (M) Bhd

1,838 dapat semua A di Wilayah Persekutuan – Utusan


1,838 dapat semua A di Wilayah Persekutuan

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Seramai 1,838 daripada 23,530 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat A dalam semua mata pelajaran bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran, Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar/Pudu, Kuala Lumpur, Ismail Musa berkata, secara keseluruhan pencapaian calon dari segi Gred Purata Negeri dalam 17 mata pelajaran adalah lebih baik berbanding dengan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.60 berbanding 2.71 mata.

Katanya, walaupun Gred Purata Negeri merosot sebanyak 0.03 mata berbanding tahun lepas, pencapaian calon yang menguasai gred A, B. C dan D meningkat sebanyak 0.13 peratus.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan PMR 2012 bagi Wilayah Persekutuan, di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121219/dn_24/1838-dapat-semua-A-di-Wilayah-Persekutuan#ixzz2FTqW4gSh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kanak-kanak tiga tahun diseret 10 km – Bernama


Kanak-kanak tiga tahun diseret 10 km

19 Disember 2012

NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut apabila diseret sejauh 10 kilometer selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaikinya, dalam kejadian di Km 168.4 Lebuhraya Utara-Selatan malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mayat Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam ditemui dalam keadaan menyayat hati di Hentian Sungai Bakap, tiga jam selepas kejadian pada pukul 8.45 malam itu.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang, menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2. Semua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Menurut Mohd Shafien, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju,” katanya.

Menurutnya semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.

Shafien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan  1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000  serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan – Bernama

30,474 calon PMR 2012 dapat semua A – Berita Harian


30,474 calon PMR 2012 dapat semua A

2012/12/19 – 10:00:53 AMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Pencapaian cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki menurun seramai 3,797 atau 0.85 peratus) daripada 34,271 orang pada 2011 kepada 30,474 orang pada 2012.

Muhyiddin cadang tubuh Yayasan Pendidikan Pengerang – Bernama


Muhyiddin cadang tubuh Yayasan Pendidikan Pengerang

18 Disember 2012

KOTA TINGGI –  Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan penubuhan Yayasan Pendidikan Pengerang bagi menjaga kebajikan dan membiayai pendidikan anak-anak Pengerang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan satu penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan penduduk setempat sehingga membolehkan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang melibatkan pelaburan keseluruhan RM170 bilion itu dilaksanakan.

“Saya mencadangkan Yayasan Pendidikan Pengerang ini ditubuhkan dengan dana disumbangkan oleh Petronas dan Dialog Group Bhd (Dialog) serta pelabur-pelabur lain.

“Ia demi masa depan anak-anak Pengerang. Saya harap ia dapat diputuskan secepat mungkin oleh syarikat Petronas dan syarikat pelaburan lain,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat PIPC di tapak penempatan pemindahan penduduk Bayu Permai Plot A, Pengerang di sini.

Taklimat turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Berhad (JPDC) Mohd Yazid Jaafar.

Muhyiddin berharap menerusi yayasan itu juga Petronas dan Dialog dapat memberikan biasiswa kepada anak-anak Pengerang dengan dana diuruskan oleh pemegang amanah yang layak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan yang melibatkan pembangunan tanah seluas 8,800 hektar.

Katanya, selain pelbagai kemudahan lain seperti perumahan dan sekolah, sebanyak RM1 bilion juga diperlukan untuk penyediaan bekalan air mentah bagi keperluan industri di PIPC.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan projek berkenaan dan menjadikannya sebagai kempen pilihan raya.

“Projek ini memberi impak ekonomi bukan sahaja kepada Johor untuk muncul sebagi hub minyak dan gas di rantau ini tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian akan meneliti resolusi 11 perkara yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) untuk membela nasib pendidik dan pesara guru.

Beliau meminta Kongres untuk menghantar resolusi berkenaan kepada kementerian secara rasmi.

Muhyiddin mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai resolusi yang diputuskan pada mesyuarat Exco Khas Kongres, Sabtu lalu yang antara lain mencadangkan penubuhan bank guru selain penubuhan organisasi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – Bernama

Guting rambut percuma kepada pelajar sekolah di Kuala Kedah – Bernama


Guting rambut percuma kepada pelajar sekolah di Kuala Kedah

18 Disember 2012

ALOR SETAR – Gagasan Generasi Gemilang (Gagah) Parlimen Kuala Kedah menganjurkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada pelajar di sekitar Kuala Kedah bermula hari ini hingga esok.

Pengerusinya Datuk Abdul Muthalib Harun berkata program itu diadakan bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar kawasan itu.

“Penduduk di kawasan ini kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani. Jadi dengan adanya program ini sekurang-kurangnya kita dapat membantu meringankan beban mereka terutamanya yang mempunyai anak ramai,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata program itu yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang terbuka kepada semua pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan tahun depan terutama murid prasekolah sehingga darjah enam.

“Esok kita akan adakan di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru,” katanya.

Abdul Muthalib yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, berkata program itu mendapat kerjasama pemilik kedai gunting rambut dari Jalan Kepala Batas, Mohamad Adam Ismail yang telah menyediakan empat tukang gunting rambut sepanjang program tersebut berlangsung.

Sementara itu, seorang kanak-kanak yang mengambil peluang daripada program tersebut Fakil Hidayat Amran, 11, berkata dia berasa seronok apabila dapat menyertai program berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Sebelum ini, saya gunting rambut di kedai dengan dikenakan bayaran RM3 tapi kali ini percuma sahaja. Saya harap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun terutama apabila sesi persekolahan baru akan bermula,” katanya.- Bernama